Langkah, Cara Efektif Mengatasi Stres dalam Kalangan Rakyat Malaysia
Masalah Stres dalam Kalangan Rakyat Malaysia Semakin Membimbangkan
Sejak akhir-akhir ini, masalah stres atau tekanan dalam kalangan pelajar semakin hangat diperkatakan di media massa dan media elektronik oleh masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, semakin ramai rakyat Malaysia yang melakukan cubaan membunuh diri, bahkan terdapat rakyat yang meninggal dunia akibat mengantung diri dan melompat daripada bumbung bangunan yang tinggi. Fenomena ini berlaku kerana sejak dua tahun terakhir ini, rakyat Malaysia terkurung di dalam rumah sahaja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang stres kerana tidak dapat melakukan aktiviti luar termasuk untuk mencari wang bagi menyara diri dan keluarga. Bukan itu sahaja, malah terdapat rakyat Malaysia yang terpaksa diberhentikan kerja oleh majikannya kerana tidak mampu untuk menampung kos pengoperasian syarikat yang tidak menjalankan proses pengeluaran. Hal ini telah menimbulkan tekanan atau stres yang melampau kepada sesetengah rakyat Malaysia kerana buntu untuk mencari sumber pendapatan semasa PKP. Pada hakikatnya, terdapat beberapa langkah efektif yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah stres atau tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Langkah Efektif Mengatasi Stres dalam Kalangan Rakyat Malaysia
1. Berkongsi Masalah dengan Keluarga atau Sahabat
Antara langkah efektif untuk mengatasi masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia adalah dengan berkongsi masalah dengan keluarga atau sahabat yang boleh dipercayai. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila kita berkongsi masalah yang dihadapi dengan keluarga atau sahabat yang boleh dipercayai, maka sebahagian daripada tekanan yang kita hadapi itu akan hilang secara perlahan-lahan. Sebagai perumpamaannya, sebelum kita menceritakan masalah kita kepada keluarga atau sahabat, katakan tahap stres kita berada di tahap 10, maka selepas kita menceritakan masalah tersebut sudah pasti tahap tekanan atau stres kita itu akan berkurang menjadi 9, 8 atau bahkan boleh menjadi 5. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita akan merasa puas dan lega selepas kita berkongsi masalah yang kita hadapi itu kepada orang yang kita percayai. Kita juga akan lebih tenang kerana kita merasa tidak bersendirian menghadapi masalah tersebut. Dengan berkongsi masalah dengan keluarga dan sahabat juga, kita dapat meluahkan seluruh masalah tersebut kepada mereka dengan penuh emosi. Oleh itu, secara tidak langsung stres tersebut akan berkurang kerana seluruh masalah yang terbuku di hati kita telah pun dilempiaskan. Jelaslah bahawa masalah stres boleh diatasi melalui berkongsi masalah yang dihadapi kepada keluarga atau sahabat.
2. Bersukan
Selain itu, masalah stres juga boleh dikurangkan dengan bersukan. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan bersukan kita akan dapat mengalihkan tumpuan daripada hal-hal yang membuatkan kita stres kepada perkara lain yang boleh menggembirakan kita. Sebagai contoh, apabila bermain bola sepak, kita akan melupakan sementara hal-hal di tempat kerja yang membuatkan kita stres, malahan ia akan membuatkan kita lebih tenang dan berfikiran lebih rasional. Dengan itu, kita akan lebih mudah menyelesaikan masalah yang dihadapi di pejabat kerana fikiran kita sudah lebih tenang. Aktiviti riadah seperti berbasikal dan berjoging juga dapat menenangkan dan meningkatkan tumpuan seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana, semasa berbasikal dan berjoging kita dapat menikmati udara segar dan keindahan alam yang menjadikan fikiran kita tenang. Oleh itu, tingkat stres kita akan berkurang secara drastik kerana otak kita sudah mampu mengawal tekanan tersebut. Jelaslah bahawa dengan bersukan masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diatasi.
3. Beribadah kepada Tuhan
Di samping itu, masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia juga dapat diatasi dengan cara beribadah kepada Tuhan. Hal ini dikatakan demikian kerana, ketenangan hati dan segala urusan duniawi merupakan kurniaan dan ujian daripada Tuhan. Dengan beribadah kepada Tuhan, kita akan lebih bermunasabah diri kerana sedar segala yang berlaku ialah ujian daripada Tuhan. Oleh itu, kita tidak akan mudah tertekan atau stres untuk menghadapi segala ujian daripada Tuhan kerana kita mengetahui bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Selain itu, dengan beribadah kepada Tuhan juga, kita akan melupakan segala masalah yang membuatkan kita stres kerana itu hanyalah bersifat sementara. Sebagai contoh, bagi umat Islam, solat merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Dengan melakukan solat, umat Islam akan lebih tenang kerana solat merupakan punca utama ketenangan bagi umat Islam. Oleh itu, dengan beribadah kepada Tuhan kita akan dapat mengatasi masalah stres.
4. Berjumpa dengan Kaunselor
Masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia juga dapat diatasi dengan cara berjumpa dengan kaunselor. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita dapat berkongsi masalah yang membuatkan kita stres kepada kaunselor tersebut. Dengan cara ini, bebanan stres kita dapat dikurangkan dan kita akan merasa lebih lega. Dalam masa yang sama, kaunselor tersebut juga akan memberikan cadangan kepada kita mengenai cara untuk kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Bukan itu sahaja, kaunselor tersebut juga akan memberikan kita nasihat tentang cara untuk kita berhadapan dengan masalah dan mengawal sters kita. Selain itu, apabila kita berjumpa dengan kaunselor, kita akan lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan mereka kerana mereka memang pakar dalam hal ini. Kita juga dapat bertanya kepada mereka lebih banyak mengenai stres kerana mereka memang arif dalam hal yang berkaitan emosi. Oleh itu, dengan berjumpa kaunselor, kita akan dapat mengurangkan stres dan tahu mengawal tekanan yang kita hadapi dengan baik.
5. Meluangkan Masa dengan Keluarga
Selain daripada berjumpa dengan kaunselor, masalah stres juga dapat diatasi dengan cara meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga. Setiap rakyat Malaysia berhak untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga setelah penat bekerja setiap hari. Dengan cara ini, kita akan melupakan sementara tekanan di tempat kerja dan mengembalikan semula ketenangan fikiran serta menyegarkan semula mental kita. Sebagai contoh, kita boleh berkelah bersama-sama keluarga di tepi pantai, bahkan kita boleh membawa keluarga kita untuk melancong ke luar negara. Dengan menikmati keindahan alam sekitar bersama-sama keluarga, nescaya kita akan lebih tenang dan berfikiran positif. Selain itu, gelak ketawa bersama ahli keluarga juga membuatkan kita melupakan segala tekanan yang kita hadapi. Oleh itu, dengan meluangkan masa bersama-sama dengan ahli keluarga, kita dapat mengatasi masalah stres yang dihadapi.
Penutup Karangan Langkah Mengatasi Stres
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah efektif yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sters dalam kalangan rakyat Malaysia. Masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia ini perlu diatasi kerana ia boleh menimbulkan masalah yang serius. Sebagai contoh, masalah stres ini boleh menyebabkan seseorang itu manjadi gila, bahkan boleh menyebabkan dia membunuh diri. Hal ini boleh berlaku kerana kebiasaanya orang yang mengalami stres yang keterlaluan ini tidak mampu untuk mengawal dirinya. Oleh itu, mereka akan melakukan apa-apa sahaja tanpa berfikir panjang. Bagi mengatasi masalah stres ini, semua pihak perlulah berganding bahu dan tidak saling menunding jari. Semoga masalah stres dalam kalangan rakyat di negara kita dapat diatasi dengan segera untuk mengurangkan risiko yang tidak diingini berlaku.