Faktor Penderaan Kanak-kanak

Faktor Penderaan terhadap Kanak-kanak di Malaysia

Faktor penderaan kanak-kanak

Sejak akhir-akhir ini, isu mengenai penderaan kanak-kanak sedang hangat diperkatakan di media sosial dan media arus perdana. Berita mengenai penderaan kanak-kanak ini juga sudah sebati dengan masyarakat di Malaysia kerana sangat kerap dilaporkan oleh media-media di negara kita. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penderaan kanak-kanak kelainan upaya yang pernah viral di media sosial sebelum ini, iaitu adik Bella. Kanak-kanak kelainan upaya ini mengejutkan masyarakat apabila kemunculannya di media kali ini sangat menyayat hati, di mana dia mengalami penderaan fizikal yang sangat serius. Masyarakat menyangka selepas kisahnya ini viral di media sosial sebelum ini, kehidupannya bertambah baik, namun malangnya dia mengalami penderaan fizikal dan mental yang sangat teruk. Hal ini telah membuka mata masyarakat Malaysia untuk mengambil serius mengenai isu penderaan kanak-kanak ini. Pada realitinya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya penderaan kanak-kanak.

Faktor Penderaan Kanak-kanak di Malaysia

1. Pegangan Agama yang Rapuh

Antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak ialah pendera mempunyai pegangan agama yang rapuh. Hal ini menyebabkan pendera tidak dapat berfikir secara waras dan rasional sehinggakan tergamak melakukan kekejaman terhadap darah dagingnya sendiri. Keadaan ini berlaku kerana pendera tidak dapat menghayati ajaran agama yang menuntut seluruh penganutnya untuk berbuat baik dan tidak mencederakan bukan sahaja kepada kanak-kanak, bahkan kepada seluruh umat manusia. Dalam pada itu, pendera juga tidak dapat membezakan sama ada tindakan yang mereka lakukan itu betul atau salah. Pendera hanya bertindak mengikut logik fikirannya sahaja sedangkan hal tersebut melanggar hak asasi manusia dan salah di sisi ajaran agama. Oleh itu, pendera tidak akan ada rasa sedikit pun kasihan terhadap kanak-kanak yang didera kerana dia tidak mengenal dosa dan pahala. Mereka akan berasa sangat puas sekiranya dapat melempiaskan kemarahan dan ketidakpuashatiannya terhadap kanak-kanak yang tidak berdaya untuk melawan apabila dikasari. Mereka mempunyai fikiran bahawa perbuatan mendera kanak-kanak merupakan salah satu cara untuk melepaskan stress atau ketidakpuashatian terhadap orang lain yang tidak mampu untuk dikasarinya. Biasanya, pendera akan berasa sangat puas dan gembira sekiranya mendengar tangisan kanak-kanak yang dikasari. Maksudnya, tangisan kanak-kanak akibat dikasari ini akan mampu merangsang hormon dopamin di dalam otak pendera untuk menimbulkan perasaan gembira. Oleh itu, pendera akan mendera kanak-kanak secara terus-menerus untuk mendapatkan perasaan gembira tersebut. Hal ini terjadi kerana lemahnya iman pendera terhadap tuhan. Jelaslah bahawa pegangan agama yang rapuh ini menjadi faktor kepada berlakunya kes penderaan kanak-kanak.

2. Krisis dalam Rumah Tangga

Selain itu, krisis dalam rumah tangga juga menjadi punca kepada berlakunya penderaan kanak-kanak. Perbalahan atau pergaduhan antara suami isteri sering berakhir dengan penderaan kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana, suami isteri yang bertengkar biasanya akan mencari mangsa untuk melepaskan rasa geram terhadap pasangannya. Dalam hal ini, kanak-kanak sering menjadi mangsanya kerana mereka merupakan insan yang lemah dan tidak mampu untuk melawan. Kekejaman ini boleh berlaku kerana ibu bapa yang bertengkar biasanya tidak mampu mengawal emosi dan fikirannya juga dalam keadaan kurang waras. Hal ini menyebabkan mereka tanpa sedar memukul anak mereka untuk melempiaskan rasa geramnya terhadap pasangan. Mereka hanya menyedari perbuatan kejam mereka itu hanya selepas anak yang didera itu sudah dalam keadaan kritikal. Dalam pada itu, terdapat juga ibu bapa yang sengaja memukul anaknya kerana menganggap anaknyalah yang menjadi punca kepada pergaduhan mereka. Oleh itu, setiap kali pertengkaran antara suami isteri berlaku, maka anak-anaklah yang akan menjadi sasaran tempat melempiaskan kemarahan. Jelaslah bahawa krisis dalam rumah tangga boleh mengundang kepada penderaan kanak-kanak.

3. Faktor Ibu Mengikuti Teman Lelaki

Di samping itu, faktor ibu mengikuti teman lelaki juga menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku. Kita seringkali mendengar berita mengenai kanak-kanak yang mengalami penderaan apabila ibunya mempunyai teman lelaki. Dalam hal ini, kebiasaannya sama ada si ibu, teman lelaki si ibu atau kedua-dua mereka yang melakukan penderaan tersebut. Jika teman lelaki si ibu yang melakukan hal tersebut, sudah tentu perbuatan kejam tersebut berada di luar pengetahuan si ibu. Biasanya, teman lelaki si ibu berpura-pura baik terhadap kanak-kanak tersebut di hadapan ibunya tetapi di belakang, dia kejam seperti binatang. Hal ini boleh terjadi kerana teman lelaki si ibu merasa terganggu dan terbeban dengan kehadiran kanak-kanak tersebut atau belum bersedia untuk menjaga kanak-kanak. Oleh itu, dia melepaskan segala ketidakpuashatiannya terhadap kanak-kanak tersebut dengan menderanya tanpa pengetahuan ibunya, malah ada juga yang melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak tersebut. Jika si ibu pula yang mendera si anak apabila mempunyai teman lelaki, ia berkemungkinan berlaku kerana kewujudan si anak ini menyebabkan hubungan si ibu dengan teman lelakinya menjadi renggang. Sebagai contoh, si ibu dan teman lelakinya kerap bertengkar disebabkan oleh kanak-kanak tersebut. Hal ini mendorong si ibu menyalahkan si anak dengan cara menderanya. Dalam hal ini, tidak mustahil jika si ibu dan teman lelakinya juga bersama-sama mendera si anak. Hal ini berlaku kerana mereka tidak mahu kemesraan mereka terganggu, malah terdapat juga kes, di mana si ibu dipengaruhi oleh teman lelakinya untuk bersama-sama mendera si anak. Sudah tentu, kehadiran kanak-kanak dalam percintaan dua merpati sejoli sangat menganggu sehinggakan terdapat pasangan yang sanggup mendera kanak-kanak. Jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak ini seringkali berlaku apabila si ibu mempunyai teman lelaki.

4. Masalah Kewangan

Masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi faktor kepada berlakunya penderaan kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana, masalah kewangan ini seringkali membawa kepada pertengkaran dalam keluarga. Dalam hal ini, anak-anak sering menjadi mangsa penderaan fizikal oleh ibu bapa. Ibu bapa akan melempiaskan segala tekanan kewangannya kepada anak-anak dengan cara mendera mereka. Bukan itu sahaja, malah pentengkaran yang berlaku ini juga akan mendera anak-anak secara emosi, di mana anak-anak berkemungkinan besar akan menghidapi trauma dan kemurungan. Oleh itu, anak-anak mengalami rasa takut yang melampau apabila mereka dimarahi atau melihat pertengkaran. Selain itu, masalah kewangan ini juga boleh menyebabkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Hal ini biasanya berlaku kepada keluarga yang memiliki rumah yang sempit, terutamanya di bandar kerana tidak mampu untuk menyewa rumah yang besar. Keadaan rumah yang sempit ini menyebabkan ayah atau adik-beradik lelaki melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak wanita. Hal ini berlaku kerana keadaan rumah yang sempit menyebabkan ahli keluarga lelaki dan perempuan tidur secara bersama walaupun sudah akil baligh. Oleh itu, ahli-ahli keluarga lelaki yang telah akil baligh seperti ayah dan abang tidak dapat menahan nafsu amarahnya, di tambah pula wujudnya peluang untuk memuaskan nafsu mereka. Dengan itu, berlakulah penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Jelaslah bahawa masalah kewangan yang wujud dalam sesebuah keluarga menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak.

5. Gaya Hidup Tidak Sihat

Selain daripada masalah kewangan, gaya hidup yang tidak sihat juga mendorong berlakunya penderaan kanak-kanak. Gaya hidup yang tidak sihat seperti mengambil alkohol dan dadah serta berjudi sangat mempengaruhi seseorang untuk melakukan penderaan kanak-kanak. Apabila seseorang mengambil dadah atau alkohol, maka dia berada dalam keadaan tidak waras dan tidak dapat bertindak secara rasional kerana segala tubuh badannya termasuk fikirannya dikawal oleh dadah atau alkohol tersebut. Oleh itu, apabila individu tersebut berhadapan dengan anaknya yang nakal, maka dia akan bertindak memukulnya dalam keadaan tidak sedar. Selain itu, individu yang suka berjudi juga cenderung untuk melakukan penderaan terhadap kanak-kanak kerana mereka sentiasa berada dalam keadaan tidak dapat mengawal emosi. Hal ini bertambah buruk lagi sekiranya individu tersebut mempunyai masalah kewangan dan selalu kalah dalam berjudi. Keadaan ini menyebabkan mereka akan bertindak melepaskan tekanan emosi kepada anak mereka dengan mendera anak mereka. Mereka akan mudah marah dan memukul anak mereka walaupun anak mereka melakukan kesilapan yang kecil. Dalam hal ini, mereka sudah tidak mampu berfikir dan bertindak secara rasional kerana fikiran mereka sudah dipengaruhi oleh permainan judi tersebut. Keadaan ini bertambah buruk lagi sekiranya anak mereka nakal. Sudah tentu, anak mereka akan didera dengan teruk. Jelaslah bahawa gaya hidup yang tidak sihat seperti mengambil alkohol dan dadah serta bermain judi boleh mengundang berlakunya penderaan kanak-kanak.

Penutup Karangan Faktor Penderaan Kanak-kanak

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya penderaan kanak-kanak. Hal ini haruslah dipandang serius oleh semua pihak kerana ia memberikan kesan yang sangat serius kepada perkembangan mental kanak-kanak. Pihak berkuasa haruslah menguatkuasakan lagi undang-undang sedia ada untuk membendung penderaan kanak-kanak ini. Masyarakat juga haruslah peka terhadap persekitaran mereka supaya penderaan kanak-kanak ini tidak berlaku. Mereka haruslah segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mereka mencurigai seseorang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. Semoga kes penderaan kanak-kanak di negara kita dapat dibendung untuk memastikan generasi yang bakal menerajui negara pada masa hadapan mempunyai kesihatan mental yang baik.


Rujukan :

Norsaleha Mohd Salleh, Noor Hafizah Mohd Haridi, Zetty Nurzuliana Rashed, Kamal Azmi Abd Rahman, Norbahiah Misran & Nabilah Huda Zaim. (2019). Faktor Penderaan Kanak-kanak di Malaysia : Satu Analisis, e-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2019. Dilayari dari https://www.researchgate.net/publication/343876796_Faktor_Penderaan_Kanak-Kanak_di_Malaysia_Satu_Analisis