KARANGAN: Punca Masalah Pengangguran dalam Kalangan Belia & Kesan Pengangguran kepada Rakyat dan Negara

Karangan : Punca Masalah Pengangguran dalam Kalangan Belia & Kesan Pengangguran kepada Rakyat & Negara

Punca pengangguran dalam kalangan belia dan Kesan Pengangguran kepada rakyat dan negara

Pendahuluan

          Kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa. Isu pengangguran ini sering kali diperkatakan di media massa dan media cetak. Contohnya, kita sering melihat berita di dada akhbar atau kaca televisyen yang membincangkan betapa seriusnya masalah pengangguran dalam kalangan belia di negara ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengangguran merupakan keadaan orang tidak mempunyai pekerjaan. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kita mendapati bahawa golongan belia merupakan penyumbang tertinggi kepada jumlah pengangguran di Malaysia. Oleh itu, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai punca masalah pengangguran berlaku dalam kalangan belia dan kesan kepada rakyat dan negara sekiranya pengangguran ini terus berlaku dalam kalangan belia.

Isi-isi Penting

1. Sikap Golongan Belia yang Suka Memilih Jenis Pekerjaan

          Punca berlakunya masalah pengangguran dalam kalangan belia ialah sikap golongan belia yang suka memilih jenis pekerjaan. Golongan belia pada masa ini lebih cenderung memilih pekerjaan yang bergaji tinggi dan tidak tergolong dalam pekerjaan 3D iaitu pekerjaan yang kotor, sukar dan berbahaya. Hal ini dapat dibuktikan melalui jumlah pekerja tempatan yang bekerja di sektor pertanian, perindustian dan pembinaan sebagai buruh kasar adalah amat sedikit jika dibandingkan dengan warga asing. Malangnya, pekerjaan yang menjadi pilihan dan impian kebanyakan belia adalah sangat terhad jika dibandingkan dengan jumlah graduan yang dihasilkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada setiap tahun. Jumlah peluang pekerjaan di Malaysia sebenarnya banyak terutamanya dalam sektor pertanian, pembinaan dan perindustrian tetapi disebabkan adanya sikap memilih jenis pekerjaan dalam diri belia ini telah menyebabkan pilihan pekerjaan menjadi terhad. Contohnya, kebanyakan golongan belia lebih memilih bekerja di dalam pejabat yang berpendingin hawa berbanding bekerja di ladang-ladang pertanian atau tapak-tapak pembinaan kerana mereka tidak mahu berpanas di bawah cahaya matahari. Oleh itu, kadar pengangguran belia di negara kita adalah tinggi kerana pilihan pekerjaan yang diingini oleh golongan belia sangat terhad. Tegasnya, Sikap memilih pekerjaan ini telah menyebabkan masalah pengangguran dalam golongan belia.

2. Tiada keseimbangan antara Jumlah Graduan dengan Jumlah Peluang Pekerjaan

          Selain itu, masalah pengangguran dalam kalangan belia berlaku disebabkan tiada keseimbangan antara jumlah graduan universiti dengan jumlah peluang pekerjaan yang ada di negara kita. Pada setiap tahun, jumlah graduan yang dihasilkan oleh universiti melebihi jumlah peluang pekerjaan yang ada di negara kita. Contohnya, pada tahun lalu sahaja lebih 10 000 orang graduan yang dihasilkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sedangkan jumlah pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka adalah sangat terhad. Oleh itu, graduan-graduan universiti terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk memperoleh pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka memandangkan peluang pekerjaan adalah terhad. Jelaslah di sini, bahawa ketidakseimbangan antara jumlah
peluang pekerjaan dengan jumlah graduan universiti telah menyebabkan banyak golongan belia menganggur di negara kita.

3. Kurang Pendedahan Kerjaya

          Di samping itu, masalah pengangguran dalam kalangan belia juga disebabkan kurangnya pendedahan kerjaya yang diberikan kepada mereka. Walaupun kita sudah di zaman moden, tetapi masih ramai golongan belia yang belum mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai kerjaya terutamanya belia di kawasan pedalaman. Mereka cuma diberi pendedahan yang sangat terhad mengenai kerjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, ketika mereka masih kecil, mereka hanya didedahkan kepada pekerjaan-pekerjaan kampung oleh ibu bapa mereka. Contohnya, menoreh getah, menanam padi, beniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Selain itu, golongan belia juga hanya didedahkan kepada pekerjaan seperti guru, doktor, polis, tentera dan jururawat oleh guru mereka semasa di bangku sekolah rendah lagi. Hal ini menyebabkan kebanyakan belia hanya berminat pada pekerjaan yang sama. Apabila golongan belia berminat pada pekerjaan yang sama, maka mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan tersebut kerana peluangnya sangat terhad. Contohnya, suatu pekerjaan hanya mempunyai dua puluh jawatan kosong tetapi jumlah pemohonya adalah seratus orang. Hal ini menyebabkan lapan puluh orang belia tidak memperoleh pekerjaan yang diminatinya. Jelaslah di sini, golongan belia perlu diberi pendedahan mengenai kerjaya untuk mengelakkan pengangguran dalam kalangan mereka.

4. Pembangunan Negara Terbantut

          Masalah pengangguran ini juga membawa banyak kesan negatif kepada rakyat dan negara. Antaranya, masalah pengangguran ini telah menyebabkan pembangunan negara terbantut. Pembangunan negara terbantut kerana pelabur asing kurang yakin untuk melabur dalam negara. Pelabur asing akan menganggap kerajaan tidak cekap dalam menguruskan pentadbiran negara disebabkan berlakunya pengangguran dalam kalangan belia. Apabila pelabur asing tidak mahu melabur untuk pembangunan negara, maka kerajaan akan kekurangan wang atau modal untuk membiayai pembangunan dalam negara. Oleh itu, pembangunan negara akan terbantut. Jelaslah di sini bahawa, masalah pengangguran dalam kalangan belia menyebabkan pembangunan negara terbantut kerana pelabur asing tidak yakin melabur dalam negara.

5. Kadar Jenayah Meningkat

          Masalah pengangguran juga menyebabkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat meningkat. Pengangguran telah menyebabkan banyak rakyat yang kehilangan sumber pendapatan tetap. Hal ini telah menyebabkan rakyat terpaksa mengambil pelbagai inisiatif untuk menyara hidup mereka termasuk dengan melakukan jenayah. Contohnya, ada sebahagian daripada rakyat yang terpaksa melakukan jenayah seperti merompak, meragut dan  memecah masuk rumah untuk menyara diri dan keluarga mereka. Hal ini terpaksa dilakukan oleh mereka kerana mereka berada dalam kesempitan kewangan, ditambah pula jika mereka mempunyai beban hutang seperti hutang kereta dan rumah. Jelaslah bahawa, pengangguran boleh menyebabkan kadar jenayah dalam kalangan rakyat meningkat.

Penutup

          Kesimpulannya, semua pihak perlulah mengambil serius dan berganding bahu dalam menangani masalah pengangguran yang berlaku dalam kalangan belia di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, masalah pengangguran dalam kalangan belia ini, semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Misalnya, kerajaan dan pihak swasta perlulah duduk semeja  dalam mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baharu untuk memastikan golongan belia memperolehi pekerjaan yang sewajarnya. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga perlu memberi pendedahan secara menyeluruh kepada para belia mengenai pekerjaan-pekerjaan yang ada menerusi pelbagai program supaya kadar pengangguran belia di negara kita menurun. Masalah pengangguran ini hanya dapat diatasi, jika semua pihak dapat duduk semeja untuk menyelesaikan masalah pengangguran ini.