Faktor Berlakunya Rasuah

Faktor Berlakunya Rasuah

Gejala Rasuah dalam Kalangan Penjawat Awam di Malaysia Semakin Membimbangkan

Sejak akhir-akhir ini, gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam sedang hangat diperkatakan di media sosial. Rasuah secara mudahnya bermaksud sogokan yang diberi supaya mendapat sesuatu balasan dengan mudah dan cepat. Gejala rasuah ini sering menjadi tajuk utama berita dalam kaca televisyen. Hal ini membimbangkan ramai pihak kerana gejala rasuah ini boleh merosakkan imej negara di mata dunia. Ia turut akan menyebabkan negara kita kehilangan pelaburan langsung asing (FDI). Secara realitinya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Faktor Rasuah dalam Kalangan Penjawat Awam

1. Sikap Materialistik

Antara faktor berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam ialah sikap materialistik. Hal ini disebabkan oleh sikap negatif individu yang suka bermewah-mewah di luar kemampuannya. Mereka menganggap memiliki banyak harta benda yang mewah seperti kereta, rumah dan barang kemas boleh menyebabkan mereka dikagumi dan dihormati. Hal ini mendorong mereka untuk mengambil rasuah kerana ia merupakan jalan yang mudah yang membolehkan mereka memiliki barang-barang mewah. Selain itu, dengan mengambil rasuah juga, mereka tidak perlu berhutang dengan Along. Sekiranya mereka seorang penjawat awam yang bertanggungjawab meluluskan lesen perniagaan, mereka hanya perlu meluluskan permohonan lesen perniagaan pemberi rasuah tersebut tanpa mengikut prosedur dan memperoleh wang. Jelaslah bahawa rasuah disebabkan oleh sikap materialistik penjawat awam itu sendiri.

2. Pegangan Agama yang Rapuh

Selain itu, gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam juga berlaku disebabkan oleh pegangan agama seseorang yang rapuh. Hal ini berlaku disebabkan oleh terdapat individu yang tidak mengamalkan ajaran agamanya dengan betul. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik dan juga buruk. Mereka juga tidak kesah akan konsep pahala dan dosa. Dalam hal menerima rasuah, mereka menganggap perkara tersebut betul kerana mereka menganggap wang rasuah tersebut sebagai hadiah atau imbalan atas tugas yang mereka laksanakan. Sebenarnya, rasuah ini berlaku disebabkan oleh individu tersebut tidak dapat membezakan rezeki yang halal dan haram yang menyebabkan mereka mengambil rezeki haram tersebut. Jelaslah bahawa pegangan agama yang rapuh menyebabkan penjawat awam cenderung untuk menerima rasuah.

3. Penguatkuasaan Undang-undang yang Lemah

Di samping itu, gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam juga berlaku disebabkan oleh penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Hal ini berlaku disebabkan oleh kekurangan anggota penguatkuasa. Kekurangan anggota penguatkuasa ini menyebabkan pemantauan terhadap rasuah tidak dapat dilakukan dengan berkesan. Kekurangan latihan juga menyebabkan penguatkuasa tidak tidak komited untuk membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam. Hal ini menyebabkan rasuah berlaku secara berleluasa dalam kalangan penjawat awam. Selain itu, hukuman yang dikenakan kepada pelaku rasuah juga masih ringan dan tidak manakutkan mereka. Hal ini menyebabkan mereka lebih sanggup didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah daripada berhenti untuk mengambil rasuah. Jelaslah bahawa kelemahan penguatkuasaan undang-undang menyebabkan rasuah berleluasa dalam kalangan penjawat awam.

4. Kewujudan Ruang dan Peluang

Kewujudan ruang dan peluang juga menyebabkan gejala rasuah berlaku. Ruang dan peluang ini biasanya wujud disebabkan oleh kerenah birokrasi dalam perkhidmatan awam. Misalnya, terdapat penjawat awam yang sengaja melambat-lambatkan sesuatu urusan supaya penjawat awam tersebut diberikan rasuah untuk mempercepatkan urusan tersebut. Selain itu, prosedur kerja yang kompleks dalam urusan kerajaan juga menyebabkan rasuah berlaku untuk memudahkan urusan tersebut. Sebagai contoh, urusan kerajaan yang menyebabkan seseorang itu terpaksa berulang-alik ke sesuatu pejabat menyebabkan seseorang itu terpaksa memberikan rasuah untuk memudahkan urusan tersebut. Hal ini bertambah buruk lagi sekiranya seseorang itu terpaksa berulang-alik dari luar bandar ke bandar untuk menguruskan urusan tersebut. Jelaslah bahawa rasuah berlaku disebabkan oleh wujudnya ruang dan peluang.

5. Gaji Rendah

Gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam juga berlaku disebabkan oleh gaji yang rendah. Gaji yang rendah ini mendorong individu untuk mengambil rasuah bagi meningkatkan pendapatannya. Pegawai awam berjawatan rendah yang berada di bandar lebih cenderung untuk mengambil rasuah kerana kos sara hidup di bandar adalah tinggi. Selain itu, penjawat awam bergaji rendah yang suka berbelanja tanpa kawalan juga menyebabkan mereka mengambil rasuah untuk mengisi poket mereka untuk memenuhi kehendak mereka. Lebih menyedihkan lagi, jika seseorang penjawat awam yang bergaji rendah ini dibelenggu dengan hutang. Hal ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengambil rasuah untuk membayar hutang tersebut. Jelaslah bahawa gaji yang rendah juga merupakan faktor seseorang penjawat awam terlibat dengan rasuah.

Gejala Rasuah Perlu Ditangani Segera

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya jenayah rasuah dalam kalangan penjawat awam di Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi menangani jenayah rasuah ini. Pihak kerajaan perlulah mengadakan kempen kesedaran awam mengenai rasuah supaya masyarakat tidak terlibat dalam jenayah rasuah. Selain itu, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan cara membuat aduan sekiranya mereka mendapati terdapat penjawat awam yang melakukan jenayah rasuah. Semoga negara kita bebas daripada jenayah rasuah untuk mengembalikan keyakinan negara lain terhadap Malaysia.