KARANGAN PUNCA BULI SIBER
Pada era modenisasi ini, kejadian jenayah buli siber kerap berlaku di negara kita. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), buli siber merupakan perbuatan yang mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks, chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit, permainan internet dan sebagainya. Isu buli siber ini sudah pasti tidak asing lagi bagi kita apabila kita sering kali digemparkan oleh media cetak dan media elektronik mengenai isu bunuh diri yang dilakukan oleh beberapa selebriti yang tidak tahan dengan hinaan yang dilakukan oleh para pengikut mereka. Jenayah buli siber ini sangat sukar untuk dikesan kerana pembuli siber biasanya akan merahsiakan identiti mereka dan boleh membuli mangsa pada bila-bila masa. Pada realitinya, terdapat pelbagai punca buli siber ini berlaku.
Punca Buli Siber
1. Ketidakpuasan Hati Individu
Antara punca buli siber termasuklah ketidakpuasan hati seseorang terhadap individu tertentu. Biasanya pembuli siber ini tidak berpuas hati dengan penampilan, kemewahan dan perilaku yang ada pada mangsa. Hal ini menyebabkan mereka membuli mangsa di dalam alam maya melalui media sosial. Mereka berani berbuat demikian kerana identiti mereka sukar untuk diketahui ditambah pula dengan keupayaan internet yang tanpa sempadan. Pembuli siber ini akan menggunakan kata-kata negatif yang bertujuan untuk menyakiti hati mangsa sekaligus memberi penderaan secara emosi dan mental kepada mangsa. Buli siber ini sangat mudah dilakukan oleh pembuli siber kerana mereka hanya perlu menaip kata-kata negatif seperti perkataan lucah, hinaan dan berbaur ugutan kepada mangsa melalui media sosial untuk mendera mental dan emisi mangsa.
2. Kurangnya Penghayatan Nilai-nilai Agama
Selain itu, kurangnya penghayatan nilai-nilai agama juga menjadi punca buli siber berlaku. Biasanya pembuli siber ini mempunyai penghayatan yang kurang terhadap nilai-nilai agama. Hal ini menyebabkan mereka tiada tahu membezakan hal yang baik dan buruk. Mereka menganggap perbuatan mengaibkan, menghina, memfitnah dan memalukan orang lain di media sosial adalah perkara yang betul. Mereka tidak mengetahui bahawa perbuatan-perbuatan seperti itu sangat ditegah dalam agama. Dengan ini, mereka akan terus mendera mental dan emosi mangsa di media sosial tanpa rasa bersalah. Pembuli siber juga akan sentiasa menyerang orang-orang yang mereka tidak sukai di media sosial sehingga mereka berpuas hati kerana mereka menganggap perkara tersebut betul. Hal ini boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi dan mental yang teruk sehingga mangsa mengambil keputusan yang drastik seperti mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.
3. Kurang Pemantauan daripada Ibu Bapa
Kurangnya pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan internet oleh anak-anak juga merupakan punca buli siber berlaku. Ibu bapa terlalu sibuk dengan kerja masing-masing untuk mencari harta dunia sehingga lupa memberikan perhatian terhadap anak-anak terutamanya dalam penggunaan internet. Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat ibu bapa yang sengaja memberikan telefon pintar kepada anak-anak kerana malas ingin melayan kerenah mereka. Oleh itu, anak-anak bebas melakukan perkara yang tidak sepatutnya di internet seperti buli siber. Anak-anak juga semakin berani melakukan buli siber kerana mereka mengetahui bahawa tiada sesiapa pun yang akan memarahi mereka. Hal ini menyebabkan anak-anak mereka terus-menerus melakukan buli siber.
4. Kurang Ilmu Pengetahuan mengenai Penggunaan Internet
Di samping itu, kurangnya ilmu pengetahuan mengenai penggunaan internet juga menjadi punca buli siber berlaku. Individu yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai penggunaan internet yang kurang akan menggunakan internet secara melulu. Mereka akan menggunakan internet demi memuaskan diri mereka. Oleh itu, mereka akan melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti buli siber. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak tahu perbuatan yang mereka lakukan itu adalah salah dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Mereka juga menganggap perbuatan mereka itu adalah betul. Hal ini menyebabkan mereka tanpa segan silu melakukan perbuatan buli siber.
5. Ingin Berseronok dan Bergurau
Selain daripada kurangnya ilmu pengetahuan mengenai penggunaan internet, buli siber juga boleh berlaku disebabkan oleh individu yang ingin berseronok dan bergurau di media sosial. Terdapat individu di media sosial yang bergurau dengan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya seperti perkataan lucah dan perkataan berbaur fitnah dan hasutan. Selain itu, terdapat juga individu yang bergurau menggunakan gambar-gambar dan video-video berbentuk pornografi. Mereka menganggap perbuatan mereka ini hanya semata-mata untuk berseronok dan bergurau tetapi malangnya perbuatan ini telah mencetuskan kejadian buli siber. Mereka tidak akan menyangka perbuatan mereka ini akan menyakitkan emosi dan mental orang lain. Mereka akan terus melakukan buli siber yang mereka anggap sebagai bahan untuk keseronokan dan gurauan ini selagi kejadian seperti ini tidak terkena pada batang hidung mereka sendiri. Jelaslah bahawa, keinginan untuk bersoronok dan bergurau yang terlalu melampaui batas boleh menjadi punca buli siber berlaku.
Penutup Karangan Buli Siber
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca buli siber ini berlaku. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil tanggungjawab masing-masing bagi menangani masalah buli siber ini. Pihak kerajaan haruslah mengadakan Kempen Hindari Buli Siber untuk menyedarkan masyarakat mengenai kesan negatif buli siber ini. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu mengadakan program-program yang berkaitan dengan cara-cara menggunakan internet dengan bijak. Hal ini perlu dilakukan demi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian bunuh diri dan mencederakan diri sendiri. Pengguna internet juga boleh melaporkan kejadian buli siber di media sosial kepada pihak SKMM supaya kejadian ini tidak berterusan. Dalam hal ini, pelbagai
cara untuk mengatasi buli siber ini haruslah dilaksanakan untuk memastikan budaya buli siber ini hilang dalam kalangan pengguna internet yang tidak bertanggungjawab. Semoga kejadian buli siber di negara kita dapat dikurangkan menerusi program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.