Kesan Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Kesan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia

Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke Malaysia Memberikan Kesan Negatif

Sejak akhir-akhir ini, isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) kembali hangat diperkatakan di media sosial. Walaupun isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini telah lama wujud di negara kita, namun kini ia kembali hangat menjadi bualan orang ramai kerana isu ini bersangkutan dengan keselamatan negara. Memandangkan isu ini telah lama wujud dan semakin menjadi-jadi, orang ramai mempersoalkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ini, malah kredibiliti pasukan keselamatan dan penguatkuasa juga turut dipersoalkan. Umum mengetahui bahawa negara kita merupakan salah sebuah negara yang sedang pesat membangun di Asia Tenggara dan pastinya mempunyai banyak projek pembangunan. Oleh itu, negara kita memerlukan banyak tenaga kerja bagi menjayakan projek-projek pembangunan ini. Hal ini menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) lebih memilih untuk bekerja secara tidak sah di Malaysia bukan sahaja disebabkan oleh banyaknya peluang pekerjaan, malah disebabkan oleh keramahan rakyat Malaysia itu sendiri. Namun begitu, kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) ini mendatangkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan negara.

Kesan Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin Ke Malaysia

1. Peningkatan Kadar Jenayah dan Masalah Sosial

Antara kesan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita termasuklah menyebabkan kadar jenayah dan masalah sosial meningkat.
Pelbagai kegiatan jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) semata-mata untuk mendapatkan wang ringgit bagi kelangsungan hidup mereka seperti merompak, meragut dan lain-lain. Kejadian pecah rumah yang didalangi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga kerap berlaku di kawasan-kawasan perumahan, malah mereka juga sanggup merogol wanita-wanita tempatan demi memuaskan nafsu mereka. Hal ini sudah tentu akan menganggu ketenterman awam. Selain itu, terdapat juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme di mana mereka akan bergaduh sesama sendiri untuk merebut kawasan kekuasaan, malah mereka juga akan mengugut warga-warga tempatan untuk membayar wang perlindungan kepada mereka. Hal ini sangat merugikan warga tempatan. Budaya gangsterisme yang dibawa oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga akan menyebabkan banyak anak-anak muda yang akan terikut-ikut dengan perlakuan mereka. Keadaan ini sudah tentu akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan generasi muda di negara kita. Peningkatan kadar jenayah yang disebabkan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga menyebabkan imej negara tercemar di mata dunia kerana ketidakmampuan negara dalam mengawal jenayah. Kesannya, pelaburan langsung asing (FDI) dari luar negara yang masuk ke dalam negara kita menurun.

2. Penyebaran Penyakit Berbahaya

Selain itu, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita juga akan menyebabkan penyebaran penyakit berbahaya. Keadaan ini akan menyebabkan rakyat tempatan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti tibi, kusta, batuk kering dan sebagainya. Penyebaran ini berlaku kerana pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke dalam negara kita tidak membuat saringan kesihatan. Hal ini menyebabkan mereka akan menjangkiti rakyat tempatan. Oleh itu, kesihatan awam di negara kita akan terjejas. Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga menjejaskan dasar-dasar kerajaan untuk mengawal penyakit berbahaya seperti Covid-19 kerana mereka yang menjadi penyebar kepada penyakit ini. Misalnya, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita akan menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilakukan oleh kerajaan supaya negara kita mencapai imuniti kelompok. Namun begitu, keengganan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengikuti program ini kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa menyebabkan kebarangkalian untuk mereka menyebarkan Covid-19 kepada rakyat tempatan adalah tinggi. Oleh itu, negara kita akan terus dibelenggu krisis kesihatan. Kesannya, kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara terjejas.

3. Menjejaskan Peluang Pekerjaan kepada Penduduk Tempatan

Di samping itu, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara juga akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pihak majikan lebih cenderung mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja dengan mereka. Kebiasannya, golongan PATI ini diambil bekerja secara haram oleh pihak majikan di ladang-ladang kelapa sawit, sektor-sektor pembinaan dan perindustrian. Hal ini dikatakan demikian kerana pendatang asing tanpa izin (PATI) ini lebih sanggup menerima upah yang rendah berbanding dengan penduduk tempatan. Kesanggupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerima upah yang rendah ini menyebabkan pihak majikan mengambil mereka kerana kos upah yang ditanggung oleh pihak majikan akan menjadi lebih rendah. Hal ini menyebabkan peluang untuk penduduk tempatan diambil bekerja di sektor-sektor perladangan kelapa sawit, pembinaan dan perindustrian menjadi semakin tipis. Ditambah lagi, pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga tidak cerewet seperti penduduk tempatan, malah terdapat ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lebih rajin daripada penduduk tempatan. Hal menyebabkan pihak majikan lebih suka mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja dengan mereka. Lebih malang lagi nasib penduduk tempatan kerana kebiasannya golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini lebih mahir dalam kerja-kerja perladangan dan pembinaan serta pengendalian mesin dan jentera berbanding dengan penduduk tempatan. Hal ini akan mengurangkan kos untuk pihak majikan memberikan latihan dan kemahiran kepada mereka. Jika hal ini berterusan, maka kadar pengangguran di negara ini akan meningkat. Jelaslah bahawa, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

4. Masalah Setinggan

Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga akan menyebabkan masalah setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendirikan rumah secara haram sehinggalah wujud kawasan setinggan. Kawasan setinggan yang didirikan ini tidak teratur di mana rumah-rumah yang dibina di kawasan ini adalah berselerak dan berdekatan antara satu sama lain. Jika berlaku kebakaran, maka keseluruhan kawasan setinggan ini akan musnah. Rumah-rumah yang didirikan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga berbahaya untuk dihuni kerana tidak kukuh. Selain itu, kawasan setinggan ini juga akan mewujudkan sebuah kawasan yang kotor kerana kebiasannya di kawasan ini terdapat banyak sampah sarap. Hal ini berlaku demikian kerana, ketiadaan sistem pembuangan sampah dan perparitan serta kumbahan yang baik di kawasan ini. Akibat daripada masalah ini, munculah masalah baharu, iaitu penyakit yang disebabkan oleh serangga dan haiwan pembawa penyakit seperti lalat, tikus, lipas dan nyamuk Aedes. Kawasan setinggan yang diwujudkan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini juga berpotensi akan mewujudkan masalah sosial seperti aktiviti pelacuran. Secara keseluruhannya, masalah setinggan ini sudah pasti akan mencemarkan imej negara di mata dunia kerana hal ini menggambarkan kegagalan pentadbiran kerajaan dalam menangani masalah setinggan dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

5. Pengaliran Keluar Mata Wang Tempatan

Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukan sahaja mewujudkan masalah setinggan, malah akan menyebabkan pengaliran keluar mata wang tempatan, iaitu Ringgit Malaysia ke luar negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, pendatang asing tanpa izin (PATI) datang ke negara kita untuk bekerja yang sudah pastinya bagi mendapatkan wang. Wang yang diperoleh ini akan dihantar kepada keluarga mereka di negara asal mereka. Setiap kali mereka mendapat gaji, mereka akan mengirimkan sebahagian daripada gaji mereka kepada keluarga mereka di kampung. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan beratus-ratus ribu Ringgit Malaysia yang dihantar oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ini ke negara asal mereka pada setiap bulan. Hal ini sudah pastinya akan mengurangkan pendapatan negara pada setiap tahun. Selain itu, pengaliran keluar mata wang tempatan ini juga akan merugikan negara dari segi tukaran mata wang asing. Ia boleh menjejaskan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan mata wang asing.

Lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia Harus Dipandang Serius oleh Semua Pihak

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan negatif akibat daripada lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi menangani masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara. Pihak berkuasa perlulah sentiasa membuat pemantauan di tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) ini. Selain itu, masyarakat juga harusalah bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan cara melaporkan pihak majikan yang mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja kepada pihak berkuasa. Hal ini sudah pasti dapat membantu dalam menangani masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara kita. Semoga masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan kepada generasi akan datang.