Punca Berlaku Keganasan dalam Rumah Tangga
Keganasan Dalam Rumah Tangga di Malaysia Semakin Semakin Serius
Kini, keganasan dalam rumah tangga semakin menjadi-jadi di negara kita. Semakin hari, semakin banyak kes penderaan kanak-kanak dan pukul isteri yang dilaporkan oleh media-media tempatan. Keganasan dalam rumah tangga ini selalunya melibatkan penderaan fizikal dan mental serta penganiayaan, malah pembunuhan juga berlaku. Keganasan dalam rumah tangga ini bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal, malah menyebabkan mangsa penderaan tersebut mengalami trauma terutamanya kanak-kanak. Terdapat juga mangsa yang mengalami kecacatan kekal seperti lumpuh. Lebih mengerikan lagi, apabila terdapat mangsa yang meninggal dunia akibat daripada keganasan dalam rumah tangga ini. Pada realitinya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada keganasan dalam rumah tangga ini.
Punca Keganasan dalam Rumah Tangga
1. Kegagalan Mengawal Kemarahan atau Sikap Panas Baran
Kegagalan untuk mengawal kemarahan atau sikap panas baran sesetengah pasangan ini merupakan salah satu punca keganasan dalam rumah tangga berlaku. Sikap panas baran ini menyebabkan sesetengah pasangan ini hilang pertimbangan sehinggakan sanggup memukul anak-anak dan pasangan masing-masing. Mereka tidak dapat mengawal emosi mereka ketika mereka marah. Sebagai contoh, si suami cepat naik tangan apabila anak-anak dan isteri membuat kesilapan kecil. Hal ini akan menyebabkan keganasan dalam rumah tangga berlaku yang akan meninggalkan trauma kepada anak-anak dan pasangan masing-masing.
2. Kekurangan Ilmu Keibubapaan
Selain itu, ilmu keibubapaan yang kurang juga mendorong kepada keganasan dalam rumah tangga. Hal ini kebiasanya berlaku kepada pasangan muda yang baru berkahwin. Ketiadaan ilmu keibubapaan ini menyebabkan mereka salah mendidik anak-anak mereka. Misalnya, terdapat pasangan muda yang menganggap memukul anak dapat mendidik anak-anak dengan berkesan. Hal ini menyebabkan anak mengalami kecederaan fizikal dan trauma. Di samping itu, terdapat juga pasangan yang saling menunding jari untuk menjaga anak-anak padahal menjaga anak merupakan tanggungjawab mereka bersama. Hal ini menyebabkan anak terabai dan penderaan secara mental dan fizikal berlaku.
3. Pegangan Agama yang Rapuh
Selain daripada kurangnya ilmu keibubapaan, pegangan agama yang rapuh juga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga. Pegangan agama yang rapuh menyebabkan pasangan salah faham terhadap bentuk didikan kepada anak-anak yang dianjurkan oleh agama. Misalnya, terdapat agama yang menganjurkan supaya anak-anak dirotan ataupun didenda sekiranya melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Pasangan yang pegangan agamanya rapuh akan mentafsirkan ajaran ini dengan salah. Mereka akan merotan dan mendenda anak-anak mereka sehingga mendatangkan kecederaan dan trauma sedangkan merotan dan mendenda yang dimaksudkan oleh agama tersebut adalah untuk tujuan mendidik dan memberi pengajaran semata-mata.
4. Masalah Kewangan
Masalah kewangan yang dihadapi ketua keluarga juga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga. Masalah kewangan dalam rumah tangga ini menyebabkan kerap kali berlaku pertengkaran antara suami isteri. Anak-anak juga tidak terkecuali dalam pertengkaran ini. Kebiasannya keluarga yang menghadapi masalah kewangan yang teruk ini ialah keluarga yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai terlalu ramai anak-anak. Hal ini menyebabkan si suami akan melempiaskan tekanannya kepada si isteri dengan memukulnya. Kadangkala anak-anak juga akan menjadi mangsa tempat melepaskan tekanannya terhadap kewangan. Lebih mengeruhkan lagi keadaan sekiranya si suami meminjam wang daripada lintah darat. Hal ini menyebabkan si isteri dan anak-anak mengalami kecederaan fizikal dan trauma yang mungkin boleh menyebabkan kemurungan jika berterusan.
5. Pengamalan Gaya Hidup Tidak Sihat
Di samping itu, pengamalan gaya hidup yang tidak sihat juga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga. Pengambilan alkohol dan dadah oleh pasangan menyebabkan pertengkaran antara pasangan kerap berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka akan hilang rasa tanggungjawab terhadap keluarga. Minuman beralkohol dan dadah akan menyebabkan pasangan hilang kewarasan sehingga sentiasa marah-marah dan memukul anak-anak serta pasangan. Terdapat juga suami penagih dadah yang sanggup melacurkan isterinya untuk memperoleh wang bagi membeli dadah. Selain itu, suami yang terlibat dengan judi juga akan menyebabkan keganasan dalam rumah tangga. Judi akan menyebabkan masalah kewangan kepada keluarga. Oleh itu, si suami selalunya akan memaksa isteri dan anak-anaknya untuk bekerja bagi mendapatkan sumber kewangan. Jika isteri dan anak-anak ingkar, maka mereka akan didera sehingga mengalami kecederaan yang teruk.
Masalah Keganasan dalam Rumah Tangga Perlu Diambil Perhatian
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang mendorong keganasan dalam rumah tangga. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menangani masalah keganasan dalam rumah tangga. Masyarakat boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada berlaku keganasan rumah tangga dalam komuniti mereka. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mengambil langkah yang signifikan untuk memastikan kadar keganasan rumah tangga di Malaysia berkurang dengan pantas. Jika masalah ini tidak dibendung dengan cepat dan berkesan, maka masa depan negara kita akan gelap kerana negara dipenuhi dengan individu-individu yang mengalami tekanan mental yang teruk.