Mengapa Garam Perlu Ditambah Iodin?

Mengapa garam perlu ditambah Iodin - Sejak akhir-akhir ini, kita sering kali melihat tinjauan-tinjauan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) Country Office Malaysia mengenai pandangan orang ramai tentang garam di media-media sosial seperti Facebook, Twitter dan seumpamanya. Mengapakah KKM dan WHO ini menjalankan tinjauan berkaitan garam ini beberapa kali sejak beberapa tahun terakhir ini? Pasti semua orang tertanya-tanya mengenai tinjauan yang dijalankan oleh KKM dan WHO ini.

Sebab garam perlu ditambah iodin
Sebab garam perlu ditambah iodin

Apa sebenarnya yang sedang berlaku? 

Hal ini berlaku sebenarnya susulan Pindaan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin telah diwartakan pada 12 November 2018 di seluruh Malaysia di mana penggunaan garam beriodin secara mandatori diwajibkan bagi kegunaan isi rumah. Penggunaan garam beriodin untuk isi rumah ini hanya berkuatkuasa mulai 30 September 2020 iaitu beberpa bulan yang lepas. Hal ini bermakna semua pengeluar garam diwajibkan mencampurkan iodin kepada garam dalam proses pengeluaran garam. 

Mengapa perwartaan penggunaan garam beriodin secara mandatori di seluruh Malaysia berlaku secara tiba-tiba?

Malaysia mewartakan penggunaan garam beriodin secara mendatori pada bulan November 2018, susulan WHO, UNICEF dan ICCIDD(2007) mencadangkan Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI). USI ini sebenarnya merupakan strategi utama yang telah dicadangkan oleh WHO, UNICEF dan ICCIDD (2007) dalam menghapuskan masalah gangguan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) di peringkat populasi. USI ini dilaksanakan dengan menambah zat iodin ke dalam garam yang dijual dan dipasarkan kepada masyarakat secara menyeluruh. Garam yang dipilih untuk proses pengiodinan ialah garam kegunaan isi rumah (Garam Natrium Klorida).

Garam kegunaan isi rumah ini dipilih dalam proses pengiodinan garam kerana garam kegunaan isi rumah ini merupakan bahan makanan asas yang digunakan oleh hampir semua masyarakat untuk menyedapkan makanan yang dimasak. Seterusnya, kos pengiodinan garam akan lebih murah jika menggunakan garam kegunaan isi rumah berbanding kos fortifikasi makanan yang lain. Selain itu, jika garam kegunaan isi rumah dipilih sebagai medium untuk melaksanakan proses pengiodinan, garam ini tidak akan mengalami apa-apa perubahan rupa, rasa dan bau apabila digunakan digunakan dalam masakan.

OBJEKTIF PENGIODINAN GARAM SECARA UNIVERSAL (USI)

Untuk mengawal dan mencegah gangguan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) seperti goiter dalam golongan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak dan ibu hamil.

Untuk info terkini, bermula 1 Januari 2021 semua garam halus atau garam yang beratnya 20 Kg ke bawah wajib ditambah iodin sebelum boleh diimport atau dijual. Jika pengilang dan penjual ingkar dengan dengan arahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak lebih dua tahun. Untuk info tambahan, standard kandungan iodin dalam garam yang ditetapkan ialah 20-40 mg/Kg.

EKSTRA INFO MENGENAI IODIN:

Iodin merupakan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan dalam proses sintesis hormon tiroid di kelenjar tiroid yang mana kuantitinya diperlukan dalam kauntiti yang kecil. Hormon tiroid ini bertanggungjawab dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisme badan manusia di semua peringkat usia. Secara lazimnya, ibu yang sedang mengandung atau hamil memerlukan zat iodin yang tinggi. Hal ini berlaku kerana zat iodin ini penting untuk pembentukan janin terutamanya dalam perkembangan otak dan fungsi saraf. Zat iodin ini juga penting untuk mengelakkan bukan sahaja ibu mengandung bahkan semua lapisan masyarakat daripada menghadapi penyakit goiter dan hipotirodisme.

Sekian, terima kasih. Semoga bermanfaat.
#AndaManusiaYangHebat