Gejala Buli Siber di Malaysia
Sejak akhir-akhir ini, kejadian buli siber semakin meningkat di negara kita. Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), buli siber merupakan satu perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks, chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. Biasanya, pembuli siber ini sukar untuk dikenal pasti dan dijejaki kerana mereka merahsiakan identiti mereka. Mangsa buli siber juga jarang melaporkan kejadian buli siber ini. Hal ini menyebabkan kes buli siber ini meningkat saban tahun. Buli siber ini merupakan masalah global yang akan mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.
Kesan Negatif Gejala Buli Siber
1. Menjatuhkan Maruah Seseorang
Antara kesan negatif buli siber termasuklah menjatuhkan maruah seseorang dan anggota keluarga mangsa. Pembuli siber akan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukan seseorang. Misalnya, pembuli siber akan menggunakan akaun media sosial seseorang seperti Facebook untuk untuk menyebarkan video-video pornografi di media sosial. Hal ini menyebabkan mangsa dipandang hina oleh rakan-rakannya kerana berkelakuan tidak baik. Bukan itu sahaja, akaun media sosial mangsa juga mungkin akan diserang oleh warga internet dengan tomahan-tomahan yang boleh memalukan dan menjatuhkan maruah. Keluarga mangsa juga akan turut dipermalukan di media sosial kerana dianggap mempunyai ahli keluarga yang kecanduan dengan video pornografi. Hal sudah pastinya akan menjatuhkan maruah mangsa dan keluarga mangsa.
2. Mangsa Tertekan
Selain itu, buli siber juga boleh menyebabkan mangsa tertekan. Hal ini disebabkan oleh perbuatan buli yang dilakukan oleh pembuli siber. Mangsa akan sentiasa akan teringat-ingat akan kejadian buli siber tersebut. Hal ini menyebabkan mangsa tertekan dan sentiasa merasa resah. Lama-kelamaan, mangsa akan mengalami kemurungan. Oleh itu, mangsa akan mengasingkan diri daripada orang ramai dan lebih suka menyendiri. Kejadian buli siber ini juga menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri dan takut untuk berhadapan dengan orang lain. Jelaslah bahawa buli siber ini akan menyebabkan mangsa buli siber mengalami tekanan.
3. Mewujudkan Unsur Kebencian dan Merenggangkan Silaturahim
Di samping itu, buli siber juga mewujudkan unsur kebencian dan merenggangkan silaturahim. Buli siber ini menyebabkan mangsa menanamkan unsur kebencian kepada si pembuli siber. Mangsa akan berdendam dengan si pembuli siber dan berkemungkinan akan membalasnya kembali. Terdapat juga kemungkinan mangsa buli siber ini akan mencari si pembuli dan akan membunuhnya. Selain itu, hubungan pembuli dengan mangsa di media sosial juga akan menjadi renggang. Mereka akan saling membuli di alam maya. Misalnya, si A membuli si B di platform Facebook dan si B akan membuli semula si A. Hal ini akan berterusan sehingga kedua-duanya berpuas hati.
4. Hilang Punca Pendapatan dan Menjatuhkan Karier
Kejadian buli siber juga menyebabkan seseorang hilang punca pendapatan dan menjatuhkan karier seseorang. Perbuatan buli siber ini boleh menyebabkan mangsa hilang perkerjaan. Pembuli siber akan menaburkan fitnah kepada mangsa di media sosial sehingga pihak majikan terpaksa memecat mangsa demi menjaga nama baik syarikat. Syarikat-syarikat lain juga tidak akan mengambil mangsa bekerja kerana tidak ingin imej syarikatnya tercalar. Hal ini menyebabkan mangsa hilang punca pendapatan. Oleh itu, kariernya akan jatuh disebabkan oleh perbuatan buli siber yang tidak bertanggungnawab ini.
5. Melakukan Tindakan Bunuh Diri
Selain daripada hilang punca pendapatan, buli siber juga menyebabkan seseorang akan melakukan tindakan membunuh diri. Mangsa yang dibuli di alam maya ini biasanya akan menghadapi tekanan mental yang sangat kritikal. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat berfikir dengan waras sehingga melakukan tindakan membunuh diri. Mangsa merasa ingin menamatkan sahaja hidupnya daripada terus menanggung malu. Kebiasannya, aib masa lalu si mangsa ini disebarkan oleh pembuli siber di media sosial yang menyebabkan si mangsa berasa terlalu hina sehingga membunuh diri. Misalnya, si mangsa pernah menjadi mangsa rogol pada masa lampau dan si pembuli siber pula menyebarkan aib tersebut kepada umum. Selain itu, gambar-gambar bogel si mangsa pada masa lalu yang disebarkan oleh pembuli siber di media sosial juga menyebabkan si mangsa membunuh diri.
Penutup
Kesimpulannya, buli siber ini memberikan kesan yang sangat serius kepada mangsa buli siber. Oleh itu, masalah buli siber ini perlulah ditangani dengan segera. Semua pihak haruslah duduk semeja untuk memastikan buli siber tidak berlaku di Malaysia. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlulah sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang melibatkan buli siber di media sosial supaya buli siber ini dapat ditangani. Ibu bapa juga perlu memantau penggunaan internet oleh anak-anak supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan buli siber. Selain itu, pengguna internet juga perlu bertindak pantas untuk melaporkan kejadian buli siber kepada pihak SKMM supaya pembuli siber ini dapat dibawa ke muka pengadilan serta tindakan keras dapat dikenakan. Semoga rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja menjauhi kegiatan buli siber ini kerana ia boleh membawa mudarat kepada mangsa buli siber.