Kepentingan Hutan dan Kesan Negatif Penerokaan Hutan

Esei Pengajian Am : Hutan

Soalan :
Hampir 70% bentuk muka bumi Malaysia diliputi kawasan hutan yang menyumbangkan pelbagai kepentingan kepada sejagat. Namun, penerokaannya secara berleluasa akan menimbulkan pelbagai kesan negatif. Bincangkan.
Format jawapan : 3+2

Kepentingan Hutan dan Kesan Negatif Penerokaan Hutan

Kepentingan Hutan dan Kesan Negatif Penerokaan Hutan

Negara kita merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan khazanah hutan, iaitu hampir 70 peratus bentuk muka bumi Malaysia diliputi oleh hutan. Hutan menyumbangkan pelbagai kepentingan kepada sejagat. Namun penerokaan hutan tanpa kawalan telah menimbulkan pelbagai kesan negatif.

Kepentingan Hutan

1. Sebagai Kawasan Tadahan Air Hujan

Hutan sangat penting sebagai kawasan tadahan air hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan air hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang banyak. Hal ini akan menyebabkan air hujan dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Kesannya, bekalan air mencukupi untuk kegunaan persendirian dan perindustrian. Di samping itu, hutan juga merupakan aspek penting untuk penakungan air di empangan-empangan yang dilengkapi teknologi canggih. Keadaan ini membolehkan kita menghasilkan kuasa hidroelektrik, iaitu suatu tenaga yang bersifat mesra alam. Jelaslah bahawa hutan sangat penting sebagai kawasan tadahan air hujan.

2. Habitat Flora dan Fauna

Selain itu, hutan penting sebagai habitat flora dan fauna. Hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi flora dan fauna. Flora dan fauna akan membiak dan bertumbuh secara semula jadi di dalam hutan. Terdapat pelbagai spesies flora dan fauna di dalam hutan seperti monyet, gajah, refflesia, orkid, rusa dan sebagainya. Flora dan fauna ini akan saling melengkapi di dalam hutan. Ia akan berinteraksi antara satu sama yang lain untuk keseimbangan ekosistem bumi. Flora dan fauna ini tidak dapat dipisahkan di dalam hutan. Jika salah satu hilang, maka ekosistem akan terganggu. Jelaslah bahawa hutan ini penting sebagai habitat flora dan fauna.

Kesan Negatif Penerokaan Hutan

3. Memusnahkan Kawasan Tadahan Air Hujan

Penerokaan hutan telah menyebabkan kawasan tadahan air hujan musnah. Kawasan tadahan air hujan musnah kerana hutan ditebang tanpa kawalan. Hutan ditebang secara berleluasa oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan pembalakan secara haram untuk mengaut keuntungan. Selain itu, penebangan hutan juga dilakukan untuk tujuan pertanian seperti penanaman padi, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Kemusnahan kawasan tadahan air hujan ini menyebabkan tanah runtuh berlaku kerana tidak ada sudah akar yang akan mencengkam tanah di kawasan lereng bukit. Selain itu, kemusnahan tadahan air hujan juga menyebabkan banjir kerap berlaku kerana tidak ada sudah akar yang bertindak sebagai span untuk menyerap air hujan. Jelaslah bahawa penerokaan hutan menyebabkan kemusnahan tadahan air hujan.

4. Peningkatan Suhu

Di samping itu, penerokaan hutan secara berleluasa juga akan menyebabkan berlakunya peningkatan suhu. Peningkatan suhu ini berlaku akibat daripada kekurangan pokok-pokok yang disebabkan oleh pembalakan tanpa kawalan. Kekurangan pokok-pokok ini menyebabkan cahaya matahari akan terus-menerus jatuh ke permukaan bumi. Selain itu, kehilangan pokok-pokok ini juga akan menyebabkan proses fotosintesis tidak dapat dilakukan. Apabila proses fotosintesis ini tidak dapat dilakukan, maka haba dan gas karbon dioksida tidak dapat diserap. Pembebasan gas oksigen melalui proses fotosintesis untuk mewujudkan keadaan udara yang nyaman dan sejuk juga tidak dapat diwujudkan. Oleh itu, hutan memainkan peranan yang penting dalam mengawal suhu bumi.

5. Menjejaskan Sumber Alam Semula Jadi

          Penerokaan hutan juga akan menjejaskan sumber alam semula jadi. Penerokaan hutan ini akan menjejaskan sumber alam, terutamanya bekalan air bersih. Bekalan air bersih akan terjejas kerana lumpur daripada kawasan yang diteroka akan terus mengalir ke sungai apabila hujan turun. Selain itu, sumber-sumber hutan yang berharga seperti rotan, tongkat ali, pokok cengal dan sebagainya juga musnah disebabkan oleh penerokaan hutan. Jika hal ini berterusan, ia akan memberi kesan buruk kepada keseimbangan ekosistem. Jelaslah, penerokaan hutan memberi kesan buruk kepada sumber alam semula jadi.

Penutup Karangan Hutan

Kesimpulannya, hutan adalah sangat penting kepada sejagat. Oleh itu, hutan haruslah dipelihara oleh semua orang bagi kepentingan bersama. Dengan cara ini, hutan tidak akan musnah disebabkan oleh kerakusan manusia.

Semoga bermanfaat - pendidikjalanan.blogspot.com