Punca Obesiti dalam Kalangan Remaja

Punca obesiti dalam kalangan remaja

Masalah Obesiti dalam Kalangan Remaja di Malaysia Semakin Membimbangkan

Beberapa tahun lepas, kita dikejutkan dengan berita mengenai masalah obesiti yang tinggi di negara kita. Lebih mengejutkan lagi apabila kita mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi yang menghidapi masalah obesiti di Asia Tenggara. Obesiti ini sendiri merujuk kepada keadaan di mana seseorang mempunyai lebihan lemak di dalam badan sehinggakan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan tubuh badan. Kebiasaannya, mereka yang menghidapi masalah obesiti ini mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30, iaitu jisimnya tidak bersesuaian dengan ketinggiannya. Fizikalnya pula kelihatan gemuk, besar dan gempal. Golongan ini sudah pastinya berisiko menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung, strok dan kencing manis. Hakikatnya, masalah obesiti dalam kalangan remaja ini berlaku disebabkan oleh pelbagai punca.

Punca Masalah Obesiti dalam Kalangan Remaja

1. Tidak Mengamalkan Amalan Pemakanan Seimbang

Antara punca berlakunya masalah obesiti dalam kalangan remaja ialah mereka tidak mengamalkan amalan pemakanan seimbang. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja pada masa ini gemar makan makanan segera. Sebagai contoh, remaja lebih suka makan makanan segera seperti mi segera, makanan ringan, pizza dan burger berbanding dengan makanan berkhasiat. Remaja gemar menkonsumsi  makanan segera kerana rasanya yang lebih sedap berbanding dengan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran yang rasanya agak pahit. Tambahan pula, makanan ringan ini lebih mudah didapati dan terdapat sesetengah makanan segera ini yang boleh terus dimakan tanpa perlu dimasak. Namun masalahnya, makanan ringan ini mengandungi kalori yang tinggi yang boleh menyebabkan berat badan meningkat secara mendadak jika tidak kerap bersenam untuk membakar kalori dalam badan. Hal ini sudah pastinya akan menimbulkan masalah obesiti dalam kalangan remaja, jika amalan memakan makanan segera ini terus diamalkan.

2. Gaya Hidup Tidak Sihat

Selain itu, masalah obesiti dalam kalangan remaja juga disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Remaja pada masa ini lebih gemar menghabiskan masa di rumah untuk bermain permainan video dan melayan media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram dan Tiktok. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk bersenam seperti berjoging, berbasikal dan sebagainya untuk membakar lemak dalam badan. Hal ini menjadi lebih teruk lagi sekiranya mereka mengambil makanan yang berkalori tinggi dan hanya berbaring atau duduk di rumah. Keadaan ini sudah pastinya menyebabkan lemak yang berlebihan dalam badan tidak dapat dibakar. Oleh itu, mereka akan mengalami masalah kegemukan yang seterusnya membawa kepada masalah obesiti. Jelaslah bahawa gaya hidup yang tidak sihat akan membawa kepada masalah obesiti.

3. Stress atau Tekanan yang Berlebihan

Di samping itu, masalah obesiti dalam kalangan remaja juga disebabkan oleh stress atau tekanan yang berlebihan. Masalah stress atau tekanan yang berlebihan ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk makan secara berlebihan untuk melempiaskan tekanannya. Hal ini biasanya berlaku kepada golongan wanita. Sebagai contoh, apabila seseorang remaja wanita stress disebabkan oleh peperiksaan yang hampir tiba, dia akan makan secara berterusan untuk mengurangkan tekanan tersebut. Hal ini sudah pastinya akan menyebabkan lemak berlebihan di dalam badan. Lebih teruk lagi, jika dia tidak melakukan aktiviti senaman untuk membakar lemak tersebut. Keadaan ini sudah pastinya akan membawa kepada masalah obesiti. Jelaslah bahawa masalah stress atau tekanan boleh  membawa kepada masalah obesiti.

4. Faktor Genetik atau Keturunan

Faktor genetik atau keturunan juga merupakan punca kepada masalah obesiti. Menurut pakar genetik, kegemukan merupakan salah satu genetik yang boleh diturunkan daripada generasi sebelumya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Oleh sebab itu, kita seringkali melihat ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk. Penyelidikan di Amerika Syarikat membuktikan bahawa anak-anak daripada keturunan ibu bapa bertubuh normal mempunyai peluang 10 peratus untuk menjadi gemuk. Peluang ini bertambah menjadi 40 hingga 50 peratus jika salah seorang daripada ibu bapanya mengalami masalah berat badan. Namun begitu, jika kedua-dua ibu dan bapanya mengalami masalah obesiti, maka peluang untuk anak tersebut menjadi gemuk akan meningkat menjadi 70 hingga 80 peratus. Dalam hal ini, nampaknya rupa bentuk badan seseorang itu dipengaruhi oleh faktor genetiknya. Jelaslah bahawa faktor genetik juga menjadi punca kepada masalah obesiti kepada seseorang.

5. Sikap Remaja Itu Sendiri

Selain daripada faktor genetik, masalah obesiti dalam kalangan remaja juga berpunca daripada sikap remaja itu sendiri. Dalam hal ini, terdapat segelintir remaja yang tidak kesah terhadap kesihatan tubuh badan mereka. Mereka mengkonsumsi makanan tanpa mengambil kira kesan pengambilan makanan tersebut kepada kesihatan tubuh badan mereka. Sebagai contoh, para remaja tetap mengkonsumsi makanan segera seperti burger dan pizza yang akan menyebabkan berat badan mereka bertambah walaupun mereka mengetahui hal tersebut. Lebih parah lagi, mereka juga malas untuk bersenam. Selain itu, para remaja juga lebih cenderung mengambil makanan mengikut hawa nafsu, di mana mereka akan makan makanan yang dirasakan sedap sehingga mereka puas walaupun makanan tersebut tidak sihat. Sebagai contoh, mereka akan makan makanan ringan sehingga mereka puas dan berasa kenyang hanya kerana makanan tersebut sedap. Hal ini sudah pastinya akan mengundang kepada masalah obesiti jika tidak diikuti oleh senaman yang sepatutnya. Jelaslah bahawa sikap remaja itu sendiri boleh membawa kepada masalah obesiti.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya masalah obesiti dalam kalangan remaja. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan remaja ini. Pihak kerajaan perlu berkerjasama dengan organisasi bukan kerajaan untuk mengadakan kempen kesedaran mengenai bahayanya masalah obesiti kepada remaja. Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan makanan yang sihat kepada anak-anak. Semoga masalah obesiti dalam kalangan remaja ini dapat diatasi, seterusnya memperbaiki kedudukan Malaysia dalam masalah obesiti ini.