Karangan Kesan Pemanasan Global kepada Manusia dan Alam Sekitar
Peningkatan Suhu Bumi |
Isi-isi Penting
- Menjejaskan Kesihatan Manusia
- Mengancam Khazanah Flora dan Fauna
- Peningkatan Paras Air Laut
- Menjejaskan Sumber Makanan Manusia
- Gangguan Cuaca
Pemanasan Global Semakin Serius
Sejak akhir-akhir ini, masalah pemanasan global menjadi bualan utama masyarakat dunia termasuklah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Pemanasan global merupakan peningkatan suhu atmosfera bumi secara berterusan akibat daripada gas rumah hijau. Hal ini sangat membimbangkan masyarakat dunia kerana para saintis menjangkakan bumi akan tenggelam dalam masa yang terdekat sekiranya masalah pemanasan global ini tidak diatasi dengan segera.
Dalam hal ini, masyarakat dunia melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk mengatasi masalah pemanasan global ini secara bersama melalui Protokol Kyoto.
Protokol ini bersetuju untuk mengurangkan pemanasan global melalui pengurangan pelepasan gas-gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
Oleh itu, kita sebagai masyarakat dunia haruslah bekerjasama dalam menangani masalah pemanasan global ini. Isu ini tidak akan selesai sekiranya hanya beberapa pihak yang memainkan peranan.
Pada realitinya, terdapat pelbagai kesan pemanasan global kepada manusia dan alam sekitar.
Kesan Pemanasan Global Kepada Manusia dan Alam Sekitar
1. Menjejaskan Kesihatan Manusia
Antara kesan negatif pemanasan global adalah menjejaskan kesihatan manusia. Peningkatan suhu dunia akan menyebabkan manusia menghadapi masalah dehidrasi dan kekeringan kulit. Masalah ini berlaku kerana peningkatan suhu akibat pemanasan global ini akan menyebabkan tubuh manusia mengalami kekurangan air yang serius.
Selain itu, kanser kulit juga akan berlaku kerana lapisan ozon bumi yang telah nipis dan berlubang akibat pemanasan global tidak lagi mampu menghalang pancaran ultraungu daripada memasuki atmosfera bumi. Pendedahan kulit manusia terhadap pancaran ultraungu ini sangat berbahaya kerana ia akan menyebabkan kanser kulit.
Di samping itu, individu yang terlalu terdedah kepada cahaya matahari juga berisiko menghidapi strok haba. Dalam masa yang sama, jerebu yang terlalu tebal akibat pemanasan global juga akan menyebabkan manusia menghadapi masalah gangguan pernafasan dan ketarak. Jelaslah bahawa, pemanasan global ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas.
2. Mengancam Khazanah Flora dan Fauna
Selain itu, fenomena pemanasan global juga akan mengancam khazanah flora dan fauna. Peningkatan suhu bumi yang terlalu tinggi akibat pemanasan global akan menyebabkan tanah menjadi gersang.
Tanah yang gersang tidak mampu mengumpulkan air dengan sempurna untuk dibekalkan kepada tumbuh-tumbuhan. Hal ini akan menyebabkan tumbuh-tumbuhan menjadi kering lalu mati kerana kekurangan air, malah terdapat juga tumbuhan yang mati kerana tidak mampu bertahan dengan suhu yang terlalu tinggi.
Keadaan ini juga akan turut menyebabkan hutan menjadi musnah. Kemusnahan hutan ini pula akan menyebabkan banyak binatang mati kerana kehilangan sumber makanan dan habitat. Jelaslah bahawa, fenomena pemanasan global ini akan mengancam khazanah flora dan fauna.
3. Peningkatan Paras Air Laut
Di samping itu, fenomena pemanasan global juga akan menyebabkan peningkatan paras air laut. Hal ini dikatakan demikian kerana, peningkatan suhu bumi akibat pemanasan global akan menyebabkan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan mencair.
Sebagai contoh, kejadian pencairan lapisan ais yang berlaku di Greenland. Keadaan ini akan menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami oleh air laut. Sebagai contoh, terdapat banyak pantai dan pulau yang hilang kerana dinaiki oleh air laut.
Hal ini akan membawa malapetaka kepada negara-negara yang mempunyai banyak kawasan rendah kerana kawasan daratnya akan berkurang. Kesannya, kawasan untuk petempatan penduduk akan berkurang.
Jika keadaan ini berterusan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti semua kawasan darat di bumi akan dinaiki oleh air laut. Tegasnya, fenomena pemanasan global ini akan menyebabkan paras air laut meningkat.
4. Menjejaskan Sumber Makanan Manusia
Fenomena pemanasan global juga akan menjejaskan sumber makanan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana, peningkatan suhu bumi yang melampau akibat pemanasan global akan menjejaskan aktiviti manusia yang menyebabkan kegiatan pertanian tidak dapat dijalankan kerana para petani akan berisiko menghidapi strok haba.
Kesannya, tuaian makanan akan berkurang. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk lagi, sekiranya suhu bumi naik dengan sangat tinggi sehingga menyebabkan banyak tanaman utama para petani seperti padi, jagung, gandum dan sebagainya mati. Hal ini sudah pasti akan menimbulkan krisis makanan di seluruh dunia.
Selain itu, tanah yang dijadikan kawasan pertanian juga akan menjadi tandus menyebabkan aktiviti pertanian tidak dapat dilakukan. Sebagai contoh, gelombang panas yang berlaku di Rusia pada tahun 2011 dan 2012 telah menjejaskan rantaian bekalan makanan di negara-negara Afrika Utara kerana bijirin musnah dan tidak dapat dituai.
Di samping itu, suhu lautan yang meningkat secara mendadak juga akan menyebabkan hidupan laut yang menjadi sumber protein kepada manusia akan mati.
Jelaslah bahawa, fenomena pemanasan global ini akan menjejaskan bekalan makanan manusia secara global.
5. Gangguan Cuaca
Gangguan cuaca juga akan berlaku disebabkan oleh fenomena pemanasan global ini. Pemanasan global ini akan menyebabkan hujan tidak menentu dan udara menjadi kering.
Hal ini akan mengakibatkan berlakunya banyak bencana alam yang tidak dijangka seperti banjir, ribut, ombak dan taufan. Kesannya, banyak harta benda dan tanaman yang rosak.
Di sesetengah kawasan pula akan mengalami kemarau yang teruk sehingga aktiviti pertanian tidak dapat dijalankan. Hal ini pasti akan menimbulkan masalah kebuluran.
Selain itu, udara yang kering akibat pemanasan global pula akan membentuk jerebu yang akan menyebabkan masalah ketarak dan gangguan pernafasan kepada manusia.
Jelaslah bahawa, fenomena pemanasan global ini akan mengakibatkan gangguan cuaca yang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada manusia.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan negatif pemanasan global yang memberi impak secara langsung atau tidak langsung kepada manusia.
Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menangani masalah pemanasan global.
Pihak berkuasa haruslah mengenakan hukuman yang setimpal kepada individu yang menyumbang kepada pemanasan global untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Masyarakat pula perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat individu yang melakukan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global seperti membakar sampah secara terbuka.
Semoga dengan kerjasama semua pihak di seluruh dunia, fenomena pemanasan global ini dapat diatasi dengan segera demi kesejahteraan hidup generasi akan datang.