Bagaimanakah Facebook Memusnahkan Hidup Anda?

Cara Facebook Memusnahkan Hidup Anda

Pendidik Jalanan - Facebook pada masa ini merupakan salah satu media sosial yang paling terkenal di seluruh dunia dengan jumlah pengguna berbilion-bilion. Dijangka pengguna Facebook kini sudah melebihi separuh daripada manusia di bumi.

Untuk pengetahuan para sahabat, di Malaysia sahaja pengguna Facebook sudah melebihi separuh daripada rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan orang tua. Angka pengguna Facebook ini pasti tidak akan meningkat lagi kerana pengguna Facebook akan sentiasa bertambah daripada hari ke hari.

Cara Facebook Memusnahkan kehidupan seseorang
Facebook

Semakin ramai pengguna Facebook, semakin jelas kebaikan dan keburukan Facebook kepada kehidupan manusia. Persoalannya, apakah Facebook membawa lebih banyak kebaikan ataupun keburukan kepada kehidupan kita? Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan tepat kerana tidak ada data atau maklumat yang boleh membuktikan hal ini melainkan melalui pemerhatian kita terhadap pengguna Facebook di sekeliling kita.

Sebenarnya, seberapa besar kebaikan dan keburukan penggunaan Facebook kepada diri seseorang itu bergantung kepada diri seseorang itu sendiri. Saya secara peribadi sudah menggunakan Facebook hampir 5 tahun dan ia jelas bahawa Facebook ada membawa kebaikan dan keburukan kepada kehidupan saya. Sejujurnya, Facebook lebih banyak membawa kebaikan kepada saya berbanding keburukan. Namun, itu bergantung kepada diri sendiri.

Pasti kita semua sudah sedia maklum mengenai kebaikan Facebook kepada kehidupan seharian. Contohnya, facebook membolehkan kita berkomunikasi dengan orang yang berada jauh daripada kita, membolehkan kita berkenalan dengan rakan baharu, membantu kita berniaga dan mempromosikan produk, membantu kita mendapatkan maklumat seperti berita-berita terkini dan sebagainya.

Namun, keburukan ataupun kesan negatif penggunaan Facebook tidak begitu ketara khususnya bagi pengguna baharu. Bagi saya sendiri pun, keburukan Facebook ini agak kurang kerana saya lebih gemar menggunakan Facebook untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini daripada berita-berita tempatan dan antarabangsa serta mengikuti tokoh-tokoh pemimpin sama ada dalam atau luar negara.

Kesan penggunaan Facebook ini juga kita boleh dilihat melalui orang di sekeliling kita yang mula bergiat aktif dalam penggunaan facebook. Tentu terdapat banyak perubahan ketara yang berlaku dalam diri mereka, terutamanya dari segi sikap mereka yang semakin berubah. Berikut adalah beberapa kesan negatif ataupun keburukan penggunaan Facebook dalam diri mengikut pengalaman dan pengamatan saya:

1. Melemahkan Kemahiran Berkomunikasi

Kemahiran berkomunikasi ini amat penting dalam diri setiap orang. Hal ini dikatakan demikian kerana, kemahiran berkomunikasi merupakan salah faktor utama yang akan dilihat oleh sesebuah syarikat untuk melayakkan kita mendapatkan sesuatu pekerjaan di syarikat mereka. Malangnya yang berlaku pada masa ini adalah sangat ramai remaja dan kanak-kanak yang menjadi malas untuk bersosial di dunia nyata dengan masyarakat kerana terlalu ketagih menggunakan Facebook untuk bersosial secara maya dengan rakan-rakan. Hal ini sebenarnya kurang baik kerana ia akan melemahkan kemahiran berkomunikasi mereka di dunia nyata. Zaman kanak-kanak dan remaja sepatutnya dihabiskan untuk bersosial dengan masyarakat bukannya bersosial secara maya untuk perkara-perkara yang kurang penting.

2. Membuang Banyak Masa Berharga

Sebenarnya penggunaan Facebook yang melampau hanya akan membuang banyak masa yang berharga untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah. Sebagai contoh, masa yang terlalu lama dihabiskan untuk Facebook boleh kita gunakan untuk meluangkan masa dengan keluarga, mengulangkaji pelajaran, bersukan dan sebagainya. Hal ini saya nyatakan kerana kebanyakan daripada pengguna Facebook hanya akan menghabiskan masa yang banyak untuk melihat perkara-perkara yang sama. Contohnya, sesetengah pengguna Facebook menghabiskan masa yang banyak untuk scroll skrin smartphone ke atas dan ke bawah berulang kali untuk melihat perkara yang tidak penting. Hal ini membuang banyak masa dan lebih baik untuk menggunakan masa ini untuk hal-hal yang lebih berfaedah. Selain itu, penggunaan Facebook yang melampau ini juga hanya membuang masa kerana kebanyakan pengguna Facebook hanya menggunakan platform media sosial ini untuk mengintip aktiviti teman lelaki, teman wanita, lelaki atau wanita yang diidamkan oleh mereka. Hal ini cukup jelas menunjukkan bahawa aktiviti ini hanya membuang masa.

3. Menjadikan kita ketagihan

Platform media sosial seperti Facebook ini juga boleh dikatakan seperti dadah kerana ia juga boleh menjadikan kita ketagihan. Tentu ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui mengenai kebenaran ini. Namun, realitinya memang seperti itu. Pada dasarnya, tujuan penciptaan Facebook ini memang untuk menjadikan orang ketagihan dengan kehebatannya semata-mata untuk mendapatkan wang daripada iklan yang ditayangkan. Semakin lama kita mengakses Facebook, semakin banyak iklan yang ditayangkan. Semakin banyak iklan yang ditayangkan, semakin banyak duit yang didapatkan oleh Facebook. Jadi jelaslah di sini bahawa, Facebook bukan sahaja dicipta untuk fungsinya yang kita sedia maklum seperti tempat berkongsi foto, malah untuk menjadikan kita ketagihan mengaksesnya bagi mendapatkan banyak duit.

4. Mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai pornografi

Mungkin banyak dalam kalangan ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa membiarkan anak-anak menggunakan Facebook akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada pelbagai pornografi. Hal ini kerana banyak video-video lucah yang dimuat naik oleh pencipta-pencipta video (video creators) yang tidak bertanggungjawab di Facebook untuk mendapatkan lebih banyak bayaran daripada pihak Facebook. Selain itu, terdapat juga banyak foto-foto yang tidak sepatutnya dimuat naik di Facebook. Lebih menyedihkan apabila terdapat kanak-kanak yang berumur 5 tahun sudah mempunyai akaun Facebook sendiri. Hal ini sangat membimbangkan kerana ia akan merosakkan akhlak kanak-kanak yang akan bakal menjadi pemimpin dalam negara kita. Facebook sepatutnya lebih teliti dalam menerima pendaftaran akaun Facebook kerana kanak-kanak sangat mudah mendaftarkan akaun Facebook hanya dengan menukar tahun lahir. Selain itu, Facebook juga harus mengkaji semula semua video yang dimuat naik di Facebook dan menetapkan had umur penonton untuk video dewasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, semua video pada masa ini boleh ditonton oleh semua golongan termasuk kanak-kanak. Oleh itu, pihak Facebook haruslah memperbaiki masalah-masalah ini secepat yang mungkin sebelum nasi menjadi bubur.

5. Memuat naik aktiviti-aktiviti atau perkara-perkara yang tidak penting

Pengguna Facebook selalunya sangat gemar memuat naik banyak perkara atau aktiviti yang tidak penting. Sebagai contoh, ada sesetengah pengguna Facebook yang akan sentiasa memberitahu aktiviti-aktiviti mereka daripada foto bangun tidur, sarapan hinggalah tidur pun mahu diberitahu di Facebook. Ada juga pengguna Facebook yang akan sentiasa mengemaskini (mengupdate) aktiviti mereka di cerita (Story) Facebook. Jika ini menjadi rutin dalam kehidupan kita, ia akan sangat berbahaya kerana hal ini akan memudahkan orang lain mengetahui segala lokasi dan aktiviti semasa kita yang akan memudahkan orang yang berniat jahat terhadap kita memperoleh maklumat penting diri kita. Hal ini akan lebih kritikal lagi sekiranya kita memuat naik foto-foto barangan mahal yang kita beli di Facebook untuk tujuan mempamerkan kemewahan kita. Perkara ini akan mengundang perompak untuk datang ke rumah kita atau menculik kita. Oleh itu, jangan suka memuat naik foto-foto aktiviti kita di facebook.

"Jadi, apakah kita harus berhenti menggunakan Facebook atau tidak?"

Hal ini adalah terpulang kepada para sahabat sekalian apakah mahu menggunakan Facebook ataupun tidak. Pada pendapat saya, Facebook ini tidaklah buruk kerana ia banyak memberi kebaikan kepada saya. Sebenarnya, baik buruknya Facebook ini terletak pada diri kita masing-masing terpulang kepada cara kita menggunakan Facebook itu sendiri. Jika kita menggunakan Facebook untuk hal-hal yang bermanfaat, maka bermanfaatlah Facebook itu kepada kita dan jika sebaliknya, maka sebaliknya juga. Terpulang kepada kita untuk menjadikan Facebook itu baik atau buruk.


Sekian, terima kasih..