Kepentingan dan Sumbangan Sektor Pelancongan Kepada Negara
Pendidik Jalanan - Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai salah sebuah negara yang beriklim khatulistiwa iaitu keadaan iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun tetapi turut juga terkenal dengan keunikan alam semula jadinya.
Sebagai contoh, di Malaysia terdapat pelbagai tempat-tempat yang menarik yang mempunyai keunikannya tersendiri seperti Gunung Kinabalu, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Kolam Panas Poring dan banyak lagi yang menjadi tarikan kepada para pelancong.
Kebanyakan pelancong daripada negara asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan percutian kerana mereka ingin merasai dan menikmati sendiri keunikan dan keindahan alam semula jadi yang ada di Malaysia.
Bukan itu sahaja, mereka juga tertarik dengan kepelbagaian budaya dan tradisi seperti adat resam, tarian, makanan dan lain-lain yang ada di Malaysia.
Mana tidaknya, setiap kaum yang ada di Malaysia mempunyai tarian, makanan tradisional dan adat resamnya yang tersendiri misalnya, kaum Kadazan Dusun mempunyai makanan tradisionalnya tersendiri seperti Bosou, Tuhau dan lain-lain lagi yang tidak boleh didapati di mana-mana tempat kecuali Negeri Di Bawah Bayu yang terdapat di Malaysia. Tarian tradisional kaum ini pula ialah tarian Sumazau.
Selain itu, terdapat banyak lagi keunikan budaya dan tradisi kaum ini, tidak termasuk dengan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia seperti Kaum Melayu, India, Cina, Bidayuh, Iban, Murut dan banyak lagi. Negara Malaysia juga cukup terkenal dengan keharmoniannya.
Mengapa Malaysia terkenal dengan keharmoniannya berbanding dengan negara lain sedangkan negara lain juga sama harmoni seperti Malaysia? Malaysia terkenal dengan keharmoniannya kerana rakyat Malaysia boleh hidup bersama-sama secara harmoni dalan satu negara walaupun berbeza kaum, agama dan bangsa.
Hal inilah yang menyebabkan Malaysia unik berbanding negara lain. Dengan adanya segala kelebihan ini, Malaysia telah menjadi salah sebuah negara pelancongan yang cukup terkenal di seluruh dunia.
Disebabkan hal ini juga, industri pelancongan di Malaysia berkembang dengan pesat dalam tempoh masa yang singkat. Kini, sektor pelancongan ini menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara.
Sektor Pelancongan Malaysia Sumber : astroawani.com |
Apakah itu pelancongan?
Setiap individu yang terlibat dalam industri pelancongan ini mempunyai pandangan dan perspektif tersendiri mengenai maksud atau definisi pelancongan.
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, pelancongan merupakan hal-hal mengenai urusan melancong, perbuatan melancong atau untuk melihat-lihat. Kamus Dewan Edisi Keempat pula menyatakan bahawa pelancongan merupakan perihal melancong atau perihal orang melancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya.
Menurut Persatuan Pelancongan Sedunia (World Tourism Malaysia), pelancongan merupakan aktiviti pegembaraan seseorang individu ke suatu tempat iaitu keluar daripada persekitaran asal dan menetap di tempat tersebut tidak lebih daripada setahun untuk tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya yang tidak terhad kepada tujuan percutian sahaja.
Menurut Wikipedia pula, pelancongan merujuk kepada aktiviti melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman dan tidak lebih daripada setahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang. Pelancongan mungkin boleh dilakukan di luar negara atau dalam negara.
Hunziker dan Kraf mendefinisikan pelancongan sebagai sejumlah fenomena dan hubungan yang timbul daripada perjalanan dan penetapan bukan pemastautin tetap, selagi mereka tidak menuju ke kediaman tetap dan tidak berkaitan dengan apa-apa aktiviti mencari pendapatan.
Menurut Persatuan Pelancongan-pelancongan England pula, pelancongan merupakan pergerakan sementara seseorang individu ataupun sekumpulan individu dalam jangka masa pendek ke luar daripada persekitaran tempat tinggal dan kerja mereka serta aktiviti mereka semasa menginap di setiap destinasi.
KEBAIKAN, KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN SEKTOR PELANCONGAN KEPADA MALAYSIA
1. Meningkatkan Ekonomi Negara
Seperti yang dinyatakan pada permulaan tadi, sektor atau industri pelancongan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara.
Sektor pelancongan ini meningkatkan ekonomi negara melalui pengaliran mata wang asing ke dalam negara. Bagaimanakah sektor pelancongan ini dapat mengalirkan mata wang asing ke dalam negara?
Pengaliran mata wang asing ini berlaku melalui perbelanjaan pelacong asing yang melancong dalam negara. Setiap pelancong asing yang masuk dalam negara pasti dan perlu menukar mata wang mereka kepada Ringgit Malaysia (RM).
Hal ini untuk membolehkan mereka berbelanja dengan mudah di negara kita. Sebagai contoh, mereka menggunakannya untuk membiayai kos penginapan, pengangkutan, makanan, membeli-belah dan sebagainya.
Pertukaran mata wang asing ini boleh dilakukan di bank-bank tempatan atau Pusat Pertukaran Mata Wang Asing.
Selain itu, perbelanjaan oleh pelancong asing dalam negara ini juga akan meningkatkan jumlah pendapatan negara. Apakah kepentingan mata wang asing yang masuk dalam negara kita ini?
Sebenarnya, mata wang asing ini digunakan oleh kerajaan untuk membiayai perbelanjaan pengimportan barang dari luar negara. Pengaliran masuk mata wang asing ke dalam negara juga menguntungkan entiti perniagaan dan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas bagi rakyat tempatan yang menetap sementara di luar negara sama ada sebagai Duta Khas di luar negara, pelajar dan sebagainya.
Menurut laporan ekonomi, pendapatan negara melalui sektor pelancongan ini meningkat dari tahun ke tahun. Hal ini menunjukkan pengaliran mata wang asing dalam negara adalah banyak.
2. Meningkatkan Jumlah Peluang Pekerjaan dalam Negara
Industri atau sektor pelancongan ini telah pun menghasilkan 1.16 juta peluang pekerjaan di Malaysia pada tahun 2009 dan telah pun meningkat pada tahun 2011 menjadi 1.58 juta iaitu 13.8 peratus daripada jumlah pekerjaan yang ada di negara ini.
Mengikut laporan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, sektor atau industri pelancongan sangat memerlukan pekerja bahkan mengambil jumlah pekerja yang banyak dalam sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan pengangkutan.
Mengapa pekerja yang banyak diperlukan dalam perhotelan dan pengangkutan? Dalam perhotelan, pekerja yang banyak diperlukan untuk memastikan hotel sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik dan terurus, selain untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelancong juga adalah terbaik di dunia.
Hal ini untuk memastikan pelancong asing dapat bertahan lama di negara kita dan akan datang semula ke negara kita untuk melancong pada masa akan datang.
Selain itu, jika perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan oleh negara kita adalah yang terbaik, maka secara tidak langsung pelancong-pelancong asing ini akan membantu kita mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia kepada keluarga dan rakan-rakan mereka apabila mereka kembali ke negara asal.
Jumlah pekerja yang banyak dalam sektor pengangkutan ini juga sangat penting tidak kiralah pengangkutan darat ataupun laut. Hal ini dikatakan demikian kerana, perkhidmatan pengangkutan ini akan memudahkan pelancong asing bergerak dari suatu tempat ke tempat lain.
Sebagai contoh, pengangkutan seperti bot ataupun feri sangat diperlukan untuk menghubungkan darat dengan pulau. Jika perkhidmatan pengangkutan kita baik, maka negara kita akan dibanjiri pelancong asing. Oleh itu, kuranglah rakyat di negara ini yang menganggur.
3. Kesan Berganda
Perkembangan industri pelancongan di negara ini juga turut memberi kesan kepada beberapa industri lain, misalnya industri pembinaan.
Industri pembinaan mendapat banyak manfaat apabila banyak kawasan baharu yang dibangunkan untuk tujuan pelancongan seperti taman peranginan, resort, pusat beli-belah dan sebagainya.
Hal ini dikatakan demikian kerana, kawasan-kawasan yang perlu dibangunkan ini perlu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat penginapan, taman dan sebagainya.
Selain itu, kawasan-kawasan baharu yang dibangunkan ini juga akan memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk setempat. Sebagai contoh, penduduk setempat akan mendapat pelbagai manfaat seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.
Sektor pelancongan ini secara tidak langsung memudahkan kehidupan penduduk setempat. Bukan itu sahaja, malah sektor pelancongan ini juga membuka peluang perniagaan kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan tempat pelancongan.
Sebagai contoh, penduduk di sekitar tempat pelancongan ini boleh membuka gerai, kedai makan dan sebagainya untuk menambahkan pendapatan mereka memandangkan hkawsan tersebut merupakan kawasan tumpuan pelancong.
Di samping itu, sektor pengangkutan juga terkesan dengan kemajuan sektor pelancongan ini. Kerajaan telah pun menaik taraf semua pengangkutan awam yang ada di Malaysia seperti LRT, kereta api, feri dan sebagainya untuk memberikan pengalaman terbaik kepada para pelancong.
Susulan dengan itu, kenderaan e-hailing seperti Grab, Uber dan lain-lain juga telah mendapat tempat bukan sahaja di kalangan pelancong asing tetapi juga pelancong tempatan. Jelaslah bahawa sektor pelancongan ini juga dapat membangunkan sektor-sektor lain secara langsung dan tidak langsung.
4. Mempromosikan Budaya dan Makanan yang Ada di Malaysia
Negara kita cukup terkenal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum. Walaupun begitu, rakyat di negara kita tetap hidup aman dan damai secara bersama-sama tanpa mengenal erti perbezaan kaum, agama dan bangsa.
Antara kaum yang terdapat di Malaysia ialah Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Setiap kaum yang ada di Malaysia ini mempunyai adat dan budaya yang berbeza-beza.
Sebagai contoh, tarian tradisional kaum kadazan ialah tarian Sumazau dan tarian ini hanya didapati di Sabah, Malaysia.
Hal ini telah menyebabkan pelancong asing tertarik untuk melihat dan merasai sendiri kehidupan di Malaysia.
Dengan adanya keunikan budaya dan tradisi setiap kaum ini, banyak pelancong dari luar negara yang berminat untuk mempelajari tarian-tarian dan permainan tradisional yang ada di negara kita.
Selain itu, terdapat juga pelancong asing yang sengaja datang ke Malaysia semasa ada perayaan-perayaan tertentu kaum di Malaysia seperti Hari Gawai, Hari Kaamatan dan sebagainya untuk mereka merasai sendiri kaunikan perayaan-perayaan ini.
Di samping itu, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai makanan tradisional mereka sendiri yang hanya boleh dapati daripada kaum itu sendiri.
Sebagai contoh, makanan tradisional seperti Bosou dan Tuhau hanya boleh didapati daripada kaum Kadazan Dusun manakala rendang dan gulai hanya boleh didapati daripada kaum Melayu.
Setiap makanan ini mempunyai keunikan rasanya yang tersendiri dan tidak boleh didapati di mana-mana tempat kecuali Malaysia. Secara tidak langsung, hal ini akan mempromosikan budaya dan makanan yang ada di Malaysia kepada pelancong-pelancong dari luar negara, malah turut menarik kedatangan pelancong dari luar negara yang ingin menikmati keunikan makanan di Malaysia.
5. Mengembangkan Industri Kraf Tangan di Malaysia
Selain daripada dapat meningkatkan pendapatan negara, industri atau sektor pelancongan ini juga dapat membantu dalam mengembangkan industri kraf tangan negara.
Bagaimanakah sektor pelancongan ini dapat mengembangkan dan membangunkan industri kraf tangan negara? Hal ini berlaku apabila ramai pelancong asing yang datang ke Malaysia.
Apakah kaitan pelancong asing yang datang ke Malaysia dengan pengembangan industri kraf tangan ini? Apabila ramai pelancong asing datang ke Malaysia, maka banyaklah barangan kraf tangan yang dibuat oleh penduduk tempatan akan terjual.
Hal ini dikatakan demikin kerana, kebanyakan pelancong asing yang datang ke setiap negara suka membeli cenderahati untuk menjadi kenangan mereka ataupun sebagai buah tangan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan mereka.
Cenderahati yang biasanya akan mereka beli ialah barangan kraf tangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, barangan kraf tangan ini sesuai dijadikan sebagai perhiasan dan buah tangan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Sebagai contoh, pelancong asing yang datang ke Malaysia boleh membeli barangan kraf tangan seperti wakid, bubu, wau, kain batik, songket dan lain-lain daripada penduduk tempatan untuk dijadikan sebagai cenderahati memandangkan barangan ini bukan sahaja barangan kraf tangan tetapi merupakan barang tradisional kaum-kaum tertentu di Malaysia.
Oleh sebab itu, industri kraf tangan negara secara tidak langsung akan berkembang disebabkan oleh kedatangan pelancong asing yang banyak di negara ini.
Penutup
Kesimpulannya, kita perlulah menggunakan segala kelebihan dan keunikan yang ada di negara kita untuk mengembangkan lagi sektor pelancongan di samping, memperkenalkan negara kita sebagai negara pelancongan yang terbaik di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menjaga keunikan negara kita ini daripada ambang kemusnahan terutamanya dari segi keunikan alam semula jadinya.
Hal ini berikutan daripada alam sekitar kita yang kian tercemar disebabkan oleh kewujudan rakyat-rakyat yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh, banyak sungai-sungai di negara kita yang dahulunya jernih kini telah pun menjadi keruh dan berair hitam disebabkan oleh ketamakan segelintir rakyat Malaysia itu sendir malah, hutan-hutan di Malaysia kini, juga makin gondol disebabkan oleh banyaknya berlaku pembalakan haram. Marilah kita bersama-sama memajukan sektor pelancongan di negara kita.
Sumber :
http://industripelancongandimalaysia.blogspot.com
http://bloggeruumkl.blogspot.com/2016/11/kepentingan-industri-perlancongan.html
http://industripelancongandimalaysia.blogspot.com/2016/07/industri-pelancongan.html