Rasional Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kepada Tadbir Urus Negara

Rasional Kerajaan Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam Tadbir Urus Negara - Pengajian AM STPM Sem 1

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam tadbir urus negara amat penting bagi meningkatkam efisiensi dan produktiviti tadbir urus negara. Oleh itu, terdapat pelbagai rasional kerajaan menggunakan TMK dalam tadbir urus negara.

Rasional TMK kepada tadbir urus negara

Rasional Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam Tadbir Urus Negara

1. Wujud Karenah Birokrasi

Antara rasional kerajaan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam tadbir urus negara adalah kerana wujudnya karenah birokrasi. Karenah birokrasi ini menyebabkan urusan yang hendak dilakukan oleh pelanggan di pejabat-pejabat kerajaan terlalu lama. Pelanggan terpaksa menunggu lama sehingga berbulan-bulan untuk menyelesaikan sesuatu urusan, bahkan untuk mendapatkan pengesahan sesuatu dokumen pun perlu menunggu berhari-hari. Selain itu, urusan pentadbiran pejabat yang berperingkat-peringkat kerana karenah birokrasi juga memaksa masyarakat untuk berjumpa dengan pelbagai lapisan pegawai untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Kesannya, perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan dan membuang masa banyak masa pelanggan.

2. Rungutan Pelanggan 

Selain itu, rungutan pelanggan juga merupakan rasional kerajaan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam tadbir urus negara. Rungutan pelanggan ini berlaku kerana tadbir urus secara manual membuang banyak masa pelanggan. Pelanggan terpaksa bergerak dari suatu pejabat kerajaan ke pejabat kerajaan yang lain untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Tadbir urus secara manual juga menyebabkan pelanggan terikat dengan waktu pejabat, di mana mereka hanya boleh berurusan sehingga jam 5.00 petang pada setiap hari. Sekiranya terlalu ramai pelanggan pada hari tertentu, maka besar kemungkinan pelanggan yang agak lambat datang terpaksa untuk ke pejabat berkenaan lagi pada keesokan harinya untuk urusan yang sama. Hal ini jelas membuang banyak waktu dan wang pelanggan untuk kos ke sana ke sini untuk suatu urusan yang sama.

3. Wujud Ketirisan

Di samping itu, kewujudan ketirisan juga merupakan rasional kerajaan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam tadbir urus negara. Tadbir urus secara manual yang diamalkan oleh kerajaan menyebabkan mudah berlaku banyak penyelewengan dalam pengurusan di pelbagai peringkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, tanpa penggunaan TMK dalam tadbir urus negara, perancangan dan perbincangan sulit mengenai urusan penting negara lebih mudah dilakukan. Sebagai contoh, pemberian tender kerajaan dilakukan secara tertutup bukannya secara terbuka. Hal ini akan menyebabkan penyelewengan berlaku. Selain itu, dokumentasi juga mudah diubah suai mengikut kepentingan individu tertentu kerana maklumat dicatat secara manual di atas kertas dan kurang pemantauan. Jelaslah bahawa, tanpa penggunaan TMK dalam tadbir urus negara, ketirisan dalam tadbir urus negara akan wujud.

4. Budaya Kerja Secara Manual

Rasional pengunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam tadbir urus negara juga ialah budaya kerja secara manual. Budaya kerja secara manual ini sudah lapuk, di mana ia sangat lambat dalam pengurusan dan pemprosesan dokumen, maklumat dan data. Dalam budaya kerja secara manual ini, penggunaan borang sangat menyulitkan para pekerja dan orang ramai. Hal ini dikatakan demikian kerana, orang ramai perlu mengisi borang yang banyak dan ia sangat sukar untuk dibawa ke mana-mana. Para pekerja pula sangat sukar dalam mengurus borang-borang yang dihantar oleh orang ramai ini dan kemungkinan berlakunya kesilapan dalam merekod data sangat tinggi. Hal ini bertambah parah lagi sekiranya, sumber daya manusia kurang berdaya saing dan mempunyai produktiviti yang rendah. Sebagai contoh, dalam urusan pembayaran, ia mengambil masa yang lama dan risiko berlakunya kesilapan berulang juga sangat tinggi. Jelaslah, budaya kerja secara manual yang sulit menjadi rasional penggunaan TMK dalam tadbir urus negara.

5. Perbelanjaan Awam yang Tinggi

Perbelanjaan awam yang tinggi juga merupakan salah satu rasional penggunaan TMK dalam tadbir urus negara. Pengurusan kerja secara manual dan sistem fail yang digunakan memaksa kerajaan mengeluarkan dana yang besar. Hal ini dikatakan demikian kerana, ia memerlukan ruang yang luas dan peralatan yang banyak. Hal ini jelas tidak praktikal dan membazir banyak wang. Kos fizikal untuk membeli kesemua peralatan juga memerlukan peruntukan kewangan yang banyak. Sebagai contoh, dalam pengurusan kerja secara manual dan sistem fail ini memerlukan banyak kertas, pen, fail, rak untuk menyimpan fail dan banyak lagi. Jelaslah bahawa, penggunaan TMK dalam tadbir urus negara ini penting bagi mengurangkan kos dalam tadbir urus yang tidak pratikal.

Penutup Karangan Rasional TMK

Kesimpulannya, terdapat pelbagai rasional untuk kerajaan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam tadbir urus negara. Hal ini penting bagi memaksimumkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.