Langkah Melahirkan Generasi Muda yang Berbudi Bahasa
Karangan Langkah Melahirkan Generasi Muda yang Berbudi Bahasa
"Orang berbudi kita berbahasa" merupakan salah satu peribahasa Melayu yang memberikan penakanan terhadap amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat silam. Malangnya, budaya ini kini kian luntur dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda. Hal ini disebabkan oleh pembangunan dan pemodenan yang begitu pantas di negara kita. Kelunturan budaya berbudi bahasa ini telah menyebabkan banyak anak muda yang tidak menghormati orang lain termasuklah orang yang lebih tua. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
Langkah Melahirkan Generasi Muda Berbudi Bahasa
1. Tekankan Amalan Berbudi Bahasa dalam Sistem Pendidikan
Salah satu langkah melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa adalah dengan menekankan amalan berbudi bahasa dalam sistem pendidikan. Fokus sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan kecemerlangan akademik haruslah dirombak. Dalam hal ini, sistem nilai perlulah menjadi fokus utama sistem pendidikan negara. Sebagai contoh, nilai ini perlu diajarkan merentasi kurikulum dan kokurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana, nilai ini hanya diajarkan melalui mulut sahaja tetapi aplikasinya dalam kehidupan sebenar pelajar tidak ada. Oleh itu, penting untuk para pelajar ini dibimbing dan dididik untuk mengamalkan budaya berbudi bahasa ini setiap hari di sekolah melalui sistem nilai yang diterapkan dalam sistem pendidikan negara. Kesannya, para pelajar akan terbiasa untuk mengamalkan budaya berbudi bahasa ini dalam kehidupan harian mereka. Jelaslah bahawa, penakanan budaya berbudi bahasa dalam sistem pendidikan negara mampu melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
2. Kempen Berbudi Bahasa
Selain itu, kerajaan haruslah melancarakan kempen berbudi bahasa untuk menyuburkan budaya berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda. Kempen berbudi bahasa ini boleh dilaksanakan melalui "Bulan Berbudi Bahasa". Melalui "Bulan Berbudi Bahasa" ini, kerajaan boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah, pameran dan tayangan yang berkaitan dengan berbudi bahasa. Pihak kerajaan juga boleh melekatkan poster dan mengagihkan risalah berkaitan kepentingan berbudi bahasa ini kepada masyarakat untuk memberikan kesedaran kepada mereka. Selain itu, kepentingan berbudi bahasa ini juga haruslah dijelaskan di media sosial kerana generasi muda kini lebih lama berada di media sosial. Jadi, pihak kerajaan perlulah kreatif dalam menarik minat generasi muda di media sosial untuk memberi kesedaran kepada mereka berkaitan kepentingan berbudi bahasa ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan pencipta kandungan di Tiktok dan Youtube yang memiliki ramai pengikut sempena kempen berbudi bahasa untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan berbudi bahasa ini. Kesannya, pengikut-pengikut pencipta kandungan tersebut pasti akan sedar mengenai kepentingan berbudi bahasa ini dalam kehidupan harian. Jelaslah bahawa, kempen berbudi bahasa dapat melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
3. Ibu Bapa Menjadi Suri Teladan
Di samping itu, ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak muda untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh amalan berbudi bahasa dalam kehidupan harian mereka kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak ini akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka. Jika ibu bapa mereka tidak berbudi bahasa, maka anak-anak mereka juga akan bersikap demikian seperti kata orang-orang tua, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menunjukkan kesopanan semasa berbual dengan orang lain, menghormati orang lain dan sebagainya untuk memberikan teladan kepada anak-anak muda. Bagaimana amalan berbudi bahasa ini menjadi amalan generasi muda sekiranya orang yang lebih dulu makan garam pun tidak mengamalkannya? Sudah pastilah orang yang lebih tua perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak muda dalam hal ini. Selain itu, ibu bapa juga perlu menegur sikap anak-anak sekiranya sikap mereka itu bertentangan dengan budi bahasa. Hal ini dikatakan demikian bagi memberi kesedaran kepada anak-anak muda akan kepentingan berbudi bahasa. Jelaslah bahawa, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dalam berbudi bahasa bagi melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
4. Memanfaatkan Penggunaan Media Sosial
Penggunaan media sosial juga memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, media sosial kini menjadi tarikan kepada generasi muda. Jadi, pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memanfaatkan penggunaan media sosial dengan menghasilkan kandungan-kandungan kreatif di media sosial bagi menyedarkan generasi muda mengenai kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh menghasilkan kandungan berupa video kreatif di media sosial yang popular dalam kalangan generasi muda seperti Tiktok untuk memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan berbudi bahasa . Kerjasama dengan pencipta-pencipta kandungan terkenal di media sosial untuk menghasilkan kandungan kreatif berkaitan berbudi bahasa juga, perlulah dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana, generasi muda lebih mudah terikut-ikut dengan idola-idola mereka di media sosial. Jadi, dengan cara ini, amalan berbudi bahasa ini akan lebih subur lagi dalam kalangan generasi muda. Jelaslah bahawa, penggunaan media sosial ini sangat membantu dalam melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
5. Tidak Harus Berkompromi dengan Amalan Berbudi Bahasa
Selain daripada penggunaan media sosial, masyarakat juga tidak harus berkompromi dengan amalan berbudi bahasa bagi melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Dalam hal ini, masyarakat tidak patut hanya mengharapkan pihak kerajaan untuk menggalakkan amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda. Masyarakat tidak harus lepas tangan dan hanya memandang sebelah mata akan isu ini. Masyarakat perlu bersatu padu dalam menjayakan budaya berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda ini. Institusi masyarakat seperti jawatankuasa kampung, jawatankuasa surau dan lain-lain perlulah menjalankan kempen berbudi bahasa ini untuk komuniti masing-masing. Sebagai contoh, mereka haruslah menegur sikap anak-anak muda yang bercanggah dengan nilai pegangan kita. Selain itu, institusi masyarakat juga haruslah membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah tentang cara mengasuh mereka. Dalam hal ini, institusi masyarakat tidak harus lepas tangan begitu sahaja dengan alasan tidak mahu mencampuri urusan peribadi seseorang. Jika kita terus bersikap seperti ini, pasti budi bahasa anak-anak muda di negara kita akan terus hancur. Jelaslah bahawa, masyarakat tidak harus berkompromi dengan amalan berbudi bahasa ini dalam melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
Penutup Karangan Amalan Berbudi Bahasa
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Walaupun bagaimanapun, langkah-langkah ini tidak berguna sekiranya ia tidak diaplikasikan dengan betul. Tanpa kerjasama daripada semua pihak juga, amalan berbudi bahasa ini tidak akan dapat ditanam dalam diri generasi muda. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjaya misi untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa ini. Walaupun sukar di era serba digital ini disebabkan oleh banyaknya pengaruh negatif di media sosial namun, dengan usaha yang gigih, kita pasti akan mampu melahirkan generasi yang berbudi bahasa tanpa henti. Semoga amalan berbudi bahasa ini akan terus menjadi amalan rakyat Malaysia khususnya, generasi muda.