Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor - STPM Penggal 3

Soalan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor

1. Bincangkan hal raja berperlembagaan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada tahun 1895 hingga tahun 1918.

2. Bincangkan prinsip-prinsip Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang berjaya mengekalkan kedaulatan negeri Johor.

Prinsip-prinsip Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor digubal pada 14 April 1895 semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar. Undang-undang tubuh ini menjadikan Johor negeri pertama di Tanah Melayu yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Undang-undang Tubuh ini merupakan undang-undang tertinggi di negeri Johor.

1. Pelantikan Sultan dan Pengganti Sultan

Dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada tahun 1895 hingga tahun 1918, terdapat peruntukan soal perlantikan sultan dan pengganti sultan. Perlantikan ini adalah berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dalam undang-undang tubuh ini. Sebagai contoh, dalam fasal kedua menyatakan bahawa syarat pelantikan pengganti sultan adalah seseorang itu mestilah lelaki, beragama Islam, berbangsa Melayu dan zuriat Sultan Abu Bakar. Fasal ketiga menyatakan bahawa jika tiada zuriat daripada Sultan Abu Bakar, maka anak lelaki dari zuriat Temenggung Ibrahim menjadi penggantinya. Jika tiada juga, maka anak lelaki dari zuriat Temenggung Abdul Rahman akan diambil sebagai pengganti. Dalam Fasal Kelima memperuntukkan sekiranya tidak ada pengganti daripada ketiga-tiga zuriat ini, maka soal pelantikan ini akan diserahkan kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Jemaah Menteri. Syarat-syarat bagi pelantikan ini adalah seseorang itu mestilah lelaki yang cukup umur, sempurna akal, beragama Islam, berbangsa Melayu Johor dan rakyat kerajaan Johor, merdeka, boleh membaca dan menulis dalam bahasanya. Pengganti itu juga mestilah mempunyai budi pekerti yang baik dan terpuji.

2. Sultan hendaklah menjaga kepentingan negara dan rakyat Johor serta bertanggungjawab memelihara kedaulatan negeri Johor

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor juga memperuntukkan dan menetapkan bahawa sultan hendaklah menjaga kepentingan negara dan rakyat Johor serta bertanggungjawab memelihara kedaulatan negeri Johor. Fasal 15 dalam perlembagaan ini melarang sultan menyerahkan negeri atau membuat perjanjian berkenaan penyerahan negeri atau sebahagian daripada negeri Johor kepada sebarang kerajaan, kuasa asing dan bangsa-bangsa lain. Jika sultan ingkar dengan peruntukan ini, maka sultan disifatkan telah berdosa kerana telah melanggar amanah dan rakyat tidak perlu lagi taat setia kepada sultan. Misalnya, semasa penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946, peruntukan ini memainkan peranan yang amat penting. Pada masa ini, pejuang-pejuang nasionalis Melayu mendakwa tindakan Sultan Ibrahim menandatangani perjanjian Malayan Union telah melanggar peruntukan ini. Oleh itu, dengan terpaksa Sultan Ibrahim memberikan kebenaran untuk perhimpunan agung rakyat Johor diadakan. Bagi menyokong hal tersebut, baginda telah memboikot upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union.

3. Kedudukan agama Islam dengan jelas

Selain itu, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor juga memperuntukan kedudukan agama Islam dengan jelas. Agama Islam merupakan agama rasmi di Johor tetapi agama lain bebas dan aman untuk dianuti. Sultan memerintah mengikut undang-undang dan bertanggungjawab memelihara agama Islam serta menjamin kedaulatan mutlak rakyat Johor. Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor juga menyebut bahawa undang-undang itu berkuasa terhadap seluruh lapisan rakyat Johor tidak kira kaum dan agama bagi menjamin keadilan mutlak kepada mereka berdasarkan undang-undang Islam. Dalam urusan pentadbiran keadilan negeri, pihak mahkamah dan pegawai kerajaan hendaklah menjalankan undang-undang dengan adil dan benar terhadap rakyat Johor, termasuk mereka yang singgah berdagang atau tinggal bernaung di dalamnya.

4. Bidang kuasa Jemaah Menteri 

Dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor juga, bidang kuasa Jemaah Menteri ada diperuntukkan. Anggota Jemaah Menteri hendaklah tidak kurang daripada 8 orang dan tidak lebih daripada 12 orang yang diketuai Menteri Besar. Anggota Jemaah Menteri mestilah beragama Islam, berbangsa Melayu dan menunjukkan taat setia kepada sultan dan kerajaan. Dalam Jemaah Menteri, soal pelantikan Menteri Besar berada di bawah hak mutlak Sultan Johor dan Naib Menteri Besar pula berada di bawah hak Jemaah Menteri dengan perkenan Sultan Johor. Jemaah Menteri ini bertugas untuk membantu Sultan Johor dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri Johor. Dalam hal ini sultan boleh meminta nasihat Jemaah Menteri tetapi keputusan tetap di tangan Sultan. Persidangan Jemaah Menteri diadakan sekali pada setiap bulan kecuali pada bulan Ramadan. Persidangan ini juga boleh diadakan pada bila-bila masa atas perintah Sultan Johor atau atas permintaan Menteri Besar atau Naibnya dan tiga orang anggota Jemaah Menteri yang lain.

5. Kesimpulan Esei Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor

Kesimpulannya, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini menjadi asas kepada sistem raja berperlembagaan di Johor. Undang-undang tubuh ini memainkan peranan yang sangat penting dalam memelihara kedaulatan negeri Johor. Dengan ada undang-undang tubuh ini, Johor tidak pernah dikuasai oleh kuasa asing sehingga ke hari ini.