Faktor Berlakunya Gangguan Air Bersih di Malaysia

Faktor Berlakunya Gangguan Air Bersih di Malaysia

Isi-isi Penting

    1. Pencemaran Air
    2. Pembaziran Sumber Air Bersih
    3. Perbuatan Khianat
    4. Simpanan Air Bawah Tanah yang Terjejas
    5. Bencana Alam

Gangguan Air Bersih di Malaysia Semakin Kerap Berlaku

Gangguan air bersih ialah masalah yang biasa berlaku di Malaysia terutamanya, di negeri-negeri yang kerap mengalami banjir seperti Kelantan dan Selangor. 

Hal ini dibuktikan melalui banyaknya berita daripada media-media tempatan yang melaporkan mengenai masalah ini pada setiap tahun. 

Oleh itu, masalah ini perlu diatasi dengan segera kerana ia banyak mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Masalah gangguan air ini akan menganggu aktiviti harian masyarakat, malah turut mempengaruhi keperluan asas manusia seperti makan dan minum. 

Selain itu, masalah ini juga akan menjejaskan kesihatan masyarakat kerana air yang tercemar akan mengundang penyakit kulit, sakit perut dan dehidrasi. 

Pada realitinya, terdapat faktor yang membawa kepada berlakunya gangguan air bersih di Malaysia.

Faktor Gangguan Air Bersih

1. Pencemaran Air

Antara faktor berlakunya gangguan air bersih ialah pencemaran air. Sungai merupakan salah satu punca bekalan air bersih kepada masyarakat di negara kita. 

Malangnya, kini, banyak sungai di negara kita yang sudah tercemar yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktornya ialah pembuangan najis haiwan daripada aktiviti perternakan dan pertanian. 

Pencemaran bahan toksik daripada pelbagai aktiviti terutamanya aktiviti perkilangan juga menjadi punca kepada pencemaran air sungai. Dalam hal ini, banyak pengusaha kilang yang sengaja membuang sisa toksik daripada kilang ke sungai untuk mengurangkan kos pelupusan sisa toksik. 

Kesannya, sungai yang menjadi punca bekalan air bersih kepada masyarakat tercemar teruk oleh bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. 

Lebih parah lagi apabila, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menjadikan sungai sebagai tempat kumbahan. Hal ini menjadikan air sungai menjadi busuk dan mandatangkan penyakit kulit kepada manusia. 

Di samping itu, pencemaran air juga mungkian berlaku disebabkan oleh kemalangan bot-bot nelayan seperti sungai Batang Lupar di Sarawak dan Sungai Bernam di Selangor. Kejadian-kejadian tidak terjangka seperti ini akan menyebabkan manusia kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan harian. 

Jelaslah bahawa, pencemaran air menjadi salah satu punca berlakunya gangguan air bersih kepada manusia.

2. Pembaziran Sumber Air Bersih

Selain itu, aktiviti pembaziran sumber air bersih juga menjadi faktor kepada berlakunya gangguan air bersih. Hal ini berlaku apabila terdapat segelintir masyarakat yang menggunakan sumber air bersih secara berlebihan, iaitu kuantiti air yang digunakan melebihi kuantiti air yang sepatutnya digunakan. 

Sebagai contoh, aktiviti membasuh kereta terlalu kerap dilakukan walaupun kereta tidak kotor dan pokok-pokok bunga juga disiram secara berlebihan sehingga air bertakung di pasu bunga. 

Selain itu, paip air yang bocor dan tiadanya tindakan susulan untuk memperbaiki paip tersebut juga menyebabkan pembaziran air bersih berlaku. 

Lebih menyedihkan lagi apabila, terdapat individu yang tidak melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya mendapati paip air utama mengalami kebocoran sehingga menyebabkan berlaku pembaziran air bersih dalam kuantiti yang banyak. 

Pembaziran air bersih juga kerap dilakukan oleh masyarakat terutamanya, ketika membasuh pinggan mangkuk. Mereka sengaja membiarkan air mengalir sehingga mereka selesai membasuh pinggan. 

Hal ini menyebabkan lebih banyak air bersih yang dibazirkan, jika dibandingkan sekiranya mereka menakung air untuk membasuh pinggan mangkuk tersebut. 

Jika pembaziran air ini terus-menerus dilakukan walaupun sedikit, maka lama-kelamaan jumlah air bersh yang dibazirkan menjadi banyak yang seterusnya akan menyebabkan kepada berlakunya gangguan air bersih.

3. Perbuatan Khianat

Di samping itu, perbuatan khianat seperti mencuri air bersih juga menjadi faktor kepada berlakunya gangguan air bersih. Kegiatan mencuri air bersih ini biasanya dilakukan oleh restoran, kilang membuat makanan, bengkel kenderaan dan kolam takungan akuakultur untuk tujuan mengurangkan kos. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, perniagaan mereka ini sangat bergantung kepada bekalan air bersih untuk terus beroperasi. Aktiviti mencuri ini bukan sahaja dilakukan oleh mereka yang menjalankan perniagaan, malah ia juga turut berlaku di kawasan kampung-kampung. 

Dalam hal ini, terdapat segelintir masyarakat yang mahu mengelak membayar air bersih dengan cara mencurinya tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Hal ini menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih kepada masyarakat. 

Lebih parah lagi, apabila terdapat segelintir masyarakat yang melakukan perbuatan khianat dengan cara sengaja merosakkan saluran paip utama milik kerajaan atau paip-paip kecil milik orang persendirian yang menyebabkan berlakunya kebocoran paip. 

Hal ini bukan sahaja membazir air bersih, malah akan menyebabkan berlaku gangguan air bersih kerana kebocoran paip air akan  menyebabkan air bersih tidak dapat disalurkan secara efisien. 

Jelaslah bahawa, perbuatan khianat seperti mencuri air bersih akan menyebabkan berlakunya gangguan air bersih.

4. Simpanan Air Bawah Tanah yang Terjejas

Selain daripada perbuatan khianat, simpanan air bawah tanah yang terjejas juga akan menyebabkan gangguan bekalan air bersih. Hal ini boleh terjadi apabila berlaku kemusnahan kawasan tadahan air hujan. 

Kemusahan tadahan air hujan ini pula berlaku akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan secara berleluasa. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut mengalami peningkatan suhu dan tidak dapat menakung bekalan air bawah tanah. 

Air hujan tidak dapat ditakung di bawah tanah kerana ia terus kering atau disejat serta-merta selepas hujan. 

Selain itu, disebabkan ketiadaan hutan untuk menada air hujan, air hujan akan terus mengalir ke sungai bersama-sama dengan bahagian lapisan paling atas tanah yang menyebabkan sungai menjadi tercemar oleh kelodak. Hal ini menyebabkan air sungai terjejas.

Jelaslah bahawa simpanan air bawah tanah yang terjejas akan menimbulkan masalah gangguan bekalan air bersih.

5. Bencana Alam

Gangguan air bersih juga berlaku disebabkan oleh bencana alam. Di Malaysia, bencana alam seperti banjir kerap menyebabkan berlakunya gangguan air bersih. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, banjir menyebabkan semua sumber bekalan air bersih seperti sungai dan logi dicemari oleh air banjir yang kotor. 

Banjir juga kerap menyebabkan loji simpanan air rosak dan ini memakan masa yang panjang untuk diperbaiki seperti sedia kala. 

Sebagai contoh, banjir yang berlaku di Kelantan dan Selangor kerap menyebabkan berlakunya gangguan air bersih. 

Selain itu, bencana alam seperti tanah runtuh juga akan menyebabkan gangguan bekalan air bersih. Sebagai contoh, tanah runtuh yang berlaku berhampiran dengan Loji Rawatan Air Trong menyebabkan berlaku gangguan bekalan air bersih di beberapa kawasan di Daerah Wilayah Barat Taiping. 

Sudah tentu kejadian tidak dijangka ini akan menyebabkan berlaku gangguan air bersih dalam tempoh beberapa hari bergantung kepada teruknya kerosakan yang dialami oleh loji rawatan air tersebut. 

Jelaslah bahawa, bencana alam akan menyebabkan berlakunya gangguan air bersih di beberapa kawasan bergantung kepada keseriusan kejadian bencana alam tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada berlakunya gangguan air bersih di Malaysia. 

Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi meminimumkan gangguan air bersih di Malaysia. 

Pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar haruslah mengenakan tindakan yang tegas terhadap syarikat-syarikat yang membuang  sisa toksik dan kimia ke dalam sungai bagi mengurangkan kos pelupusan sisa-sisa tersebut. 

Aktiviti-aktiviti melestarikan kawasan tadahan air hujan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan ia menjalankan fungsinya dengan baik. 

Selain itu, kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan juga perlu dikurangkan bagi memastikan wujudnya kawasan tadahan air hujan yang efisien untuk membekalkan air bersih kepada seluruh masyarakat di Malaysia. 

Dalam hal ini, masyarakat juga perlu bekerjasama dalam usaha ini dengan cara melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab sekiranya mengesan kebocoran paip air. 

Semoga masalah gangguan air bersih di Malaysia dapat diminimumkan dengan adanya kerjasama yang erat semua pihak.