Faktor Golongan Miskin Bandar Semakin Meningkat
Karangan Faktor Golongan Miskin Bandar Semakin Meningkat
Pada era teknologi yang semakin canggih ini, golongan miskin bandar semakin hangat diperkatakan di media sosial. Hal ini berlaku kerana, semakin hari, semakin meningkat golongan miskin bandar ini. Secara umumnya, miskin bandar ini merujuk kepada individu atau kumpulan individu yang tinggal di kawasan bandar tetapi hidup dalam serba kekurangan. Dalam bahasa mudahnya, golongan miskin bandar ini ialah mereka yang tinggal di bandar namun, tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas hidup mereka seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan. Sebagai contoh, terdapat ramai penduduk di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur yang berada di bawah paras kemiskinan. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan golongan miskin bandar ini semain meningkat.
Faktor Golongan Miskin Bandar Semakin Meningkat
1. Tahap Pendidikan yang Rendah
Antara faktor golongan miskin bandar semakin meningkat ialah tahap pendidikan yang rendah. Kebanyakan penduduk bandar yang berpendidikan rendah sukar untuk memperoleh pekerjaan yang stabil. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan syarikat memerlukan pekerja yang mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tambahan pula, kini berlaku lembakan graduan universiti yang pastinya memberi persaingan yang sengit kepada mereka yang berpendidikan rendah dalam mencari peluang pekerjaan. Pekerjaan yang tidak stabil ini menyebabkan mereka tidak mempunyai punca pendapatan yang stabil. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa merempat di jalanan kerana tidak mampu menyewa rumah, bahkan wang untuk membeli makanan pun sukar untuk diperolehi. Keadaan ini menyebabkan banyak penduduk bandar yang berpendidikan rendah ini menjadi golongan miskin bandar.
2. Peningkatan Kos Sara Hidup
Selain itu, peningkatan kos sara hidup juga menyebabkan golongan miskin bandar semakin meningkat. Kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun menyebabkan ramai individu yang tidak mendapat kenaikan gaji seiring dengan peningkatan kos sara hidup jatuh ke dalam golongan miskin bandar. Hal ini dikatakan demikian kerana, gaji mereka yang tidak mengalami kenaikan menyebabkan kemampuan mereka untuk mendapatkan keperluan asas yang sama tidak dapat dipenuhi. Hal ini biasanya berlaku kepada mereka yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh, sedikit sahaja kenaikan kos sara hidup seperti kenaikan harga barangan dan sewa rumah akan menyebabkan gaji mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas mereka. Kesannya, jika kos sara hidup terus-menerus meningkat tanpa kenaikan gaji mereka dalam jangka panjang, maka besar kemungkinan mereka akan hidup merempat di jalanan dan tidak mendapat makanan yang secukupnya. Hal ini yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan golongan miskin bandar.
3. Pendapatan Isi Rumah yang Terhad
Di samping itu, pendapatan isi rumah yang terhad juga menjadi faktor kepada peningkatan golongan miskin bandar. Hal ini dikatakan demikian kerana, pendapatan isi rumah yang terhad menyebabkan sesebuah keluarga itu sukar untuk mendapatkan keperluan asas yang selayaknya. Sebagai contoh, isi rumah yang berpendapatan kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang sukar untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pendidikan dan akses kepada perubatan yang baik. Keadaan ini berlaku kerana pendapatan mereka hanya cukup-cukup untuk mereka hidup sahaja. Dalam hal ini, sedikit sahaja kenaikan harga barangan akan menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan jumlah pengambilan makanan mereka, bahkan mungkin akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa rumah. Kesannya mereka jatuh ke ambang kemiskinan bandar.
4. Peluang Pekerjaan yang Terhad
Selain daripada pendapatan isi rumah yang terhad, peluang pekerjaan yang terhad juga menyebabkan golongan miskin bandar semakin meningkat. Persaingan yang tinggi dalam mencari peluang pekerjaan di bandar menyebabkan ramai individu yang tidak mendapat pekerjaan yang stabil, terutamanya mereka yang berkemahiran rendah. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka di bandar. Hal ini lebih buruk lagi kerana, kos sara hidup di bandar lebih tinggi. Jadi, tanpa pekerjaan yang stabil atau hanya mendapat pekerjaan yang bergaji rendah, maka ramai penduduk di bandar yang tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka yang akhirnya membawa mereka jatuh ke ambang kemiskinan bandar.
5. Sikap Negatif Individu
Sikap negatif individu juga menjadi faktor peningkatan golongan miskin bandar. Sikap negatif seperti malas untuk mencari pekerjaan menyebabkan seseorang yang tinggal di bandar itu tidak memperoleh pendapatan yang stabil untuk memenuhi keperluan asas mereka. Bukan itu sahaja, terdapat juga individu yang telah mendapat pekerjaan yang stabil, namun disebabkan sikap malas mereka sendiri, maka mereka dipecat oleh majikan mereka. Lebih parah lagi, terdapat individu yang lebih memilih untuk menjadi pengemis di bandar daripada berusaha keras untuk mencari pekerjaan. Selain itu, terdapat juga individu di bandar yang mempunyai sikap negatif enggan berubah atau beradaptasi sesuai dengan perkembangan zaman. Sikap negatif yang mereka amalkan ini menyebabkan mereka menjadi tidak relevan dengan pekerjaan yang ada di bandar. Kesannya, mereka dipecat dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu. Akhirnya, hal ini akan menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan hidup dan menjadi golongan miskin bandar.
Penutup Karangan Faktor Golongan Miskin Bandar Semakin Meningkat
Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan golongan miskin bandar semakin meningkat. Peningkatan golongan miskin bandar ini membawa banyak kesan negatif kepada masyarakat dan negara. Hal ini boleh memburukkan imej negara di mata dunia. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah menangani peningkatan golongan miskin bandar ini dengan efisien. Antara langkah yang boleh diambil ialah, pihak kerajaan perulah meningkatkan peluang pekerjaan di bandar-bandar untuk memastikan mereka yang tinggal di bandar mempunyai pekerjaan yang baik. Dalam hal ini, pihak swasta juga haruslah membantu dalam mengurangkan golongan miskin bandar ini dengan memberikan gaji yang sesuai dengan kos sara hidup di bandar. Dengan kerjasama yang erat antara semua pihak ini, nescaya golongan miskin bandar ini dapat dibasmi di negara kita.