Faktor berlakunya Jenayah Siber

Esei Pengajian Am : Punca Jenayah Siber

Punca/Faktor/Penyebab berlakunya jenayah siber
Faktor Jenayah Siber

Soalan:

1. Peningkatan pengguna internet merupakan antara penyebab berleluasanya kejadian jenayah siber di negara kita. Bincangkan punca jenayah siber.

Format jawapan : 1+4

2. Walaupun kerajaan Malaysia telah menggubal beberapa undang-undang siber, namun kegiatan jenayah siber masih sukar dibendung. Huraikan.

Format jawapan : 5+0

Faktor Berlakunya Jenayah Siber

          Kejadian jenayah siber semakin berleluasa di negara kita seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Jenayah siber ini berleluasa di negara kita kerana didorong oleh beberapa faktor. 

          Peningkatan penggunaan internet merupakan salah satu punca jenayah siber berleluasa di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, peningkatan pengguna internet mendorong ramai pengguna internet menyalahgunakan maklumat dalam internet untuk pelbagai tujuan tanpa mengira betul atau salah. Sebagai contoh pengguna internet akan menggunakan pelbagai maklumat dalam internet untuk tujuan penipuan dan aktiviti tidak sihat. Seterusnya, peningkatan pengguna internet mendorong ramai individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kepakaran mereka dalam bidang teknologi maklumat (IT) dengan cara menggodam sistem-sistem keselamatan bank, menyebarkan virus dan sebagainya. 

          Selain itu, kekurangan pakar-pakar forensik komputer juga menjadi punca jenayah siber berleluasa di negara kita. Kekurangan pakar-pakar yang mahir dalam bidang forensik komputer menyebabkan penjenayah siber sukar untuk dikesan. Sebagai contoh, kekurangan pakar forensik komputer menyebabkan banyak kejadian-kejadian penggodaman sistem bank dan kecurian maklumat di internet tidak dapat dikesan. Kekurangan pakar-pakar forensik juga menyebabkan penjenayah siber sukar untuk didakwa di mahkamah kerana pendakwa tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka. Hal ini berlaku kerana, pelaku jenayah siber ini kebiasaanya, terdiri daripada golongan profesional dan berpengetahuan tinggi dalam bidang IT.

          Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga penyebab berleluasanya kejadian jenayah siber di negara kita. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyebabkan siasatan terhadap jenayah siber mengambil masa yang lama dan banyak kes tertangguh. Hal ini dikatakan demikian kerana, kurangnya keseriusan agensi-agensi kerajaan dalam menangani jenayah siber. Sebagai contoh, agensi-agensi kerajaan tidak saling bekerjasama antara satu sama lain. Seterusnya, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan akta dan undang-undang sedia ada tidak dapat menangani jenayah siber ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, akta dan undang-undang sedia ada sudah lapuk dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang terlalu pantas. Sebagai contoh, denda atau hukuman yang dikenakan kepada penjenayah siber tidak setimpal dengan jenayah yang telah mereka lakukan.

          Di samping itu, sikap individu yang sukar dikawal juga adalah salah satu faktor terjadinya peningkatan penggunaan internet yang menyebabkan berleluasanya kejadian jenayah siber. Sikap individu yang inginkan keseronokan dan ingin mencuba sesuatu yang baru, terutamanya golongan remaja menyebabkan mereka cuba untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dengan cara yang salah, seperti penyebaran virus, pengintipan, mencuri maklumat dan penggodaman komputer. Hal ini menyebabkan ramai masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai media massa tertipu dengan individu yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, individu yang melakukan jenayah siber ini bermotifkan keuntungan. Sebagai contoh, penjenayah siber mengaut keuntungan dengan cara menipu masyarakat melalui internet untuk mendapatkan sejumlah wang yang banyak. Oleh itu, masyarakat harus lebih peka dengan isu-isu semasa agar tidak menjadi mangsa kepada individu yang tidak bertanggungjawab. 

     Jenayah siber juga berlaku disebabkan oleh Kekurangan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Individu-individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah siber ini tidak menyedari bahawa perbuatan mereka seperti menggodam, mencuri maklumat, menyebar virus, menghantar mesej sampah dan pencerobohan adalah satu jenayah. Oleh itu, mereka tidak menyedari bahawa perbuatan mereka salah dan memberikan kesan buruk kepada orang lain. Individu-individu tersebut hanya mementingkan keseronokan dan kepuasan diri tanpa berfikir kesan buruk yang akan menimpanya. Oleh sebab itu, pihak kerajaan yang berkepentingan dalam menjalankan tanggungjawab ini mempunyai peranan penting untuk memberikan didikan yang efektif kepada masyarakat dalam menangani penyalahgunaan internet yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.

         Sukar mengenal pasti penjenayah siber juga merupakan faktor jenayah siber berleluasa di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, penjenayah siber ini melakukan kegiatan jenayah di alam maya yang tanpa sempadan. Oleh itu, lokasi penjenayah siber ini sukar untuk dikenal pasti. Jika dikenal pasti pun, pendakwaan terhadap penjenayah siber ini sukar dilakukan di mahkamah kerana ketiadaan bukti yang kukuh. Hal ini menyebabkan kegiatan jenayah siber ini terus berleluasa.

          Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya jenayah siber. Oleh itu, kegiatan jenayah siber ini perlu dipandang serius oleh semua pihak demi kebaikan bersama.