Punca Kenaikan Harga Barang
Kenaikan Harga Barang di Malaysia Membimbangkan Masyarakat
Kini, negara kita sedang mengalami kenaikan harga barangan yang berterusan. Dalam erti kata lain, kenaikan harga barangan yang berterusan ini lebih dikenali sebagai inflasi. Inflasi ini meliputi kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara keseluruhan di pasaran. Keadaan ini sangat membebankan hidup rakyat yang memang sudah berada dalam keadaan susah pada saat ini. Hal ini seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Masalah inflasi ini bukan sahaja dihadapi oleh negara-negara membangun, namun ia juga turut dihadapi oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. Pada realitinya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kenaikan harga barang ini.
Punca Kenaikan Harga Barang di Malaysia
1. Kenaikan Harga Minyak
Antara punca kenaikan harga barang dalam sesebuah negara adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Kenaikan harga minyak tempatan ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak yang mendadak di pasaran antarabangsa. Minyak seperti diesel dan petrol merupakan bahan keperluan untuk mengerakkan kenderaan, jentera dan mesin di dalam kilang. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, kos pengeluaran dan pengangkutan akan meningkat. Hal ini akan menyebabkan margin keuntungan pengeluar akan berkurang kerana kos untuk mengeluarkan suatu barang dengan kuantiti yang sama telah meningkat. Oleh itu, bagi memastikan margin keuntungan kekal sama ataupun mengelakkan kerugian, pengeluar terpaksa menaikkan harga keluaran mereka. Hal ini menyebabkan harga barang di pasaran meningkat.
2. Permintaan Barang yang Melebihi Penawaran Barang
Selain itu, permintaan barang yang melebihi penawaran barang juga menjadi punca kenaikan harga barang di negara kita. Dalam erti kata lain, kenaikan harga barang disebabkan oleh terlalu banyak wang yang mengejar barang yang sedikit. Hal ini biasanya berlaku pada musim perayaan. Pada musim perayaan, permintaan terhadap barang makanan seperti ayam, telur, daging, biskut dan sebagainya meningkat sedangkan penawaran barang makanan tersebut kekal sama. Hal ini memaksa pengeluar atau penjual menaikkan harga barangan untuk menyimbangkan kuantiti barangan dengan jumlah wang yang beredar di pasaran. Hal ini bertambah buruk lagi disebabkan oleh kewujudan individu yang berbelanja tanpa mengikut keperluan. Oleh itu, permintaan yang tinggi ini menyebabkan harga barang menjadi mahal di pasaran.
3. Sikap Peniaga yang Mementingkan Keuntungan
Di samping itu, sikap peniaga yang mementingkan keuntungan juga menyumbang kepada kenaikan harga barang di pasaran. Terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barang pada musim perayaan untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak. Selain itu, terdapat juga peniaga yang sengaja menyorokkan barang-barang kawalan seperti gula dan minyak masak dengan niat untuk mengurangkan penawaran agar harga barang dapat dinaikkan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat pengeluar barang yang sengaja mengurangkan pengeluaran barang supaya harga barang tersebut meningkat. Sikap peniaga-peniaga dan pengeluar-pengeluar yang tamak ini akan mendorong kepada kenaikan harga barang di pasaran.
4. Pengurangan Subsidi
Pengurangan subsidi juga menjadi punca kenaikan harga barang. Subsidi diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk membantu rakyat. Subsidi diberikan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat. Pengurangan subsidi untuk barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung menyebabkan harga barang ini meningkat. Selain itu, pengurangan subsidi minyak juga menyebabkan harga barang meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila subsidi minyak dikurangkan, maka harga minyak akan meningkat. Peningkatan harga minyak ini akan meningkatkan kos pengangkutan barang yang menyebabkan pengeluar terpaksa menaikkan harga barang untuk mengekalkan margin keuntungannya. Oleh itu, harga barang di pasaran akan meningkat.
5. Kelemahan Penguatkuasaan Undang-undang
Kelemahan penguatkuasaan juga menyebabkan kenaikan harga barang di pasaran. Kelemahan penguatkuasaan ini berlaku kerana kurangnya anggota penguatkuasa. Hal ini menyukarkan kerja-kerja pemantauan di permis-permis perniagaan seperti pasar raya. Pemantauan yang kurang oleh penguatkuasa ini menyebabkan terdapat peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati. Selain itu, terdapat segelintir peniaga juga yang sengaja melakukan perbuatan curang dengan menyorok barang dengan tujuan untuk menaikkan harga barang. Oleh itu, harga barang di pasaran meningkat. Jelaslah bahawa kelemahan penguatkuasaan undang-undang menyebabkan para peniaga yang tidak bertanggungjawab sesuka untuk menaikkan barang.
Kenaikan Harga Barang Perlu Dipandang Serius
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca kenaikan harga barang di pasaran. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi membendung kenaikan harga barang di pasaran ini. Pihak kerajaan perlu memastikan barangan keperluan sentiasa mencukupi di pasaran dan penguatkuasaan undang-undang dilaksankan dengan cekap. Selain itu, masyarakat juga perlu mengamalkan sikap tidak keterlaluan semasa membeli barang di pasar raya untuk mengelakkan kekurangan bekalan yang akan mendorong harga barang menjadi mahal. Semoga kenaikan harga barang di negara kita dapat dibendung dengan segera untuk meringankan beban rakyat.