|
Kesan Pandemik Covid-19 kepada Negara |
Pandemik Covid-19 Memberi Impak yang Besar kepada Dunia
Negara kita kini sedang berhadapan dengan Virus Korona ataupun lebih dikenali sebagai Covid-19 yang telah menyebabkan lebih daripada 100 ribu kematian dan 100 juta orang dijangkiti di seluruh dunia. Pada bulan Mac tahun 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengiktiraf wabak berjangkit Covid-19 ini sebagai pandemik, iaitu wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas ke seluruh dunia. Virus korona ataupun Covid-19 ini dipercayai mula dikesan di sebuah pasar hidupan liar yang terletak di wilayah Wuhan, China pada pertengahan hujung tahun 2019. Menurut penyelidikan yang dijalankan, Virus Korona ini berasal daripada binatang liar seperti ular dan kelawar yang dijual di pasar tersebut. Simptom awal bagi mereka yang dijangkiti virus ini adalah seperti batuk-batuk, sakit tekak, selesema dan sesak nafas. Penularan Covid-19 ini bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada negara China tetapi penularan virus ini turut menyebabkan negara lain menerima tempiasnya, termasuklah Malaysia. Di Malaysia, virus Korona ini merebak melalui pelancong asing dan juga rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara. Kesan pandemik Covid-19 ini, kita dapat lihat dengan jelas di Malaysia.
Kesan Pandemik Covid-19 kepada Negara
1. Menjejaskan Sektor Pelancongan
Antara kesan pandemik Covid-19 kepada negara kita termasuklah, pandemik ini telah menyebabkan sektor pelancongan negara kita terjejas teruk berikutan dengan langkah yang diambil oleh negara kita mengenakan sekatan kemasukan terhadap individu-individu daripada luar negara terutamanya dari China, Itali dan Amerika Syarikat untuk mengekang penularan Covid-19 dalam negara. Sekatan yang dikenakan oleh Malaysia ini telah menyebabkan banyak pelancong asing tidak dapat masuk ke dalam negara kita. Sektor pelancongan negara hanya bergantung kepada pelancong domestik untuk merancakkan aktiviti pelancongan dalam negara. Namun malangnya, sektor pelancongan negara kita tetap terjejas teruk kerana kebanyakan rakyat Malaysia juga bimbang untuk melancong dalam negara akibat daripada pandemik covid-19 ini. Jelaslah bahawa pandemik Covid-19 ini telah menjejaskan sektor pelancongan di negara kita dengan teruk.
2. Kadar Pengangguran Meningkat
Selain itu, pandemik Covid-19 ini juga telah menyebabkan kadar pengangguran dalam negara meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, semasa pandemik Covid-19 ini, banyak permis-permis perniagaan yang terpaksa ditutup. Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang menyebabkan semua aktiviti perniagaan terpaksa dihentikan. Kesannya, kebanyakan permis-permis perniagaan mengalami kerugian kerana menanggung kos tetap daripada perniagannya sedangkan pengeluaran tidak dapat dijalankan. Oleh itu, pihak majikan terpaksa membuang banyak pekerjanya yang dianggap kurang penting semasa pandemik ini untuk meminimumkan kos pengoperasian perniagannya. Dengan ini, banyak rakyat yang kehilangan pekerjaan menyebabkan kadar pengangguran dalam negara meningkat.
3. Perbelanjaan Negara Meningkat
Di samping itu, pandemik Covid-19 juga telah menyebabkan kos perbelanjaan negara meningkat kerana kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk memperluaskan kemudahan kesihatan seperti hospital, pusat kuarantin, makmal penyelidikan Covid-19 dan sebagainya untuk memastikan sistem kesihatan kita tidak lumpuh. Dalam masa yang sama, kerajaan juga terpaksa menanggung kos untuk ujian saringan Covid-19 terhadap individu yang disyaki positif atau mempunyai kontak rapat kepada individu yang positif Covid-19. Bagi Program Vaksinasi pula yang dijangka bakal dilaksanakan oleh kerajaan pada bulan Mac sehingga hujung tahun 2021 ini, dipercayai akan menelan kos perbelanjaan berjuta-juta ringgit. Memandangkan Covid-19 ini merupakan virus baharu, maka pelbagai peralatan berteknologi tinggi dan kepakaran diperlukan untuk mengesan dan mencegah penularan virus ini. Semua ini sudah pastinya akan menelan kos perbelanjaan yang sangat tinggi. Jelaslah bahawa pandemik covid-19 menyebabkan kos perbelanjaan negara meningkat.
4. Memberi Kesan kepada Sistem Pendidikan Negara
Selain daripada menyebabkan perbelanjaan negara meningkat, pandemik Covid-19 ini juga turut memberi kesan kepada sektor pendidikan negara kita, dimana semasa pandemik ini kebanyakan sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta ditutup untuk mengekang penularan Covid-19 ini. Disebabkan oleh pandemik Covid-19, sistem pendidikan di negara kita berubah daripada Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara bersemuka di sekolah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) secara atas talian. Namun demikian, pembelajaran atas talian akibat pandemik Covid-19 kurang berkesan kerana guru-guru, ibu bapa dan para pelajar kurang bersedia untuk sistem pembelajaran baharu ini kerana tidak mempunyai peranti elektronik yang sesuai untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian. Hal ini menyebabkan banyak pelajar yang keciciran dalam pelajaran, terutamanya pelajar-pelajar yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akses yang baik kepada internet. Keadaan ini juga akan menyebabkan murid-murid darjah satu gagal untuk menguasai 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul disebabkan kurangnya keberkesanan PDPR secara atas talian ini. Jelaslah bahawa pandemik Covid-19 ini telah menyebabkan sistem pendidikan negara kita berubah yang mengakibatkan banyak pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran.
5. Kadar Keganasan dalam Rumah Tangga Meningkat
Kadar keganasan dalam rumah tangga juga meningkat disebabkan oleh Pandemik Covid-19 ini. Semasa pandemik Covid-19, banyak rakyat Malaysia yang bosan dan stress kerana tidak boleh keluar daripada rumah sesuka hati. Oleh itu, mereka akan melepaskan bosan dan stress mereka dengan memukul anak-bini mereka. Selain itu, banyak juga rakyat Malaysia yang menghadapi tekanan kewangan kerana dibuang kerja oleh majikan. Malah, kebanyakan peniaga-peniaga kecil juga tertekan kerana kehilangan punca pendapatan disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini. Oleh itu, mereka akan memukul anak-bini mereka kerana tidak dapat mengawal emosi dan ingin melegakan tekanan mereka. Dengan ini, kadar keganasan rumah tangga meningkat. Jelaslah bahawa pandemik Covid-19 ini menyebabkan kadar keganasan rumah tangga dalam negara meningkat.
Pandemik Covid-19 telah Mengubah Kehidupan Masyarakat
Kesimpulannya, pandemik Covid-19 ini bukan sahaja membawa banyak kesan negatif kepada negara kita tetapi juga kepada dunia. Oleh itu, negara-negara di seluruh dunia perlulah bekerjasama untuk membendung pandemik Covid-19 ini, khususnya dalam pembuatan vaksin Covid-19. Kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu membantu kerajaan membendung penularan Covid-19 ini dengan sentiasa mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan di samping sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).