Punca Keganasan terhadap Wanita
Isi-isi Penting
- Personaliti Pendera
- Kemiskinan dan Tekanan Hidup
- Kurang Didikan Agama
- Pengaruh Media Sosial
- Sikap Masyarakat
- Pengamalan Gaya Hidup Tidak Sihat
Apa itu Keganasan terhadap Wanita?
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB), keganasan terhadap wanita merupakan sebarang serangan terhadap wanita yang boleh mendatangkan bahaya fizikal, seksual dan psikologi.
Keganasan terhadap wanita juga termasuk ancaman serangan, tekanan dan perampasan hak serta kebebasan wanita sewenang-wenangnya sebagai manusia.
Keganasan terhadap Wanita di Malaysia Semakin Membimbangkan
Keganasan terhadap wanita sering berlaku di negara kita dan ia meningkat pada setiap tahun. Isu ini bukannya isu baharu tetapi sudah basi dalam masyarakat.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2021, sebanyak 6443 kes keganasan terhadap wanita.
Keganasan terhadap wanita ini meliputi rogol, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan mental, pengasingan, ugutan, penderaan ekonomi, menghendap dan sebagainya.
Isu ini merupakan isu serius yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana, keganasan terhadap wanita ini merugikan masyarakat dan negara. Semua orang pasti sedar akan peranan dan sumbangan besar wanita dalam pembangunan generasi akan datang apabila mengingat peranan wanita dalam mendidik anak-anak.
Jika keganasan terhadap wanita ini berterusan, maka ramai wanita yang sebahagaian besarnya ialah isteri akan mengalami tekanan dan trauma. Hal ini sudah tentu akan memberi kesan negatif juga kepada anak-anaknya.
Pada realitinya, terdapat pelbagai punca keganasan terhadap wanita.
Punca Keganasan terhadap Wanita
1. Personaliti Pendera
Antara punca keganasan terhadap kaum wanita ialah personaliti pendera. Personaliti pendera yang panas baran, emosional dan ganas menyebabkan kaum wanita sering menjadi mangsanya.
Dalam hal ini, sudah tentunya penderanya ialah kaum lelaki yang mempunyai personaliti ganas, panas baran dan emosional.
Kebiasannya, kaum lelaki yang mempunyai personaliti seperti ini akan menjadikan mendera wanita, iaitu isterinya sebagai hobi hariannya. Sedikit sahaja kesalahan yang dilakukan oleh isterinya, dia pasti akan memberi sepak terajang kepada isteri.
Sebagai contoh, jika pada suatu masa tertentu isterinya memasak makanan terlalu masin, maka dia akan naik angin dan memberi penampar kepada isterinya.
Lelaki yang mempunyai personaliti seperti ini juga mudah cemburu kepada isterinya yang menyebabkan dia sering mendera isterinya. Sebagai contoh, sekiranya jiran lelaki menyapa isterinya, maka dia akan berprasangka negatif terhadap isterinya.
Hal ini akan menyebabkan dia memukul isterinya dengan teruk mengikut emosinya. kesannya, isterinya mengalami kecederaan fizikal dan mental yang serius.
Jelaslah bahawa, personaliti pendera seperti panas baran, emosional dan ganas menyebabkan berlaku keganasan terhadap kaum wanita.
2. Kemiskinan dan Tekanan Hidup
Selain itu, keganasan terhadap kaum wanita juga berpunca daripada kemiskinan dan tekanan hidup. Kemiskinan dan tekanan hidup sering kali menyebabkan kaum wanita didera oleh para suami demi melempiaskan tekanan hidup yang serba mencabar.
Dalam kebanyakan kes, isteri akan dipersalahkan atas semua masalah yang dihadapi yang menyebabkan si isteri mengalami penderaan mental. Hal ini menjadi lebih teruk lagi apabila, pendapatan si suami gagal menampung keperluan harian keluarga.
Jumlah anak yang terlalu ramai dan isteri yang sering membebel menjadikan si suami lebih tertekan dan gagal mengawal emosi yang membawa kepada penderaan terhadap si isteri.
Dalam situasi ini, kehidupan yang serba kekurangan mendorong wanita dijadikan sebagai alat untuk menghasilkan wang.
Terdapat suami seperti syaitan bertopengkan manusia yang memaksa isteri menjual maruah diri demi mendapatkan wang ringgit semata-mata. Dia sanggup menjadikan isterinya seperti pelacur dan dia sebagai bapa ayamnya yang mencari pelanggan untuk meniduri isterinya.
Jelaslah bahawa, kemiskinan dan tekanan hidup menyebabkan berlaku keganasan terhadap kaum wanita.
3. Kurang Didikan Agama
Di samping itu, kurang didikan agama juga menjadi punca kepada keganasan terhadap kaum wanita. Kekurangan pengetahuan mengenai agama menyebabkan seseorang itu tidak tahu dosa dan pahala.
Seseorang itu juga tidak dapat berfikir secara rasional. Hal ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat menilai jasa dan pengorbanan wanita.
Dia hanya menganggap wanita itu sebagai objek untuk memuaskan nafsu dan tempat melempiaskan tekanan dan emosi.
Dalam setiap agama, diajarkan supaya isteri itu wajib dilayan dan dihargai bukannya dikasari dan didusta. Tanpa pengetahuan agama juga, seseorang itu beranggapan bahawa tindakan mendera isteri atau kanak-kanak itu bukan kesalahan yang serius.
Disebabkan hal inilah, kaum wanita sering menjadi mangsa dera dalam rumah tangga. Jelaslah bahawa, kurangnya didikan agama akan mendorong berlakunya keganasan terhadap kaum wanita, terutamanya isteri.
4. Pengaruh Media Sosial
Selain kurang didikan agama, keganasan terhadap wanita juga berlaku disebabkan oleh pengaruh media massa. Media massa seperti internet, televisyen, majalah dan filem sering mempromosikan aksi jenayah dan keganasan terhadap kaum wanita.
Hal-hal ini mempengaruhi mentaliti kebanyakan masyarakat, terutamanya kaum lelaki untuk melakukan keganasan terhadap wanita. Sebagai contoh, terdapat banyak video pornografi di internet yang memberi gambaran bahawa kaum wanita ialah objek seks yang tidak mempunyai perasaan yang hanya layak untuk memuaskan nafsu para lelaki.
Hal ini telah mendorong para lelaki merogol dan melakukan gangguan seksual terhadap wanita, malah terdapat lelaki yang memaksa isterinya melakukan oral seks dengannya.
Di dalam filem juga, kita sering melihat bahawa jika seseorang isteri melakukan kesilapan, dia perlu diberikan sepak terajang. Hal ini telah mempengaruhi para suami untuk memukul isteri mereka jika melakukan kesilapan kecil.
Situasi ini juga menyebabkan para kaki pukul isteri merasakan tindakan mereka itu betul dan bertindak lebih kejam lagi terhadap isteri. Jelaslah bahawa, media massa juga mempengaruhi masyarakat untuk melakukan keganasan terhadap kaum wanita.
5. Sikap Masyarakat
Keganasan terhadap wanita juga berlaku disebabkan oleh sikap masyarakat. Sikap masyarakat yang tidak ambil peduli dan tidak mahu mencampuri urusan orang lain menyebabkan keganasan terhadap kaum wanita berlaku.
Sebagai contoh, masyarakat kini tidak mengambil peduli mengenai masalah jiran walaupun mereka mendengar jeritan kesakitan dan tangisan yang kerap di rumah jiran.
Lebih parah lagi, terdapat masyarakat yang tidak tidak mambuat laporan polis walaupun mengetahui ada berlaku penderaan terhadap isteri di kawasan kejiranan mereka.
Selain itu, konsep perbezaan taraf antara lelaki dengan wanita juga masih wujud dan menebal dalam kalangan masyarakat, terutamanya masyarakat kampung. Mereka masih menganggap isteri perlu mendengar dan tidak boleh melawan cakap suami.
Hal ini sering kali berakhir dengan penderaan terhadap isteri, sekiranya si isteri berbeza pendapat dengan si suami.
Di samping itu, masih banyak juga masyarakat yang percaya bahawa kaum wanita mestilah tunduk kepada kaum lelaki dan dalam keluarga, lelaki yang berkuasa mutlak. Hal ini telah menyebabkan hak wanita untuk memperoleh pendidikan dinafikan.
Amalan ini telah menyebabkan hak-hak wanita dinafikan dan hidup mereka dalam keadaan terkongkong. Jelaslah bahawa, sikap masyarakat yang kurang baik terhadap kaum wanita telah menyebabkan berlaku keganasan terhadap wanita secara langsung dan tidak langsung.
6. Pengamalan Gaya Hidup Tidak Sihat
Pengamalan gaya hidup tidak sihat juga mendorong kepada berlakunya keganasan terhadap wanita. Mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah sering hilang pertimbangan dan bertindak ganas terhadap wanita.
Mereka akan berada dalam keadaan khayal yang menyebabkan mereka tidak sedar akan tindakan yang dilakukan.
Sebagai contoh, apabila isteri menegur perbuatan tidak baik mereka, mereka akan memukul isteri mereka tanpa sedar, bahkan bunyi tangisan anak juga akan menyebabkan mereka naik angin dan mendera isteri dengan teruk.
Selain itu, pengaruh alkohol dan dadah juga menyebabkan seseorang itu bertindak secara tidak rasional. Hal inilah yang menyebabkan penderaan terhadap wanita, iaitu isteri berlaku.
Lebih parah lagi, terdapat suami yang memukul isterinya demi mendapatkan duit untuk membeli alkohol dan dadah. Dalam hal ini, para suami yang suka berjudi juga sering berbuat demikian kerana kerana kehabisan duit untuk berjudi.
Jika si isteri tidak memberikan duit, mereka akan merampas duit tersebut dengan kasar sehingga menyebabkan kecederaan kepada si isteri.
Kajian yang dilakukan oleh Anne Keywarh mendapati bahawa lima peratus pendera mendera kerana ketagihan alkohol dan dadah.
Tuntasnya, pengamalan gaya tidak sihat seperti meminum alkohol dan menagih dadah akan mendorong kepada penderaan terhadap wanita
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang membawa kepada keganasan terhadap kaum wanita.
Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi menangani masalah ini daripada terus berleluasa.
Kempen kesedaran untuk menghapuskan keganasan terhadap wanita haruslah dilancarkan secara besar-besaran di semua institusi terutamanya, institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti.
Masyarakat juga haruslah lebih peka dan bertindak melaporkan kepada pihak polis sekiranya mendapati berlaku keganasan terhadap wanita.
Para lelaki juga perlulah diberi kursus khas sebelum berkahwin supaya lebih menyayangi dan menghargai para isteri serta memahami tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Semoga masyarakat semakin sedar akan kesan buruk keganasan terhadap wanita dan mengambil inisiatif untuk bersama-sama menghapuskan budaya diskriminasi terhadap kaum wanita ini.