Faktor Kedatangan Pekerja Asing ke Malaysia

Faktor Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia 

Faktor Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia
Gambar 1 : Faktor Kedatangan Pekerja Asing ke Malaysia.


Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai kebanjiran pekerja asing di Malaysia sedang hangat diperkatakan di media massa dan media elektronik. Masalah ini bukanlah masalah baharu tetapi masalah yang sudah berdekad-dekad lamanya. Lebih menyedihkan lagi, apablia masalah ini telah membawa banyak kesan negatif kepada masyarakat di negara kita. Sebagai contoh, masalah ini telah menyebabkan banyak masalah sosial dan jenayah yang berlaku di negara kita yang melibatkan pekerja asing. Tentu sahaja kita seringkali mendengar berita mengenai pergaduhan antara pekerja asing dan gangguan seksual yang dilakukan oleh pekerja asing terhadap wanita tempatan, malah terdapat juga pekerja asing yang melakukan aktiviti samun. Hal ini sudah pastinya akan memberikan kesan secara langsung kepada masyarakat tempatan, malah akan merosakkan imej negara jika tidak diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak, terutamanya pihak kerajaan. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong pekerja asing datang ke Malaysia.

Faktor Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia

1. Banyak Peluang Pekerjaan

Antara faktor pekerja asing datang ke Malaysia ialah banyaknya peluang pekerjaan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sedang pesat membanguan. Oleh itu, banyak projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerlukan banyak tenaga buruh. Namun begitu, negara kita kekurangan tenaga buruh dalam bidang pembinaan yang menyebabkan pihak kontraktor terpaksa mengambil buruh dari luar negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina dan Nepal. Hal ini telah mendorong kedatangan pekerja asing di Malaysia kerana tingginya permintaan tenaga buruh dalam sektor pembinaan. Selain itu, permintaan buruh asing di sektor perladangan juga sangat tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana, pekerja tempatan tidak ingin bekerja di sektor perladangan menyebabkan pengusaha terpaksa mengambil pekerja asing. Sebagai contoh, kebanyakan pekerja di ladang kelapa sawit ialah pekerja asing. Kehadiran pekerja asing di sektor perladangan ini sangat penting, umpama lumpuh dan mati tanpa mereka. Bukan itu sahaja, malah pekerjaan pembantu rumah di Malaysia juga turut didominasi oleh warga Indonesia. Hal ini telah mendorong kehadiran pekerja asing di Malaysia kerana permintaan buruh dalam sektor-sektor ini sangat tinggi sedangkan buruh tempatan yang ingin bekerja dalam sektor ini sangat rendah. Oleh itu, banyak pekerja asing yang tertarik untuk mengambil peluang tersebut. Jelaslah bahawa faktor peluang pekerjaan yang banyak menyebabkan pekerja asing datang ke Malaysia.

2. Faktor Keamanan

Selain itu, pekerja asing datang ke Malaysia juga kerana negara Malaysia aman. Pekerja asing sudah tentu menginginkan negara yang aman sebagai tempat mereka bekerja kerana ia lebih menjamin keselamatan diri dan pendapatan mereka sebagai buruh di sesebuah negara. Hal ini menyebabkan mereka memilih Malaysia sebagai tempat mereka mencari rezeki kerana keadaan politik di Malaysia adalah stabil. Kestabilan politik ini menyebabkan demontrasi dan tunjuk perasaan di Malaysia jarang berlaku yang boleh mengugat keselamatan pekerja asing. Selain itu, di Malaysia juga tidak ada sebarang peperangan atau bencana alam yang teruk berlaku. Hal ini menyebabkan mereka datang ke Malaysia untuk bekerja kerana menginginkan kenyamanan dan keselesaan ketika bekerja tanpa perlu risau akan keselamatan diri mereka. Sebagai perumpamaannya, jika seseorang buruh asing itu memilih negara yang sedang bergolak sebagai tempat mereka bekerja, sudah tentu mereka akan sentiasa dalam keadaan terancam dan pekerjaan mereka juga tidak menentu. Jelaslah bahawa keamanan di Malaysia menyebabkan pekerja asing datang ke Malaysia.

3. Faktor Budaya dan Bahasa

Faktor budaya dan bahasa juga mendorong pekerja asing datang ke Malaysia. Kebanyakan pekerja asing yang bekerja di Malaysia mempunyai budaya yang hampir sama dengan budaya tempatan, malah bahasa juga hampir sama yang memudahkan komunikasi. Hal ini dikatakan demikian kerana, Malaysia dan negara pekerja asing tersebut adalah serumpun, maka tidak terdapat jurang perbezaan yang terlalu jauh dari segi budaya dan bahasa. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di Malaysia. Sebagai contoh, pekerja asing dari Indonesia dan Filipina tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di Malaysia kerana bahasanya hamir sama dan ini membolehkan mereka mudah berkomunikasi dengan orang tempatan. Dari segi makanan pula juga sama, di mana tekak orang timur ini adalah sama. Jadi, tidak terdapat masalah yang besar untuk memperolehi makanan yang sesuai dengan tekak mereka. Bukan itu sahaja, budaya antara pekerja asing dan penduduk tempatan juga sama, iaitu sama-sama mengamalkan budaya ketimuran. Hal ini telah menyebabkan pekerja asing berminat untuk bekerja di Malaysia. Jelaslah bahawa faktor kebudayaan dan bahasa yang hampir sama ini menyebabkan pekerja asing ke Malaysia.

4. Kadar Pertukaran Asing yang Menguntungkan

Selain daripada faktor budaya, kadar  pertukaran asing yang menguntungkan juga mendorong pekerja asing datang ke Malaysia. Kebanyakan negara yang rakyatnya bekerja di Malaysia mempunyai nilai mata wang yang lebih rendah berbanding dengan Malaysia, di mana kadar pertukaran asing ini menguntungkan. Sebagai contoh, nilai mata wang Indonesia lebih rendah berbanding dengan Malaysia yang menyebabkan banyak orang Indonesia yang mengambil keputusan untuk bekerja di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila gaji mereka yang dalam Ringgit Malaysia (RM) ini ditukar kepada Rupiah Indonesia, maka gaji mereka ini akan lebih besar kerana kewujudan kadar pertukaran asing ini. Hal ini akan menyebabkan mereka boleh menghantar lebih banyak wang kepada keluarga mereka di negara asal mereka. Jelaslah bahawa kadar pertukaran asing yang menguntungkan ini mendorong pekerja asing datang ke Malaysia.

5. Permintaan Buruh Asing yang Tinggi

Permintaan buruh asing yang tinggi daripada majikan-majikan dan syarikat-syarikat di Malaysia juga menyebabkan banyak buruh asing yang datang ke Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyaknya pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja asing seperti kerja-kerja pembersihan, buruh pembinaan, buruh di ladang kelapa sawit, pembantu rumah tangga dan sebagainya. Pekerjaan-pekerjaan ini tidak dapat dipenuhi oleh rakyat Malaysia kerana sikap mereka yang terlalu memilih pekerjaan. Dalam hal ini, rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap yang tidak ingin bekerja dalam sektor 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar. Hal ini telah menyebabkan banyak syarikat-syarikat tempatan yang memilih untuk mengambil tenaga kerja asing untuk bekerja di syarikat mereka. Ditambah pula, gaji yang diminta oleh pekerja asing lebih rendah berbanding dengan rakyat tempatan. Secara keseluruhannya, hal ini telah meningkatkan permintaan terhadap buruh asing dalam usaha syarikat-syarikat untuk mengurangkan kos pengeluaran mereka. Jelaslah bahawa, permintaan terhadap pekerja asing yang tinggi dalam negara kita telah menyebabkan berlaku lambakan pekerja asing dalam Malaysia.

Penutup Faktor Kedatangan Pekerja Asing ke Malaysia

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pekerja asing datang ke Malaysia. Kehadiran pekerja asing ke negara kita ini mendatangkan impak yang positif dan negatif. Impak positifnya, ia membantu mengembangkan sektor pembinaan dan perladangan tetapi dalam masa yang sama ia  menyebabkan banyak berlaku masalah sosial. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memainkan peranan yang signifikan dalam memaksimumkan faedah yang diperoleh daripada kehadiran pekerja asing ke Malaysia ini. Hal ini adalah perlu untuk memastikan negara kita tidak musnah disebabkan oleh kebanjiran pekerja asing. Semoga kehadiran pekerja asing di Malaysia memberikan banyak impak yang positif kepada negara kita.