Punca Makanan Segera Digemari oleh Masyarakat Malaysia

Punca Makanan Segera Digemari Oleh Masyarakat Malaysia

Pengambilan Makanan Segera oleh Masyarakat di Malaysia

Sejak akhir-akhir ini, kewujudan produk-produk makanan segera di negara kita bagai cendawan tumbuh selepas hujan. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, hampir semua kedai yang menjual barang makanan pasti ada menjual makanan segera. 

Makanan segera ini semakin menjadi pilihan utama rakyat Malaysia berbanding dengan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran. 

Buktinya, setiap masa kedai makanan segera seperti Mc Donald, Pizza Hut dan KFC sentiasa dipenuhi oleh pelanggan. 

Hal ini telah menyebabkan negara kita menduduki tangga teratas dalam bilangan rakyat yang menghidapi masalah obesiti tertinggi di Asia Tenggara. 

Keadaan ini telah menjadi tanda tanya mengenai punca rakyat Malaysia mengemari makanan segera. Hakikatnya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masyarakat gemar akan makanan segera. 

Punca Makanan Segera Digemari oleh Masyarakat

1. Faktor Kesibukan

Antara punca rakyat Malaysia menggemari makanan segera adalah disebabkan oleh faktor kesibukan. Kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya di bandar yang sibuk disebabkan oleh pekerjaan menyebabkan mereka cenderung untuk mengambil makanan segera. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan segera ini mudah untuk disediakan berbanding dengan makanan berkhasiat. Sebagai contoh, makanan segera seperti mi segera hanya memerlukan masa lima minit dan air panas untuk menyediakannya. Hal ini sangat menjimatkan masa bagi mereka yang sangat sibuk bekerja. 

Selain itu, makanan segera seperti burger dan pizza juga telah siap tersedia yang menyebabkan mereka hanya perlu memikmatinya setelah pulang daripada bekerja. 

Hal ini juga menjimatkan tenaga dan masa mereka kerana tidak perlu lagi menyediakan makanan setelah pulang daripada bekerja. 

Dalam masa yang sama, makanan segera yang ditinkan dan dipekkan juga menjimatkan masa dan memudahkan bagi mereka yang sibuk bekerja kerana hanya perlu memanaskan sahaja makanan tersebut. 

Hal ini telah menyebabkan rakyat Malaysia gemar mengambil makanan segera kerana ia dapat menjimatkan masa mereka.

2. Rasa yang Sedap

Selain itu, makanan segera juga digemari oleh rakyat Malaysia kerana rasanya yang sedap. Makanan segera mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding dengan makanan berkhasiat. 

Sebagai contoh, makanan segera seperti burger dan pizza lebih sedap berbanding dengan sayur-sayuran yang rasanya agak pahit. 

Selain itu, rupa dan warna makanan segera juga membuatkannya kelihatan lebih sedap. Sebagai contoh, rupa dan warna burger adalah menarik yang menyebabkan orang ramai merasa ia sedap dan menyelerakan. 

Oleh itu, masyarakat lebih tertarik untuk mengambil makanan segera berbanding dengan makanan berkhasiat. Jelaslah bahawa kesedapan makanan segera menyebabkan orang ramai lebih memilihnya berbanding dengan makanan berkhasiat.

3. Dianggap Makanan Mewah

Di samping itu, masyarakat gemar akan makanan segera kerana mereka menganggap makanan tersebut mewah. Kebanyakan orang menganggap makanan segera seperti pizza dan burger ialah makanan mewah. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, hanya orang kaya sahaja yang mampu keluar masuk daripada restoran makanan segera seperti Mc Donald, KFC dan Pizza Hut. 

Selain itu, makanan segera juga dianggap mewah kerana makanan ini berasal daripada barat. Dalam masa yang sama, kebiasaannya hanya orang berkemampuan sahaja yang mengenali makanan segera seperti pizza dan burger

Hal ini dikatakan demikian kerana, orang miskin menganggap makanan segera seperti pizza dan burger tidak mengenyangkan jika dibandingkan dengan makanan lain. 

Keadaan ini telah menjadikan makanan segera seperti burger dan  pizza ini makanan mewah dan digemari oleh masyarakat untuk menunjukkan mereka orang yang berkemampuan. Jelaslah bahawa makanan segera ini dianggap mewah yang menyebabkan orang ramai menggemarinya.

4. Pengiklanan

Masyarakat juga menggemari makanan segera disebabkan oleh iklan yang dibuat oleh syarikat pengeluar makanan segera. 

Kebiasaannya, syarikat pengeluar makanan segera seperti KFC dan Mc Donald mengiklankan produk makanan mereka di media massa, media elektronik dan media cetak. 

Mereka akan menggunakan artis-artis terkenal tanah air untuk mempengaruhi masyarakat untuk membeli produk makanan segera mereka. 

Hal ini menyebabkan masyarakat tertarik untuk mencuba makanan segera tersebut. Mereka menganggap makanan tersebut baik untuk kesihatan kerana terdapat artis kegemaran mereka di iklan tersebut. 

Hal ini mendorong mereka untuk mengikuti perbuatan artis tersebut sebagai tanda sokongan mereka terhadap artis tersebut. 

Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan makanan segera. Jelaslah bahawa pengiklanan yang dibuat oleh syarikat pengeluar makanan segera menyebabkan rakyat terpengaruh untuk menggemari makanan segera.

5. Perkhidmatan yang Baik oleh Restoran Makanan Segera

Selain daripada faktor pengiklanan,  perkhidmatan yang diberikan oleh restoran makanan segera kepada pelanggannya juga baik. 

Dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggannya, restoran makanan segera menggunakan istilah "Pelanggan ialah raja". 

Dalam hal ini, pelanggan sentiasa betul dan para pekerja restoran makanan segera perlu sentiasa mengutamakan pelanggan mereka. 

Restoran makanan segera seperti KFC dan Mc Donald juga sentiasa mengutamakan keselesaan pelanggan mereka dan memastikan restoran mereka kelihatan mewah dengan harga produk mereka yang murah dan sederhana. 

Selain itu, restoran makanan segera juga menawarkan pembelian produk mereka secara pandu lalu. 

Hal ini menyebabkan orang ramai boleh membeli makanan segera di restoran mereka tanpa perlu turun daripada kenderaan, malah restoran makanan segera juga menawarkan penghantaran produk mereka hingga ke pintu rumah. 

Namun, perkhidmatan ini hanya tertakluk kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar yang sama. Perkhidmatan yang baik ini menyebabkan orang ramai gemar mengunjungi restoran makanan segera. 

Jelaslah bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh restoran makanan segera telah mendorong masyarakat memggemari makanan segera.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masyarakat menggemari makanan segera. 

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagi mengelakkan pengambilan makanan segera secara berlebihan oleh masyarakat, terutamanya golongan remaja. 

Pihak kerajaan perlulah mengadakan kempen kesedaran mengenai kesan pengambilan makanan segera secara berlebihan ini kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan segera ini boleh membahayakan kesihatan masyarakat jika diambil secara berlebihan. 

Semoga masalah pengambilan makanan segera secara berlebihan oleh masyarakat di negara ini dapat diatasi dengan jayanya.