Manfaat, Kepentingan Aktiviti Kesukarelawanan kepada Remaja

Manfaat Aktiviti Sukarelawan

Maksud Kesukarelawanan

Kesukarelawanan ialah suatu konsep yang melibatkan kegiatan  atau perkhidmatan yang dilakukan secara rela hati, ikhlas, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dan tidak mengharapkan balasan atau ganjaran serta memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. 

Aktiviti Kesukarelawan dalam Kalangan Remaja

Istilah "Sukarelawan" sudah umum dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Setiap kali berlaku bencana alam, pasti masyarakat mendengar istilah "Sukarelawan". Secara ringkasnya, sukarelawan merupakan individu-individu yang secara rela hati berkhidmat kepada masyarakat secara percuma, tanpa paksaan dan tidak mengharapkan balasan daripada sesiapa. Sebagai contoh, semasa berlaku bencana banjir di Malaysia pada tahun lalu, ramai sukarelawan yang menawarkan tenaga secara percuma untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. Salah satunya ialah Ustaz Ebit Lew dan pasukannya yang menawarkan pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir seperti menyediakan bot penyelamat dan memberikan makanan. Walau bagaimanapun, penglibatan remaja dalam aktiviti sukarelawan ini kian luntur. Jika dikaji, kita mendapati bahawa golongan remaja kini lebih gemar melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat-pusat membeli, bermain permainan video dan sebagainya. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan kepada golongan remaja.

1. Dapat Melengkapkan Diri Remaja dengan Pelbagai Ilmu Pengetahuan

Salah satu manfaat aktiviti kesukarelawanan adalah dapat melengkapkan diri remaja dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Individu yang terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan ini akan memperolehi pelbagai kemahiran  melalui kerja-kerja amal yang mereka lakukan. Kemahiran-kemahiran yang diperolehi ini mungkin tidak diajarkan di sekolah atau rumah. Sebagai contoh, mereka akan mempelajari cara menyelamatkan mangsa semasa bencana, pengurusan media, kerjasama dalam kumpulan, cara mendapatkan dana semasa menyertai aktiviti kesukarelawanan. Kesannya, pengetahuan dan pengalaman yang mereka perolehi ini boleh mereka manfaatkan dalam pekerjaan, bahkan dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, mereka boleh mengunakan pengalaman sukarelawan mereka ini untuk mendapatkan pekerjaan, bahkan boleh memanfaatkan kemahiran tersebut sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.   Tegasnya, aktiviti kesukarelawanan ini akan membantu melengkapkan diri remaja dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang mungkin tidak diajarkan di sekolah dan rumah.

2. Terhindar daripada Gejala Negatif

Selain itu, aktiviti kesukarelawanan juga akan membantu golongan remaja terhindar daripada gejala negatif.  Hal ini dikatakan demikian kerana, masa luang golongan remaja akan diisi dan dipenuhi dengan kerja-kerja sukarelawan. Sebagai contoh, masa luang golongan remaja ini diisi dengan aktiviti sukarela membersihkan masjid.  Hal ini menyebabkan golongan remaja tidak mempunyai masa luang yang boleh menyebabkan mereka berfikir untuk terjebak dengan gejala negatif seperti melepak, gangsterisme dan merempit. Kesannya, golongan remaja yang terlibat dengan aktiviti sukarelawan ini akan lebih ke arah hal-hal yang positif dan menjauhi hal-hal yang boleh merosakkan dirinya. Jelaslah bahawa, aktiviti kesukarelawanan akan menghindarkan golongan remaja daripada gejala negatif.

3. Melatih Berkomunikasi dengan Baik

Di samping itu, aktiviti kesukarelawanan juga akan melatih remaja untuk berkomunikasi dengan lebih baik. Hal ini dikatakan demikian kerana, dalam kegiatan kesukarelawanan, komunikasi merupakan aspek yang paling penting. Tanpa komunikasi yang baik, tidak mungkin kegiatan kesukarelawanan itu boleh berjalan dengan lancar dan objektif yang ingin dicapai juga pasti sukar untuk dicapai. Oleh itu, dalam kegiatan sukarelawan, sesorang itu dituntut untuk sentiasa berkomunikasi dengan sesama ahli, bahkan juga dengan orang awam dan pihak berkuasa. Dengan menyertai kegiatan sukarelawan, maka remaja akan secara langsung dilatih untuk berkomunikasi dengan baik. Sebagai contoh, jika berlaku bencana banjir, maka para remaja yang menjadi sukarelawan pasti akan berkomunikasi pihak polis, mangsa banjir, pihak bomba dan penyelamat, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain. Kesannya, para remaja yang menjadi sukarelawan ini secara tidak langsung akan mahir berkomunikasi dengan orang lain tanpa mengira lapisan masyarakat, kaum dan agama. Jelaslah bahawa, melalui aktiviti kesukarelawan, remaja akan dapat mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan baik dan berkesan.

4. Mengasah Bakat Kepimpinan

Selain daripada dapat melatih remaja untuk berkomunikasi dengan baik, aktiviti kesukarelawanan juga dapat mengasah bakat kepimpinan dalam diri golongan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, dalam aktiviti kesukarelawan, remaja berpeluang untuk mengatur dan menguruskan orang lain. Sebagai contoh, semasa bencana banjir, para remaja yang menjadi sukarelawan berpeluang untuk mengatur dan mengurusakan pemindahan mangsa-mangsa banjir. Mereka juga akan terlatih untuk memberikan arahan kepada rakan-rakan dan mangsa banjir, bahkan menerima arahan. Dalam keadaan ini juga, kekuatan mental mereka sebagai sukarelawan akan diiuji untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. Intinya, golongan remaja yang menyertai aktiviti kesukarelawan ini akan menemui jati diri mereka dan dapat mengasah bakat kepimpinan dalam diri mereka untuk kegunaan dalam bidang pekerjaan. Jelaslah bahawa, aktiviti kesukarelawan dapat mengasah bakat kepimpinan dalam diri golongan remaja.

5. Memupuk Nilai Perpaduan

Aktiviti kesukarelawanan juga dapat memupuk nilai perpaduan dalam kalangan golongan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, sesebuah kumpulan sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Sebagai contoh, dalam misi menyelamatkan mangsa banjir, anggota sukarelawan yang terlibat terdiri daripada orang India, Cina, Melayu, Dusun, Iban dan sebagainya. Oleh itu, apabila golongan remaja menyertai aktiviti sukarelawan, maka mereka akan dapat bergaul dengan individu daripada pelbagai kaum dan agama. Sebagai contoh, mereka dapat bergaul dengan orang India dan Cina. Melalui aktiviti kesukarelawanan juga, mereka dapat bekerjasama dan bekerja dalam pasukan demi menjayakan kerja-kerja sukarelawan. Dengan ini, mereka akan dapat mengenal hati budi masing-masing dan saling bertukar pendapat. Kesannya, kebersamaan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan ini walauoun berbeza kaum dan agama akan mewujudkan nilai perpaduan dalam diri mereka. Jelaslah bahawa, aktiviti kesukarelawanan dapat memupuk nilai perpaduan dalam diri golongan remaja.

Penutup Karangan Manfaat Kesukarelawanan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai manfaat aktiviti kesukarelawanan kepada golongan remaja. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menarik minat golongan remaja untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan. Dalam hal ini, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam menggalakkan penglibatan remaja dalam aktiviti sukarelawan. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan manfaat aktiviti sukarelawan ini kepada anak mereka sejak kecil lagi supaya mereka sedar bahawa membantu masyarakat secara sukarela adalah penting. Selain itu, pihak sekolah juga haruslah memberikan pendedahan aktiviti kesukarelawanan kepada murid-murid di sekolah supaya mereka terbiasa untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawanan. Semoga penglibatan golongan remaja dalam aktiviti kesukarelawanan di negara kita ini semakin meningkat.

Terima kasih sudah berkunjung di blog