Faktor Berlakunya Dahagi India 1857
Faktor-faktor Dahagi India 1857
1. Pembaharuan Sosial
Amalan thuggee merupakan amalan kumpulan agama bersenjata yang melakukan kegiatan merompak dan membunuh pengembara jalanan. Mereka mencekik pengembara tersebut sehingga mati dengan mengatasnamakan Dewi Kali. Penghapusan amalan ini telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan beragama Hindu terhadap British kerana telah campur tangan dalam amalan keagamaan mereka, malah mereka menganggap British menghina kesucian tradisi keagamaan mereka.
Amalan suttee pula merupakan amalan yang dianggap tidak berperikemanusiaan oleh British dan mereka telah menggubal undang-undang bagi menghapuskan amalan terkutuk tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, amalan suttee ini ialah amalan yang mewajibkan seorang balu dibakar hidup-hidup bersama mayat suaminya semasa pengebumian.
Selain itu, penghapusan amalan membunuh bayi perempuan oleh British juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India. Amalan ini dilakukan oleh masyarakat India kerana mereka menganggap kaum wanita cenderung akan memalukan ibu bapa dan menyusahkan keluarga kerana mereka terpaksa membayar dowri perkahwinan anak perempuan mereka. Bagi mengelakkan hal itu terjadi, maka mereka akan dengan kejam membunuh bayi perempuan yang baru sahaja lahir.
Tindakan Lord Dalhousie yang menggubal Akta Kahwin semula juga turut membakar kemarahan masyarakat di India. Lord Dalhousie telah meluluskan Akta Kahwin semula bagi balu-balu hindu. Tindakan ini dilakukan oleh Lord Dalhousie kerana beliau menganggap tindakan membakar balu hidup-hidup bersama-sama mayat suaminya sangat tidak berperikemanusiaan. Hal ini telah menyebabkan masyarakat Hindu sangat marah kerana undang-undang tersebut sangat bertentangan dengan tradisi masyarakat hindu yang mewajibkan seorang balu mesti mati dibakar bersama-sama mayat suaminya.
2. Dasar Pengilhakan Lord Dalhousie
Dasar Pengilhakan yang dilaksanakan oleh Lord Dalhousie telah meniupkan lagi kemarahan masyarakat India yang menyebabkan berlakunya Dahagi India 1857. Hal ini dikatakan demikian kerana, Dasar Pengilhakan ini telah merampas hak dan kuasa pemerintah. Dasar pengilhakan ini dilaksanakan melalui tiga doktrin, iaitu Hak Menakluk Kuasa Agung, penguatkuasaan Undang-undang Lesap Waris dan Kebaikan untuk diperintah.Melalui doktrin Hak Menakluk Kuasa Agung, British telah melancarkan serangan untuk menakluk wilayah-wilayah di India.
Selain itu, penguatkuasaan Undang-undang Lesap Waris pula membolehkan sesebuah wilayah itu diserahkan kepada Inggeris sekiranya pemerintah tempatanya mangkat tanpa meninggalkan waris.
Doktrin Kebaikan untuk Diperintah pula digunakan oleh British untuk menguasai wilayah yang bermasalah di India atas alasan mahu memperbaiki pentadbiran sedia ada.
Melalui Dasar Pengilhakan ini, British telah menguasai beberapa wilayah di India seperti Punjab, Karnatik, Sambalpur dan Tanjor. Wilayah-wilayah ini telah diilhakan oleh Lord Dalhousie. Keadaan ini telah menyebabkan pemerintah-pemerintah tempatan kehilangan kuasa, kemudiannya menyertai penentangan terhadap British.
3. Pengenalan Peraturan Baharu
Di samping itu, pengenalan peraturan baharu yang dilakukan oleh Inggeris juga menjadi faktor kepada berlakunya Dahagi India 1857. Apabila Inggeris menduduki India, sistem pentadbiran baharu yang jauh berbeza dengan sistem pentadbiran sedia ada diperkenalkan oleh Inggeris. Pengenalan sistem pentadbiran baharu ini telah menyukarkan dan menambahkan lagi kesengsaraan kehidupan masyarakat India.Pembentukan Suruhanjaya Inam 1820 merupakan salah satu peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Inggeris. Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk mengkaji pajakan tanah tanpa sewa yang telah menyebabkan 20 ribu estet di Deccan jatuh ke tangan pihak Inggeris. Kesannya, banyak keluarga yang kehilangan tanah pusaka dan jatuh miskin akibat gagal membuktikan kepemilikan tanah secara sah kepada pihak Inggeris.
Di samping itu, tindakan Inggeris yang mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kehakiman juga telah menimbulkan kemarahan masyarakat India.
Kemarahan masyarakat India memuncak apabila berlaku diskriminasi dalam pemberian jawatan tinggi dalam jawatan awam dan tentera kepada orang-orang India. Inggeris juga bertindak lebih berani lagi dengan menghapuskan bayaran elaun kepada raja dan pencen kepada tentera dan pegawai-pegawai awam.
Selain itu, Inggeris juga bertindak mengenakan tarif yang tinggi terhadap barangan India di Britain menyebabkan permintaan terhadap barangan India sangat rendah, sebaliknya barangan Britain memenuhi pasaran India. Hal ini telah mendorong kepada berlakunya Dahagi India.
4. Perasaan Dendam Sepoi
Perasaan dendam sepoi menjadi faktor kepada berlakunya Dahagi India 1857. Semasa pentadbiran Lord Canning di India, Akta Pengambilan Khidmat Am telah digubal dan diluluskan yang memberi kuasa penuh kepada pihak British untuk menghantar tentera berkhidmat di luar India. Tindakan British yang menghantar sepoi India yang berkasta tinggi dianggap telah mencemarkan imej kasta tersebut dan telah menyebabkan penentangan terhadap British oleh golongan sepoi dalam kasta tersebut. Sebagai contoh, anggota Rejimen 47 yang mempunyai kasta tinggi telah dihantar berkhidmat ke Burma. Menurut kepercayaan masyarakat India, kasta mereka akan hilang sekiranya menyeberangi lautan. Malangnya lagi, mereka yang menentang arahan tersebut akan dihukum gantung. Keadaan ini menyebabkan masyarakat India yang berkasta tinggi seperti kaum Brahmin dan Rajput tidak berpuas hati kerana kehilangan kasta mereka. Hal ini menyebabkan berlakunya penentangan masyarakat India yang berkasta tinggi kepada pihak British.
Selain itu, British juga melakukan diskriminasi terhadap tentera India. Sepoi India tidak diberikan layanan dan gaji yang setara dengan tentera British, malah dalam hal kenaikan pangkat dan pemberian elaun, sepoi India turut diskriminasikan oleh pihak British. Pemilihan dalam kenaikan pangkat dibuat berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kebolehan para tentera. Maksudnya, tentera yang berkhidmat lebih lama akan mempunyai peluang yang cerah untuk menerima kenaikan pangkat. Semua bentuk diskriminasi oleh pihak Inggeris terhadap sepoi India ini telah menimbulkan kemarahan segenap lapisan masyarakat India.
Kemarahan sepoi-sepoi India ini semakin marak apabila British memperkenalkan senapang Riffle Royal Enfield. Kemarahan sepoi-sepoi India ini timbul susulan khabar angin yang mengatakan bahawa minyak yang digunakan untuk membersihkan senapang tersebut diperbuat daripada minyak khinzir dan minyak sapi, malah pelurunya juga disaluti dengan minyak sapi dan minyak khinzir. Keadaan ini menyebabkan masyarakat India merasa Inggeris menghina agama Hindu dan Islam. Kesannya, mereka enggan menggunakan peluru tersebut dan menimbulkan kemarahan dalam diri mereka terhadap pihak Inggeris.