Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Karangan SPM/STPM: Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Cara mengamalkan gaya hidup sihat
Pada era teknologi digital ini, kesihatan masyarakat berada pada tahap yang sangat membimbangkan, di mana ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menghidap pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Semakin hari, semakin ramai rakyat Malaysia yang dihantui oleh penyakit kronik ini. Jika dahulu penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi hanya dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda termasuklah, kanak-kanak juga turut menghadapinya. Hal ini sudah pasti disebabkan oleh gaya hidup masyarakat yang tidak sihat. Pada faktanya, terdapat pelbagai cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Bagaimana Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat?

1. Pengambilan Makanan Seimbang

Salah satu cara mengamalkan gaya hidup sihat ialah pengambilan makanan seimbang. Pengambilan makanan seimbang ini bermaksud seseorang itu mengambil makanan mengikut kuantiti yang betul berdasarkan keperluan tubuh badannya dengan merujuk kepada piramid makanan. Berdasarkan piramid makanan, kita perlu mengambil karbohidrat paling banyak iaitu, kumpulan makanan yang berada di bahagian paling bawah dalam piramid makanan sebagai sumber utama tenaga, diikuti oleh makanan yang mengandungi vitamin yang tinggi seperti sayur-sayur dan buah-buahan. Dalam pada itu, kita juga perlu mengambil protein yang berada di lapisan ketiga dalam piramid makanan untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu-tisu dalam badan, manakala kumpulan makanan yang berada di puncak piramid makanan, iaitu lemak pula perlu diambil paling sedikit kerana makanan ini yang akan mendedahkan kita kepada pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kolesterol dan obesiti. Pemakanan yang seimbang ini sebenarnya membantu kita dalam memastikan tubuh badan kita mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi dan membolehkan sistem tubuh berfungsi secara optimum. Jelaslah bahawa, pengambilan makanan seimbang berdasarkan piramid makanan ini salah satu gaya hidup yang sihat.

2. Bersenam

Selain itu, rajin bersenam juga merupakan cara mengamalkan gaya hidup sihat. Bersenam merupakan aktiviti fizikal atau latihan gerak badan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, senaman akan membantu membakar lemak dan kalori dalam tubuh badan kita, meningkatkan keanjalan otot, mengekalkan berat badan dan meningkatkan kelancaran peredaran darah. Oleh itu, senaman ini perlu dilakukan secara berkala. Lazimnya, ia dilakukan dua atau tiga kali seminggu dalam tempoh 30 minit. Antara aktiviti senaman yang boleh dilakukan termasuklah, berbasikal, joging dan bermain badminton. Dengan meluangkan masa melakukan senaman ini, kita akan dapat mengurangkan risiko daripada pelbagai penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung. Jelaslah bahawa, rajin bersenam merupakan salah satu gaya hidup sihat yang perlu diamalkan.

3. Penghindaran Diri daripada Alkohol, Dadah dan Merokok

Di samping itu, penghindaran diri daripada meminum alkohol, menagih dadah dan merokok juga merupakan cara mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana, benda-benda ini mengandungi bahan kimia yang akan menjejaskan kesihatan kita. Sebagai contoh, rokok  mengandungi bahan kimia berbahaya seperti tar dan karbon monoksida yang akan menjejaskan sistem pernafasan kita, manakala alkohol pula akan merosakkan hati, buah pinggang dan banyak lagi organ dalam tubuh badan kita. Begitu juga dengan penagihan dadah, ia akan menjejaskan sistem tubuh badan kita terutamanya, sistem imun tubuh. Jika kita menghindarkan diri daripada bahan-bahan kimia berbahaya ini, nescaya hidup kita akan lebih sihat daripada mereka yang mengambil benda-benda berbahaya ini. Jelaslah di sini bahawa, amalan menghindarkan  pengambilan alkohol, dadah dan merokok mampu menjadikan hidup kita lebih sihat dan bahagia.

4. Tidur cukup dan Berkualiti

Pengamalan tidur yang cukup dan berkualiti juga merupakan cara mengamalkan gaya hidup sihat. Tidur yang berkualiti akan memberi kesan yang baik terhadap kesihatan mental dan fizikal kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, amalan ini akan membantu dalam pemulihan diri kita selepas aktiviti harian yang memenatkan dan meningkatkan daya tumpuan serta kognitif kita. Tidur yang berkualiti ini boleh didapati apabila kita tidur dalam suasana yang tenang, selesa dan rendah cahaya. Penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar sangat tidak digalakkan sebelum tidur kerana pancaran cahaya biru daripada peranti elektronik ini akan mengganggu pengeluaran melatonin, iaitu hormon yang mengawal kitaran tidur kita. Lebih disarankan untuk membaca buku dan mendengar muzik lembut sebelum tidur bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti. Selain itu, tidur yang cukup pula akan membantu dalam pemulihkan sistem imun, pembaikan sel-sel yang rosak dan menyokong proses pemulihan metabolisme tubuh badan kita. Lazimnya, orang dewasa disarankan untuk tidur 6 hingga 8 jam setiap malam. Sekiranya seseorang itu kurang tidur, maka ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti peningkatan risiko penyakit jantung. Jelaslah bahawa, tidur yang cukup dan berkualiti ini ialah amalan gaya hidup sihat yang akan membantu memastikan kesihatan kita sentiasa berada dalam keadaan yang sangat baik.

5. Pengurusan Stres dan Emosi

Pengurusan stres dan emosi yang baik juga menjadi salah satu cara mengamalkan gaya hidup sihat. Pengurusan stres dan emosi yang baik akan menjamin fungsi fizikal yang lebih baik kepada kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, stres yang berlebihan boleh menyebabkan sistem tubuh seperti sistem pencernaan, sistem imun dan sistem kardiovaskular kita terganggu. Dengan stres yang rendah, sistem tubuh kita akan berfungsi dengan lebih cekap. Hal ini akan mengurangkan risiko masalah kesihatan jangka panjang. Sebagai contoh, pengurusan stres yang baik akan mengurangkan risiko kita menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi. Selain itu, pengurusan stres dan emosi yang baik juga dapat menjamin kesihatan mental kita. Stres yang berlebihan dan emosi yang tidak terkawal akan menyebabkan kita mengalami masalah kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan dan gangguan tidur. Jelaslah bahawa, pengurusan stres dan emosi sangat menpengaruhi kesihatan tubuh badan kita.

6. Penjagaan Kebersihan Diri

Selain daripada pengurusan stres dan emosi, penjagaan kebersihan  diri dan persekitaran juga menjadi aspek penting dalam amalan gaya hidup sihat. Penjagaan kebersihan diri ini penting bagi menghindarkan diri kita daripada pelbagai penyakit. Penjagaan kebersihan diri ini boleh dilakukan dengan kerap mandi, kerap mencuci tangan, rajin mengosok gigi dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana, amalan ini akan mencegah kuman daripada merebak dalam badan kita dan menyebabkan penyakit. Sebagai contoh, amalan kerap mandi akan membantu menghindarkan diri kita daripada penyakit kulit seperti kurap, manakala rajin mencuci tangan pula dapat menghindarkan diri kita daripada sakit perut yang disebabkan oleh bakteria. Selain itu, amalan penjagaan kebersihan persekitaran juga penting dalam mencegah penyebaran penyakit berbahaya yang dibawa oleh binatang atau serangga pembawa penyakit. Sebagai contoh, persekitaran yang kotor akan mengundang kehadiran tikus yang akan menyebarkan penyakit kencing tikus. Ia juga akan turut mengundang nyamuk aedes yang akan menyebabkan deman denggi. Oleh itu, kebersihan diri dan persekitaran kita mestilah sentiasa dijaga untuk mengoptimumkan kesihatan diri kita. Jelaslah bahawa, penjagaan kebersihan diri dan persekitaran merupakan amalan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan.

Penutup Karangan Amalan Gaya Hidup Sihat

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Namun begitu, masih ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu mengamalkan gaya hidup sihat ini. Mereka tahu ilmu mengenai amalan gaya hidup sihat, namun mereka tidak mengaplikasikannya dalam kehidupan harian. Bak kata orang, ilmu yang mereka ketahui itu hanya sekadar teori tetapi tidak sampai ke hati. Oleh itu, tugas kita adalah untuk menyedarkan masyarakat hingga ke hati mengenai amalan gaya hidup sihat. Kita perlu menyedarkan masyarakat akan kepentingan melakukan pencegahan awal terhadap penyakit ini melalui amalan gaya hidup sihat berbanding dengan melakukan rawatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Sebagai contoh, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melaksanakan pelbagai program kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat ini. Akhir kata, semua pihak haruslah bekerjasama dalam memberi kesedaran kepada masyarakat akan amalan gaya hidup sihat ini supaya masalah penyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dibendung.