Implikasi Penjajahan Barat terhadap Pentadbiran di Malaysia
IMPLIKASI PENJAJAHAN BARAT TERHADAP PENTADBIRAN DI MALAYSIA
a) Pengenalan Sistem Demokrasi
Penjajahan Barat di Tanah Melayu dan Borneo telah
membawa kepada perubahan dalam sistem
pentadbiran di Malaysia, iaitu pengenalan kepada sistem demokrasi oleh penjajah
British. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran
Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sebagai
ketua Negara. Asas kepada pembentukan pemerintahan demokrasi berparlimen di
Malaysia bermula pada tahun 1876, apabila Majlis Perundangan Negeri-Negeri
Selat (NNS) ditubuhkan akibat perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat
(Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke
Pejabat Kolonial. Majlis perundangan ini merupakan institusi pertama yang mengadakan perbahasan
dan perbincangan seperti ciri-ciri parlimen moden. Pada tahun 1909, Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi NNMB ditubuhkan dengan
pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas parlimen. Pembentukan Majlis ini merupakan langkah awal ke arah pemerintahan sistem
demokrasi berparlimen oleh penjajah British di Tanah Melayu.
Pada tahun 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948
telah terbentuk akibat penentangan orang melayu terhadap Malayan Union. Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini merupakan langkah penjajah British dalam
merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen. Pada tahun 1955, Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah dibubarkan bagi membolehkan
kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kali yang bertujuan untuk
memilih ahli-ahli yang mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan. Pada bulan Julai 1955, pilihan raya yang pertama kali di Tanah Melayu telah diadakan
yang menyaksikan Parti Perikatan memenangi hampir keseluruhan kerusi iaitu, 51
daripada 52 buah kerusi di Majlis Perundangan Persekutuan. Hal ini adalah peristiwa penting dalam
proses demokrasi di Malaysia. Kemenangan Parti Perikatan pada bulan Julai 1955
menyebabkan Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan
Tanah Melayu dan membentuk Jemaah Menteri atau kabinet yang pertama di Tanah
Melayu. Pada tahun 1957, satu perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh
pakar undang-undang dari beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord
Reid. Pada 31 Ogos 1957, pengisytiharan kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah
dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai perdana menteri di Stadium
Merdeka. Pada bulan Jun 1959, Majlis Perundangan Persekutuan yang berfungsi sebagai
sebuah Dewan Parlimen telah dibubarkan dan menyebabkan satu pilihan raya umum
telah diadakan. Pembuburan Majlis Perundangan Persekutuan ini juga membawa
kepada pembentukan sistem Parlimen dua dewan yang terdiri daripada Yang
di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dalam sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di
Malaysia, Parlimen merupakan institusi perundangan tertinggi di dalam negara
yang menggubal undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan
Dewan Rakyat. Semenjak pilihan raya umum pada tahun 1959, negara kita mengamalkan kaedah
demokrasi dalam menentukan kerajaan di peringkat pusat dan negeri setiap lima
tahun sekali. Kaedah ini juga digunakan dalam pemilihan pimpinan dalam setiap
parti politik, persatuan atau pertubuhan. Jika kita lihat secara mendalam, sistem
demokrasi berparlimen yang kita amalkan sekarang merupakan sistem demokrasi yang
berpandukan kepada model Westminster kesan daripada penjajahan British di Tanah
Melayu. Westminster merupakan parlimen orang Inggeris yang mana ia digunakan
untuk membahaskan masalah rakyat Inggeris dan bertindak sebagai badan
perundangan di Britain sejak berkurun-kurun lamanya. Jelaslah bahawa,
penjajahan British meninggalkan sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster di
Malaysia walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
b) Doktrin Pengasingan Kuasa
Penjajahan Barat di Tanah Melayu dan Borneo telah membentuk
sistem pentadbiran di Malaysia, iaitu sistem pengasingan kuasa. Doktrin
pengasingan kuasa telah dibawa oleh penjajah Barat ke Tanah Melayu. Sebelum sistem pengasingan kuasa ini, Tanah Melayu mengamalkan sistem
feudalisme. Dalam sistem feudalisme, raja adalah berkuasa mutlak yang mana
kuasa pentadbiran, perundangan dan kehakiman berada di tangan raja atau sultan.
Dalam hal pemerintahan dan pentadbiran, raja merupakan ketua pemerintah
tertinggi dalam sesebuah kerajaan atau negeri. Raja berhak melantik pembesar di
peringkat pusat, daerah dan kampung bagi membantu baginda dalam pentadbiran.
Dalam hal perundangan pula, raja berperanan dalam mengubal dan mengesahkan
undang-undang serta dasar sesebuah kerajaan bagi memastikan keamanan,
kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, undang-undang yang digubal ini
juga bertujuan untuk memastikan kuasa dan kedudukan raja dapat dipertahankan
daripada dicabar oleh mana-mana pihak. Dalam hal kehakiman pula, raja menjadi
ketua hakim bagi sesebuah kerajaan atau negeri di mana, raja mempunyai kuasa
untuk menjatuhkan hukuman dan berhak memberikan pengampunan.
Namun begitu, selepas kedatangan British ke Tanah Melayu
pada tahun 1874, segalanya berubah. Pihak British telah mengubah struktur
pentadbiran Melayu dengan memisahkan kuasa pentadbiran, kehakiman dan
perundangan daripada Sultan. Dalam hal ini, hanya hal-hal yang berkaitan dengan
agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja yang berada di bawah kuasa sultan. Konsep
pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu sebenarnya
melalui beberapa siri perjanjian yang ditandatangani bersama antara pihak British
dengan sultan dan raja di negeri-negeri Melayu. Konsep pengasingan kuasa
bermula apabila British berjaya bertapak di Pulau Pinang dan memperkenalkan undang-undangnya
yang tersendiri.
Pada tahun 1807, satu undang-undang yang dikenali sebagai
Piagam Keadilan yang mengetepikan undang-undang sedia ada di Pulau Pinang telah dikuatkuasakan oleh
penjajah British. Kemudiannya, pada sekitar tahun 1826, British bertapak di Melaka dan Singapura
dan memperkenalkan Piagam Keadilan kedua bagi kedua-dua negeri tersebut. Pada tahun 1855, Piagam Keadilan ketiga diperkenalkan di mana undang-undang yang
lebih menyeluruh dikuatkuasakan bagi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pada
tahun 1874 pula, british memperkuatkan pengaruh mereka di Tanah Melayu melalui
satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor. Dalam hal ini, British telah mengetepikan agama Islam dalam pengurusan
kenegaraan. Raja atau sultan juga tidak lagi berkuasa dalam urusan pemerintahan
dan pentadbiran negara yang mana ia telah digantikan oleh Residen British.
Elemen sekularisme juga sudah mula diterapkan dalam sistem
prentadbiran negara yang mana ini bermakna fungsi kerajaan dan agama telah
dipisahkan. Dari sudut positif, sistem Residen yang diperkenalkan oleh penjajah
British di Tanah Melayu adalah baik dalam memberikan tunjuk ajar kepada para
pemerintah tempatan dalam urusan pentadbiran yang cekap dan sistematik. Namun
begitu, cara penjajah British yang kurang ajar dengan tidak menghormati sultan dan
mencampuri urusan adat istiadat Melayu dan agam Islam menyebabkan jawatan
Residen British ini mula dipandang serong oleh masyarakat Melayu. Hal ini
dibuktikan melalui pembunuhan Residen British, J.W.W Birch di Perak.
Pihak British sebenarnya berusaha menerapkan sistem
pemerintahan dan pentadbiran Barat di Tanah Melayu dengan memperkenalkan doktrin
pengasingan kuasa yang mana ia adalah lebih baik dan sistematik menurut mereka.
Menurut pandangan sarjana politik barat, doktrin pengasingan kuasa yang
diamalkan di sesebuah negara adalah bermatlamatkan untuk meraih kebebasan
politik, menjaga keselamatan, menegakkan keadilan dan mengelakkan kezaliman. Pengasingan kuasa ini bertujuan bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan penyalahgunaan
kuasa oleh pihak pemerintah. British menganggap penerapan doktrin pengasingan
kuasa ini adalah yang terbaik bagi sesebuah kerajaan kerana sejarah
pemerintahan dan pentadbiran British itu sendiri membuktikan doktrin pengasingan
kuasa ini terbaik untuk sistem pentadbiran negara mereka.
Pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa kita tetap
menggunakan sistem pengasingan kuasa hasil daripada tinggalan penjajahan
British ini. Namun begitu, Malaysia tidak mencetak bulat-bulat bentuk tersebut
tetapi diubah suai mengikut kesesuaian rakyat di Malaysia. Sistem pengasingan
kuasa yang diamalkan oleh Malaysia pada hari ini adalah berbeza sedikit dengan
konsep pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh British di mana terdapat
penggabungan kuasa dalam badan pentadbiran dan perundangan, manakala badan
keadilan pula berdiri sendiri tanpa campur tangan daripada badan pentadbiran
dan perundangan. Walau bagaimanapun, Malaysia tetap mewarisi ciri-ciri
tinggalan penjajah Barat iaitu, pengasingan kuasa sehingga ke hari ini.
c) Persekutuan (Federalisme)
Sistem kerajaan persekutuan yang Malaysia amalkan hari ini
sebenarnya merupakan salah satu bentuk pentadbiran yang ditinggalkan oleh
penjajah Barat di Malaysia. Pentadbiran berbentuk persekutuan ini sebenarnya
sudah mula diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu sejak tahun 1896 lagi,
apabila British menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB).
Perkembangan ini merupakan langkah awal pembentukan satu
sistem kerajaan persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Namun begitu, usaha berterusan penjajah British bagi memasukkan negeri-negeri
lain ke dalam persekutuan ini gagal sehinggalah British menemui celah semasa
penjajah Jepun di Tanah Melayu untuk memaksakan penjajahannya melalui Malayan
Union pada tahun 1946. Sekali lagi, rancangan penjajah British ini gagal kerana
menerima tentangan hebat daripada orang Melayu dan bekas pegawai British di
Tanah Melayu sehinggalah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tanpa Singapura
pada tahun 1948. Bentuk kerajaan persekutuan ini merupakan bentuk kerajaan yang
telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid.
Menurut Shaikh Mohd Noor Alam, persekutuan dipilih di
Malaysia atas sebab-sebab fakta sejarah yang menghasilkan institusi persekutuan
yang tidak dapat diketepikan atau dimansuhkan. Persekutuan Tanah Melayu ini diperkukuh lagi apabila Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1963 pula, atas dorongan yang kuat
daripada Britain, persekutuan yang lebih besar, iaitu Malaysia terbentuk yang
melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei yang
pada asalnya menunjukkan minat untuk menyertai Malaysia tetapi telah menarik
diri pada saat akhir, Singapura pula terpaksa keluar setelah dua tahun pembentukan
Malaysia atas faktor perbezaan politik dan sosiobudaya.
Berdasarkan bukti ini ditambah dengan pembahagian dua
peringkat kerajaan di Malaysia iaitu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
menguatkan lagi fakta bahawa Malaysia mengamalkan kerajaan jenis persekutuan
hasil daripada warisan jajahan British di Tanah Melayu. Prinsip asas dalam
persekutuan adalah bersifat duality atau dua jenis pemerintahan, iaitu
kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Di Malaysia, pusat pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan
Persekutuan terletak di Putrajaya dengan ketua negara ialah Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan persekutuan pula diketuai oleh perdana menteri
yang dibantu oleh barisan kabinet. Di peringkat kerajaan negeri pula, ketua
negeri ialah sultan atau raja bagi negeri beraja dan dibantu oleh menteri
besar. Bagi negeri tidak beraja pula seperti negeri Sabah, Sarawak, Pulau
Pinang dan Melaka, ketua negeri ialah Yang di-Pertuan Negeri dan ketua kerajaan
negeri dikenali sebagai ketua menteri untuk semua negeri tidak beraja kecuali
Sarawak yang ketua kerajaan negerinya dikenali sebagai Premier. Perkembangan
sistem persekutuan ini telah menjadi asas penting dalam pentadbiran moden di
Tanah Melayu, khususnya dari segi mekanisme pentadbiran yang mewujudkan jentera
pentadbiran yang terdiri daripada pelbagai jawatan mengikut bidang seperti
pentadbiran, pendidikan, perubatan, kerja raya, kereta api, elektrik, parit dan
saliran, perhutanan dan sebagainya.
d) Raja Berperlembagaan
Pada zaman sebelum kedatangan penjajah British ke Tanah
Melayu pada tahun 1874, raja mempunyai kuasa mutlak di mana raja mempunyai
kuasa sepenuhnya untuk memerintah dan mentadbir kerajaannya. Maknanya, kuasa
raja pada ketika ini adalah tidak terhad. Raja mempunyai sepenuhnya kuasa dalam
hal pentadbiran, perundangan, kehakiman, ketenteraan, hal ehwal agama, adat
istiadat Melayu sehinggalah ke hal-hal yang berkaitan dengan perhubungan luar.
Namun begitu, selepas kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu, kuasa raja
ini diambil oleh Residen British apabila penjajah British memperkenalkan sistem
Residen di Tanah Melayu.
British hanya mengekalkan kuasa agama dan adat istiadat
Melayu di bawah sultan. Sehingga ke hari ini, kuasa raja dihadkan oleh perlembagaan persekutuan seperti
mana yang diamalkan oleh Malaysia. Sistem yang mengehadkan kuasa raja dengan
perlembagaan ini dikenali sebagai Sistem Raja Berperlembagaan yang mana ia bermakna
raja menjalankan kuasa pemerintahannya berdasarkan undang-undang yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini dilakukan bagi memastikan raja tidak
menggunakan kuasanya sesuka hati tanpa mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, kuasa pemerintahan yang sepatutnya berada
di tangan raja diwakilkan kepada badan eksekutif. Di Malaysia, badan eksekutif
diketuai oleh perdana menteri dengan dibantu oleh menteri-menteri kabinet yang
lain. Dalam Perlembagaan Persekutuan juga, Yang di-Pertuan Agong mesti
bertindak atas nasihat perdana menteri. Hal ini sama seperti pada zaman penjajahan
British apabila sistem Residen diperkenalkan oleh British di mana residen berperanan
secara “De Jure” menasihati sultan yang memerintah dalam urusan
pentadbiran. Sultan pula haruslah bertindak mengikut nasihat daripada Residen
British dal hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan adat resam dan
agama Islam.
Walaupun kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman ini
tidak dipegang sepenuhnya oleh raja atau sultan dalam sistem Raja
Berperlembagaan, namun raja bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat
orang Melayu. Menurut Veron Bogdanor pada tahun 1997, konsep Raja
Berperlembagaan merupakan pendekatan yang asalnya adalah bertentangan, iaitu raja
yang konservatif, sedangkan Perlembagaan adalah selari dengan amalan demokrasi
moden. Pelaksanaan konsep Raja Berperlembagaan antara lainya untuk mengabsahkan
kedudukan monarki dalam konteks demokrasi.
Kejayaan Britain dalam menginstitusikan monarki dalam
kerangka Perlembagaan telah dicontohi oleh majoriti negara-negara bekas
jajahannya sebagai mekanisme untuk meneruskan kelangsungan monarki di negara
berkenaan. Hal ini juga turut berlaku di
Malaysia yang mana kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara tertakluk kepada
Perlembagaan Persekutuan dan harus bertindak mengikut undang-undang yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
KESIMPULAN
Penjajahan
Barat yang berlaku di Tanah Melayu dan Borneo telah meninggalkan kesan dan
pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan masyarakat dan pentadbiran di
Malaysia. Masyarakat Malaysia masih merasai kesan daripada penjajahan Barat,
terutamanya British sehingga ke hari ini. Penjajahan Barat telah meninggalkan kesan
yang mendalam terhadap pembangunan infrastruktur moden seperti jalan raya, landasan
kereta api, dan pelabuhan yang memberi kemudahan dalam perdagangan dan
pengangkutan di Malaysia. Selain itu, sistem pendidikan Barat yang
diperkenalkan oleh British juga telah memantapkan lagi sistem pendidikan di
Tanah Melayu sehingga muncul tokoh-tokoh yang hebat yang kemudiannya
memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Sistem perundangan dan
pentadbiran yang diperkenalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu dan Borneo
juga memberikan asas kepada sistem perundangan Malaysia yang digunakan sehingga
ke hari ini. Namun begitu, penjajahan Barat ini juga memberikan impak yang negatif
kepada negara kita. Salah satu impak negatif penjajahan Barat ialah penghakisan
terhadap budaya tempatan dan pengenalan sistem ekonomi yang bertujuan untuk mengaut
hasil bumi di Tanah Melayu dan Borneo. Dasar pecah dan perintah yang
dilaksankan oleh British di Tanah Melayu telah menyebabkan ketidakseimbangan
dalam struktur sosioekonomi masyarakat. Selain itu, sistem pendidikan Barat yang
diperkenalkan oleh penjajah British juga telah sedikit sebanyak menghakis
nilai-nilai budaya tempatan dan menyebabkan hilangnya warisan budaya Melayu. Di
samping itu, implikasi penjajahan Barat terhadap pentadbiran di Malaysia pula
boleh dilihat dalam bentuk sistem politik dan pentadbiran yang diamalkan oleh
Malaysia hari ini. Banyak aspek-aspek dalam pentadbiran Malaysia yang merupakan
hasil warisan daripada sistem Barat yang telah diperkenalkan oleh penjajah
British sebelum kemerdekaan. Meskipun, terdapat aspek positif dari segi
pentadbiran, seperti kestabilan politik dan ketelusan dalam sistem perundangan,
namun sistem ini juga mempunyai kelemahan seperti gejala rasuah. Perkara ini
dapat dilihat daripada tinggalan British di era penjajahan yang membentuk
struktur pentadbiran negara. Secara keseluruhan, penjajahan Barat meninggalkan
kesan dan pengaruh yang rumit di Tanah Melayu dan Borneo. Ia bukan sahaja memberikan
landasan pembangunan yang positif kepada Malaysia, tetapi juga memberikan kesan
yang negatif terhadap identiti budaya dan keseimbangan sosioekonomi masyarakat.
Sejarah penjajahan Barat ini telah membentuk landskap politik, ekonomi dan
sosial di Malaysia. Oleh itu, penting untuk rakyat Malaysia memahaminya bagi
perjalanan negara ini ke arah masa depan yang lebih baik.
SUMBER RUJUKAN
Abdul
Rahman Haji Ismail. (2007). Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad
Jaffri Ahmad Zaini & Mohd Samsudin. (2019). Perkembangan Sistem Pentadbiran
Persekutuan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Journal of Social Sciences
and Humanities, 16(9): 133-155. Dilayari dari https://ejournal.ukm.my/ebangi/article/viewFile/36295/10024 pada 12
Disember 2023.
Auni
Abdullah. (2005). Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme Dalam
Sejarah Alam Melayu. Kuala Lumpur : Darul Fikir.
Bharuddin
& Farizah. (2014). Pengasingan Kuasa Menurut Perspektif Barat Dan Islam :
Amalannya di Malaysia, Jurnal Syariah, 22(1) : 21-56. Dilayari dari https://ejournal.um.edu.my/index.php/JS/article/view/8112/5614
pada 11 Disember 2023.
Chamil
Wariya. (2004). Kesinambungan dan perubahan : Malaysia di Bawah Pentadbiran
Abdullah Ahmad Badawi. Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Chamil
Wariya. (2010). Malaysia: Asas Pembinaan Negara Bangsa, Institusi
Pemerintahan, Lambang Kebangsaan. Kuala Lumpur : Media Global Matrix.
Mohammad Tawfik Yaakub et.al. 2014.
Keutuhan Sistem Monarki Berperlembagaan Manifestasi Kecemerlangan Tamadun
Melayu dalam Era Moden. Dilayari dari https://www.academia.edu/en/11300436/Keutuhan_Sistem_Kesultanan_Manifestasi_Kecemerlangan_Melayu_Era_Moden
pada 12 Disember 2023.
Nawi
Abdullah & Zuriana Zahrin. (2005). Pembahagian Kuasa Fiskal Antara Kerajaan
Persekutuan dengan Negeri, 1990-2001, Jurnal Sejarah, 13(13): 175-221.
Dilayari dari https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/9166/6480 pada 11 Disember 2023.
Portal
Rasmi Parlimen Malaysia. Dilayari dari www.parlimen.gov.my
pada 11 Disember 2023.
Zulhilmi
Paidi. (2011). Malaysia Pembinaan Negara Bangsa. Kuala Lumpur : Prentice
Hall.