Halangan dan Cabaran Sektor Pelancongan Malaysia

Pendidik Jalanan - Sektor pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, negara kita dibanjiri oleh pelancong asing pada setiap tahun dan ini akan meningkatkan pengaliran mata wang asing ke dalam negara kita. 

Bagi memastikan negara kita dibanjiri oleh pelancong asing pada setiap tahun, Kementerian Pelancongan sedaya upaya untuk membangunkan tempat-tempat menarik yang boleh dijadikan pusat pelancongan. 

Dalam masa yang sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga sentiasa memastikan keunikan dan keindahan alam semula jadi yang ada di negara kita dapat dikekalkan. 

Namun begitu, terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang dihadapi oleh negara kita untuk memajukan sektor pelancongan Malaysia.

Halangan dan Cabaran Memajukan Sektor Pelancongan Malaysia

Halangan dan cabaran sektor pelancongan Malaysia
Sektor Pelancongan Malaysia
Sumber: https://mohsaifulblog.wordpress.com/

1. Persaingan dalam Sektor Pelancongan

Persaingan dalam sektor pelancongan merupakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh setiap negara pelancongan di dunia ini. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap negara perlu bersaing untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara masing-masing bagi menjana pendapatan negara.

Oleh itu, negara-negara pelancongan ini terpaksa bersaing untuk memastikan negara mereka kekal menjadi tumpuan pelancong asing. Negara-negara pelancongan ini juga perlu sedaya-upaya untuk mengekalkan keunikan alam semula jadinya. 

Walaupun setiap negara mempunyai keunikannya masing-masing, tetapi negara-negara ini juga perlu bersaing dari segi perkhidmatan dan promosi yang ditawarkan kepada pelancong asing. 

Oleh itu, kreativiti sesebuah negara dalam mempromosikan keunikannya ini penting untuk bersaing dengan negara lain. Disebabkan hal ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia perlu bersedia untuk memastikan negara kita berada di tangga pertama negara pelancongan terbaik di dunia.

2. Pencemaran Alam Sekitar

Pencemaran alam sekitar ini merupakan cabaran utama sektor pelancongan negara kita pada zaman moden ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin sukar untuk dibendung di negara kita. 

Sungai-sungai sudah banyak yang kotor, sampah-sarap dilihat di merata-rata tempat, pembakaran hutan makin kerap berlaku dan banyak lagi keindahan flora dan fauna yang kian musnah. 

Hal ini telah merosakkan keindahan alam semula jadi negara kita yang menjadi tumpuan pelancong. Apabila keindahan alam semula jadi di negara kita musnah, maka semakin kuranglah pelancong asing yang datang ke negara kita. 

Hal ini berlaku kerana alam sekitar ini merupakan elemen penting dalam sektor pelancongan. Maklumlah, alam sekitar yang bersih ini sinonim dengan perawat semula jadi bagi segala tekanan atau stres. 

Selain itu, kebersihan alam sekitar juga menunjukkan imej yang tidak baik bagi sesebuah negara. Oleh sebab negara kita cukup terkenal dengan keunikan dan keindahan alam semula jadinya, maka adalah penting untuk kita menjaga alam sekitar kerana pelancong asing ingin menikmati keunikan dan keindahan alam semula jadi di Malaysia. 

Disebabkan hal ini juga, pencemaran alam sekitar ini menjadi cabaran untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

3. Kebudayaan Tempatan

Pada era globalisasi ini, kebudayaan tempatan sudah semakin dilupai oleh rakyat malaysia terutamanya golongan muda. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, semakin ramai anak muda yang mengabaikan kebudayaan sendiri, malah mempelajari budaya barat yang sangat terpesong daripada kebudayaan masyarakat timur. 

Ia dapat dilihat apabila ramai remaja zaman sekarang yang beranggapan bahawa budaya yang diturunkan daripada nenek moyang mereka ketinggalan zaman dan merupakan budaya yang kolot jika dipraktikan. Kebudayaan tempatan ini sebenarnya sangat penting dalam mempromosikan dan membezakan Malaysia dengan negara lain. 

Selain itu, kebudayaan tempatan ini juga penting kerana kebanyakan pelancong asing yang datang ke Malaysia ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi negara kita yang tidak ada di negara lain. 

Sebagai contoh, banyak pelancong asing dari negara barat yang datang ke Malaysia kerana berminat dengan seni silat, pakaian tradisional, makanan tradisional, tarian tradisional dan sebagainya di negara kita. 

Oleh itu, jika kebudayaan tempatan ini dilupakan dan tidak diwarisi oleh anak-anak muda di negara kita, maka hilanglah keunikan kebudayaan setiap kaum yang menjadi tumpuan pelancong asing selama ini di negara kita. 

Jika dilihat dengan rasional, usaha untuk mengekalkan tradisi dan kebudayaan tempatan inilah yang paling mencabar untuk sektor pelancongan negara kita kerana minat anak-anak muda dalam mengekalkan kebudayaan tempatan ini kian luntur.

4. Batasan Bahasa dan Perbezaan Budaya

Perbezaan bahasa antara pelancong asing dengan masyarakat tempatan merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh sektor pelancongan di negara kita. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, bukan semua pelancong asing mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Malah, masyarakat tempatan sendiri juga masih ada yang tidak menguasai "lingua franca" zaman sekarang iaitu Bahasa Inggeris apatah lagi bahasa-bahasa lain di dunia ini. 

Hal ini telah menyebabkan komunikasi antara pelancong asing dengan masyarakat tempatan tidak begitu baik. Apabila komunikasi antara pelancong asing dengan masyarakat tempatan kurang berkesan, maka sukar untuk pelancong asing mengetahui dan memahami mengenai kunikan sejarah, budaya, tradisi, adat resam dan sebagainya di negara kita. 

Jika berlaku hal seperti ini, maka sukarlah pelancong asing mendalami budaya tempatan. Oleh itu, kerajaan perlulah mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris masyarakat tempatan terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan pelancong. 
Kadangkala perbezaan budaya antara masyarakat tempatan dengan pelancong asing ini juga akan menimbulkan ketegangan dan kesalahfahaman antara masyarakat tempatan dengan pelancong asing. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat tempatan beranggapan bahawa pelancong asing terutamanya pelancong dari barat tidak menghormati budaya dan sensitiviti masyarakat tempatan. 

Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku di Gunung kinabalu pada tahun 2015 di mana masyarakat tempatan agak marah dengan pelancong asing dari barat yang melakukan perbuatan yang kurang sopan di puncak Gunung Kinabalu iaitu berbogel. 

Hal ini dianggap tidak menghormati budaya dan sensitiviti masyarakat tempatan kerana perbuatan tidak sopan seperti itu adalah amat dilarang dan bertentangan dangan budaya masyarakat tempatan. 

Oleh itu, kerajaan perlulah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan kesan buruk akibat daripada perbezaan bahasa dan budaya ini dapat diatasi.

5. Pencerobohan

Setiap negara tidak akan lari daripada pencerobohan pemberontak ataupun Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara. 

Oleh sebab itu, pencerobohan PATI dalam negara merupakan cabaran yang besar bagi sektor pelancongan dalam setiap negara di dunia. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, pencerobohan dalam negara ini boleh menjejaskan sektor pelancongan dengan sangat teruk. 

Sebagai contoh, insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Malaysia pada 11 Februari 2013 yang menyebabkan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan Sabah. 

Disebabkan oleh insiden ini, ramai pelancong asing yang terpaksa membatalkan tiket penerbangan untuk melancong ke Sabah Malaysia disebabakan oleh faktor keselamatan. 

Apabila terdapat pelancong asing yang diculik dan dibunuh di Sabah, Malaysia berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, kebanyakan negara meletakkan tanda amaran merah dan meminta rakyat mereka tidak melancong di kawasaan berkenaan. 

Maklumlah, keselamatan pelancong ini merupakan salah satu isu yang sensetif. Walaupun keadaan sudah kembali pulih, tetapi masih banyak pelancong asing yang beranggapan bahawa tempat-tempat pelancongan yang berhampiran dengan Lahad Datu tidak selamat untuk dilawati. 

Namun, selepas Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan memberikan jaminan keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan, negara-negara tersebut telah menurunkan tahap amaran ke peringkat kelabu. Berikutan daripada insiden ini, sektor pelancongan di Sabah merosot. 

Oleh itu, kerajaan perlulah memastikan kawalan perairan negara sangat ketat supaya tiada individu yang boleh membolosi kawalan perairan negara.


6. Penjagaan Infrastruktur Pelancongan yang Lemah


Salah satu cabaran negara untuk memastikan sektor pelancongan di negara ini kekal terbaik adalah dari segi penjagaan infrastruktur pelancongan yang sedia ada. 

Apakah itu infrastruktur pelancongan? Infrastruktur pelancongan merujuk kepada kemudahan-kemudahan yang dibina oleh kerajaan untuk tujuan memberikan keselesaan kepada para pelancong yang datang ke Malaysia seperti jalan raya, bangunan dan sebagainya. 

Isu mengenai penjagaan infrastruktur pelancongan ini tidak begitu ketara untuk tempat-tempat pelancongan yang terletak di kawasan bandar kerana tempat-tempat pelancongan ini dijaga dengan baik. 

Namun, isu penjagaan infrastruktur pelancongan di kawasan luar bandar ini sangat ketara. Jika kita lihat tempat-tempat pelancongan di kawasan luar bandar ini, kadang-kadang jalan raya yang menghubungkannya tidak begitu baik. 

Hanya kenderaan tertentu yang boleh melalui jalan raya tersebut kerana keadaan jalannya yang tidak berturap, berlumpur dan berlubang-lubang, malah terdapat juga kawasan tempat pelancongan di luar bandar di mana bangunan-bangunan awam seperti tandas awam tidak terjaga dan berbau busuk. 

Hal ini menyebabkan pelancong asing memberikan gambaran yang buruk terhadap masyarakat tempatan dan juga negara Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia merosot. 

Penjagaan infrastruktur pelancongan merupakan cabaran terbesar kerajaan kerana kerajaan kekurangan sumber kewangan untuk menyelenggara infrastruktur pelancongan negara.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang dihadapi oleh negara kita untuk memastikan sektor pelancongan di negara kita kekal terbaik di persada dunia. 

Oleh itu, kerajaan dan rakyat Malaysia perlulah berganding bahu dalam memastikan cabaran dan halangan yang dihadapi oleh sektor pelancongan dapat diharungi, seterusnya membantu sektor pelancong negara menjana pendapatan yang banyak untuk negara. Majulah, sektor pelancongan negara!

Sumber: 
https://mypelancongan.wordpress.com/2016/11/28/4-cabaran-dan-halangan-terhadap-industr-pelancongan/

http://bloggeruumkl.blogspot.com/2016/11/kepentingan-industri-perlancongan.html