Karangan Punca Kehamilan Luar Nikah dalam Kalangan Remaja di Malaysia
Apa itu Kehamilan Luar Nikah?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kehamilan luar nikah merujuk kepada remaja di bawah umur yang hamil tanpa ikatan yang sah.
Dalam bahasa mudahnya, kehamilan luar nikah adalah mengandung yang disebabkan hubungan seks antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah dari segi agama dan undang-undang.
Masalah Kehamilan Luar Nikah dalam Kalangan Remaja Semakin Parah
Masalah kehamilan luar nikah merupakan isu yang sudah sekian lama menghantui Malaysia. Isu ini semakin hari, semakin meningkat, ditambah lagi dengan perkembangan dunia yang sangat mengizinkan untuk isu ini berlaku dengan berleluasa. Menurut statistik penyelidikan pada awal tahun 2018, secara purata 18 ribu remaja di Malaysia mengandung setiap tahun. Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4500 kes melibatkan kehamilan luar nikah. Angka ini bukanlah angka biasa kerana ia juga menyangkut nyawa bayi dalam kandungan. Kebanyakan remaja yang mengalami kehamilan luar nikah akan mengambil tindakan di luar jangkaan iaitu, mengugurkan kandungan dengan cara yang sangat membahayakan nyawanya sendiri seperti meminum alkohol. Lebih parah lagi, terdapat remaja yang mengandung anak luar nikah ini membuang bayinya di tong sampah atau membunuh bayinya sendiri selepas saja melahirkan. Kita tentu pernah mendengar berita mengenai remaja yang membuang bayinya ke dalam mangkuk tandas. Isu ini merupakan isu serius yang perlu diambil serius oleh semua pihak. Jika hal ini berterusan, maka kehacuran moral golongan remaja akan semakin parah dan melarat-larat. Hakikatnya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kehamilan luar nikah dalam kalangan golongan remaja di negara ini.
Punca Kehamilan Luar Nikah
1. Pegangan Agama yang Rapuh
Antara punca berlakunya kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja di Malaysia ialah pegangan agama yang rapuh. Pegangan agama yang rapuh ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat membezakan dosa dan pahala sehinggakan melakukan perbuatan zina. Mereka hanya memikirkan keseronokan sekejap yang dinikmati semasa melakukan hubungan intim luar nikah tanpa memikirkan kesan seterusnya. Mereka lupa bahawa perbuatan zina itu salah di sisi agama dan perlu diperangi. Selain itu, pegangan agama yang rapuh juga menyebabkan seseorang itu gagal mengawal nafsu berahi yang akhirnya membawa kepada perbuatan zina. Kesannya, para wanita yang terlibat dengan seks luar nikah ini akan mengandung anak luar nikah. Jelaslah bahawa, kehamilan luar nikah ini disebabkan oleh kerapuhan pegangan agama seseorang.
2. Sikap Ingin Tahu dan Mencuba Individu
Selain itu, kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja juga berlaku disebabkan oleh sikap ingin tahu dan mencuba individu. Kebanyakan remaja mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi termasuklah dalam hal seks. Mereka ingin merasakan sendiri pengalaman melakukan hubungan badan dengan lawan jenis. Mereka merasakan seks ialah sesuatu yang mencabar dan perlu dicuba kerana mereka belum pernah merasakannya. Mereka tertanya-tanya mengapa pasangan suami isteri mesti melakukan hubungan seks sedangkan mereka yang belum berkahwin dilarang melakukannya. Hal ini mendorong mereka untuk melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka untuk mengalaminya sendiri. Remaja yang sedang hangat bercinta biasanya akan terdorong untuk melakukan hal ini kerana mereka ini cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam menjalankan hubungan percintaan. Dalam hal ini, sudah tentu mereka akan terfikir untuk melakukan hubungan seks luar nikah kerana kebiasannya remaja yang menjalinkan hubungan percintaan ini akan pergi lebih jauh lagi selain berpelukan, pegang tangan dan bercium dengan pasangan mereka. Kesannya, mereka yang melakukan seks ini akan mengalami kehamilan luar nikah. Jelaslah bahawa perasaan ingin tahu dan mencuba yang melampau dalam diri remaja ini menyebabkan mereka terjebak dalam melakukan hubungan seks luar nikah.
3. Pengaruh Budaya Barat
Di samping itu, pengaruh budaya barat juga menyebabkan berlakunya kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja. Sudah sekian lama budaya barat ini tersebar ke negara kita, termasuklah budaya seks luar nikah yang banyak mempengaruhi golongan remaja. Sebagai contoh, golongan remaja terpengaruh dengan pelancong dari barat yang melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka tanpa ikatan perkahwinan secara bebas asalkan suka sama suka. Dalam filem-filem barat yang masuk di Malaysia juga, banyak memaparkan adegan-adegan seks luar nikah demi keseronokan semata-mata. Lebih parah lagi, terdapat anak muda di negara kita yang percaya bahawa dalam hubungan percintaan itu perlu adanya seks walaupun belum berkahwin untuk membuktikan perasaan cinta kepada pasangan. Selain itu, anak-anak muda juga terpengaruh dengan budaya barat yang menyatakan seks luar nikah dalam hubungan percintaan itu ialah perkara biasa yang wajar dilakukan oleh setiap pasangan kekasih. Kesannya, banyak remaja yang mengalami kehamilan luar nikah di negara kita kerana melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Jelaslah bahawa budaya barat yang menormalisasi seks dalam masyarakat atas dasar suka sama suka menyebabkan peningkatan kehamilan luar nikah di Malaysia.
4. Pengalaman Dirogol
Pengalaman dirogol juga menyebabkan berlakunya kehamilan luar nikah. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang pernah mengalami pengalaman dirogol akan cenderung melakukan seks luar nikah. Mereka akan melakukan seks dengan pasangan lelaki mereka tanpa paksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka merasakan diri mereka sudah tidak berharga kerana keperawanan mereka sudah diragut. Oleh itu, mereka tidak kesah jika melakukan seks luar nikah dengan kekasih mereka. Selain itu, remaja yang pernah mengalami penderaan seksual ini juga akan mudah melakukan hubungan badan dengan lelaki yang baru dikenali. Kesannya, mereka akan mengalami kehamilan luar nikah. Jelaslah bahawa, pengalaman dirogol juga akan menyebabkan seseorang itu melakukan seks dan akhirnya mengandung anak luar nikah.
5. Pengaruh Rakan Sebaya
Selain daripada pengalaman dirogol, pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kehamilan luar nikah remaja. Rakan memberi pengaruh yang sangat besar kepada kehidupan seseorang remaja kerana remaja kini lebih banyak masa bersama dengan rakan berbanding dengan ibu bapa. Kehamilan luar nikah ini berlaku apabila seseorang ramaja perempuan salah memilih kawan. Sebagai contoh, dia berkawan dengan rakan yang suka dengan pargaulan bebas dan terlibat dengan seks bebas. Hal ini menyebabkan remaja tersebut terpengaruh untuk turut serta melakukan hal tersebut. Kesannya, remaja yang terpengaruh dengan rakan untuk melakukan seks luar nikah ini akan mengandung anak luar nikah. Jelaslah bahawa, rakan juga akan mempengaruhi remaja untu melakukan seks dan akhirnya akan mengalami kehamilan luar nikah.
6. Jenayah Rogol
Kehamilan luar nikah juga berlaku disebabkan oleh jenayah rogol. Data menujukkan bahawa kebanyakan mangsa rogol pasti akan mengandung anak luar nikah. Hal ini dikatakan demikian kerana, perogol tidak menggunakan alat pencegahan kehamilan seperti kondom semasa melakukan perbuatan kejam tersebut. Mangsa pula tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengelakkan kehamilan selepas dirogol melainkan hanya mampu berserah kepada tuhan. Kesannya, banyak mangsa rogol yang mengandung anak luar nikah. Jelaslah bahawa, jenayah rogol juga menjadi faktor kepada kehamilan luar nikah.
7. Kurang Pemantauan dan Perhatian daripada Ibu Bapa
Kurang pemantauan dan perhatian daripada ibu bapa juga menjadi punca kehamilan luar nikah remaja. Pemantauan yang kurang oleh ibu bapa terhadap remaja ini menyebabkan mereka bebas melakukan apa saja demi keseronokan termasuk hubungan seks bebas. Mereka bebas keluar malam bersama-sama rakan lelaki ke kelab malam untuk bermabuk-mabukan dan kemudiannya melakukan hubungan seks demi keseronokan. Akibatnya, remaja perempuan tersebut akan mengalami kehamilan luar nikah. Selain itu, apabila sesebuah keluarga tidak mengambil peduli terhadap perkembangan anak mereka, maka bermula seseorang anak itu cuba mencari perhatian dengan bergaul dengan rakan-rakan yang dapat memahami masalah dan kehendak mereka. Masalahnya bermula, apabila seseorang remaja perempuan itu merasakan rakan lelaki lebih memahami kehidupannya dan mampu memenuhi kehendaknya berbanding dengan keluarganya. Kesannya, pergaulan bebas antara remaja perempuan dengan lelaki bermula tanpa adanya batasan pergaulan mereka sehingga melakukan hubungan seks luar nikah. Hal ini akhirnya membawa kepada kehamilan luar nikah. Jelaslah bahawa, pemantauan dan perhatian yang kurang daripada ibu bapa menyebabkan remaja terlibat dengan seks bebas yang akhirnya membawa kepada kehamilan luar nikah.
8. Perasaan Cinta
Kehamilan luar nikah juga berlaku disebabkan oleh perasaan cinta. Perasaan cinta seseorang wanita terhadap kekasihnya menyebabkan dia sanggup melakukan segalanya termasuk menyerahkan keperawanannya. Dia melakukan itu demi membuktikan perasaan cintanya kepada kekasihnya. Selain itu, terdapat juga lelaki syaitan yang sengaja membawa kekasihnya untuk melakukan seks luar nikah demi memuaskan nafsu berahinya. Dia mengugut akan meninggalkan wanita tersebut jika tidak menurut kemahuannya. Hal ini menyebabkan si wanita terpaksa melakukan seks dengan kekasihnya kerana takut akan ditinggalkan dan untuk membuktikan cintanya. Kesannya, wanita tersebut akan mengandung anak luar nikah. Lebih parah lagi, banyak wanita yang percaya bahawa kekasihnya akan bertanggungjawab sekiranya mereka mengandung anak luar nikah selepas melakukan seks. Jelaslah bahawa, perasaan cinta terhadap kekasih juga menyebabkan seseorang sanggup melakukan seks dan akhirnya akan mengalami kehamilan luar nikah.
9. Pengaruh Media Massa
Selain daripada perasaan cinta, pengaruh media massa juga mendorong berlakunya kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, media massa banyak memaparkan hal-hal yang berunsurkan pornografi. Sebagai contoh, terdapat banyak video-video pornografi yang mudah diakses oleh golongan remaja di internet. Hal ini menyebabkan golongan remaja terinspirasi daripada video tersebut untuk melakukan hubungan seks dengan pasangannya. Keadaan ini menyebabkan banyak remaja perempuan yang melakukan hubungan seks dengan kekasihnya yang akhirnya membawa kepada kehamilan luar nikah. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila seseorang remaja itu menonton video-video pornografi, maka timbul perasaan ingin mencuba dan tahu akan pengalaman melakukan hubungan seks dengan lawan jenis. Disebabkan oleh hal ini, banyak remaja yang hujung-hujungnya mengandung anak luar nikah. Jelaslah bahawa pengaruh media massa akan mendorong golongan remaja melakukan hubungan seks luar nikah yang akhirnya berhujung dengan kehamilan luar nikah.
10. Masalah Keluarga
Masalah keluarga juga menjadi punca masalah kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja. Konflik dalam keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa menyebabkan anak-anak terabai. Hal ini menyebabkan mereka tertekan dan mencari keseronokan bersama dengan rakan-rakan. Keseronokan ini termasuklah aktiviti seks luar. Kajian menunjukkan bahawa remaja yang tertekan akibat masalah keluarga berkemungkinan besar akan terjebak dalam aktiviti seks bebas. Selain itu, terdapat juga remaja yang sengaja melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat seperti seks bebas untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka yang kerap bertengar. Kesannya, remaja-remaja perempuan tersebut akan mengalami kehamilan luar nikah yang sudah tentunya akan memalukan dirinya sendiri. Jelaslah bahawa, masalah keluarga akan mendorong remaja untuk terlibat dalam aktiviti seks bebas yang akhirnya akan menyebabkan kehamilan luar nikah.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kehamilan luar nikah dalam kalangan golongan remaja di Malaysia. Oleh itu, semua pihak harusalah berganding bahu untuk membanteras kegiatan tidak sihat dan morosakkan golongan muda di negara. Isu ini merupakan isu kerosakan moral yang sangat serius dalam kalangan remaja di negara kita. Semua institusi agama di negara ini haruslah memainkan peranan yang penting dalam memperbaiki moral golongan remaja di negara ini supaya tidak melakukan hubungan seks luar nikah. Pihak kerajaan juga harusalah menggandakan lagi program-program kesedaran mengenai isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja ini. Pihak berkuasa pula haruslah memantau lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan para remaja untuk terlibat dalam kegiatan seks bebas seperti kelab malam. Semoga isu kehamilan luar nikah di negara ini mampu dikawal untuk kebaikan generasi masa hadapan yang menjadi tulang belakang negara.
Rujukan Ilmiah :
Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir,
Mohd Suhaimi Mohamad & Noorhasliza Mohd Nordin. (2012). Hamil Luar Nikah dalam Kalangan Remaja, Journal of Social Science and Humanities, 7(1) : 131-140. Dilayari dari https://core.ac.uk/download/pdf/11493915.pdf.