Langkah-langkah Mengatasi Pemanasan Global

Kesan Pemanasan Global

Kesan Pemanasan Global

Isi-isi Penting

    1. Mengurangkan Penebangan Pokok
    2. Mengamalkan Budaya Berkongsi Kenderaan, Menggunakan Kenderaan Awam, Berbasikal, Berjalan Kaki
    3. Mengurangkan Pembakaran Sampah Sarap dan Mengamalkan Kitar Semula
    4. Peranan Pihak Kerajaan

Apa itu Pemanasan Global?

Pemanasan global merupakan suatu fenomena di mana suhu bumi meningkat secara terus-menerus akibat daripada kesan rumah hijau yang melibatkan peningkatan gas karbon dioksida (CO2) dan kloroflourokarbon (CFC), metana dan bahan-bahan pencemar yang lain.

Gas-gas rumah hijau ini akan menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas ke angkasa. Hal ini akan menyebabkan suhu bumi akan meningkat secara mendadak.

Pemanasan global juga dapat didefinisikan sebagai satu fenomena peningkatan suhu bumi yang melebihi paras normal.

Pemanasan Global Perlu Diatasi Segera

Dunia kini diancam oleh masalah pemanasan global yang akan mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada masyarakat sejagat. Pemanasan global ini telah menyebabkan ais di kutub utara dan selatan mencair. 

Sehubungan dengan itu, paras air laut juga turut meningkat dengan mendadak yang menyebabkan beberapa kawasan rendah di bumi ditenggelami air. 

Berikutan dengan peningkatan air laut itu, banyak nyawa manusia dan binatang yang akan terkorban, malah banyak harta benda dan tumbuh-tumbuhan juga turut musnah. 

Masalah pemanasan global ini berpunca daripada sikap sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab seperti melakukan pembakaran hutan dan pembalakan haram. Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan negatif daripada aktiviti pembalakan dan pembakaran hutan yang mereka lakukan kepada masyarakat dan juga alam sekitar. 

Lebih menyedihkan lagi, apabila pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah pemanasan global ini seperti kempen kesedaran “Amalkan Kitar Semula” yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui media sosial dan media elektronik langsung tidak diendahkan oleh masyarakat. Inisiatif yang diambil oleh kerajaan ini bagai mencurah air ke daun keladi kerana tidak mendatangkan apa-apa kesedaran kepada masyarakat. 

Pihak kerajaan perlu mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi kepada masyarakat yang bersikap “endah tak endah” terhadap isu pemanasan global ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, menurut kajian para saintis, pemanasan global ini meningkat dari hari ke hari dan lebih sebahagian daripada bumi kita telah gondol. 

Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini? Apakah langkah terbaik yang patut diambil bagi menangani masalah pemanasan global ini? Sesungguhnya, masalah pemanasan global ini perlu ditangani dengan kebijaksanaan akal fikiran untuk kebaikan masyarakat sejagat.

Langkah Mengatasi Pemanasan Global

1. Mengurangkan Penebangan Pokok

Antara langkah yang wajar dilakukan bagi menangani masalah pemanasan global ialah masyarakat perlulah mengurangkan penebangan pokok. Pembalak perlu membuat kajian terlebih dahulu terhadap pokok yang hendak ditebang supaya pokok itu betul-betul matang dan sesuai untuk ditebang. 

Pembalak tidak boleh sambalewa dan memandang enteng perkara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembalakan yang tidak terkawal dan terancang akan menyebabkan hutan menjadi gondol dan suhu bumi meningkat secara mendadak. 

Selain itu, penebangan pokok secara besar-besaran juga akan mengurangkan hujan dan kadar transpirasi yang akan memperlahankan penyerapan karbon dioksida oleh tumbuhan melalui fotosintesis. Hal ini menyebabkan peningkatan paras karbon dioksida dalam atmosfera bumi yang membawa kepada peningkatan suhu bumi. 

Seterusnya, Jabatan Perhutanan juga perlu meningkatkan lagi tahap pemeriksaan pokok-pokok yang telah ditebang oleh syarikat pembalak untuk memastikan pokok yang ditebang mematuhi garis piawaian kematangan pokok dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) yang telah ditetapkan. 

Jabatan Perhutanan wajib menarik balik lesen pembalakan dan mengenakan denda kepada pembalak yang melanggar dan tidak mematuhi Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993). 

Di samping itu, Jabatan Perhutanan perlu sentiasa membuat pemantauan terhadap hutan kita bukan sahaja melalui satelit tetapi juga perlu turun padang untuk menunjukkan keseriusan Jabatan Perhutanan dalam menangani isu pembalakan haram yang semakin membimbangkan di negara kita. 

Selain itu, Jabatan Perhutanan perlu memastikan pembalak menanam semula pokok di kawasan pembalakan untuk mengganti semula pokok yang telah ditebang supaya hutan kita tidak musnah dengan serta-merta. 

Oleh itu, masyarakat, Jabatan Alam sekitar dan Jabatan Perhutanan perlu bekerjasama dalam membendung isu pembalakan ini supaya pemanasan global tidak berlaku kerana “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. 

Secara kesimpulannya, masalah pemanasan global ini dapat dibendung dengan cara mengurangkan penebangan pokok melalui kerjasama antara masyarakat, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Negara.

2. Mengamalkan Budaya Berkongsi Kenderaan, Menggunakan Kenderaan Awam, Berbasikal, Berjalan Kaki

Selain itu, langkah efektif yang boleh diambil bagi menangani masalah pemanasan global ialah masyarakat perlu mengamalkan budaya berkongsi kereta dengan rakan, menggunakan kenderaan awam, berbasikal dan berjalan kaki. 

Sebagai contoh, masyarakat boleh berkongsi kereta dengan rakan atau menaiki kenderaan awam seperti kereta api, bas dan LRT ke tempat kerja pada setiap hari. Hal ini dapat mengurangakan kadar pembebasan wasap daripada ekzos kenderaan yang mengandungi karbon dioksida dan karbon monoksida, selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

Pembebasan gas karbon monoksida yang tidak terkawal bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan manusia tetapi juga boleh menipiskan lapisan ozon. Lapisan ozon ini sangat penting kepada bumi sebagai perisai semula jadi yang menyerap dan melindungi semua hidupan bumi daripada kesan bahaya sinaran ultraungu. 

Penipisan lapisan ozon yang disebabkan oleh gas karbon monoksida ini menyebabkan sinaran ultraungu yang sampai ke bumi meningkat dan tidak dapat dikawal. Hal ini menyebabkan suhu bumi meningkat secara mendadak dan mengundang berlakunya pemanasan global. 

Di samping itu, pembebasan gas karbon dioksida yang berlebihan daripada ekzos kenderaan juga boleh menyebabkan berlakunya penipisan lapisan ozon, selain memerangkap haba daripada dipantulkan ke angkasa. Hal ini sangat membimbangkan kerana para saintis dunia sudah menyatakan bahawa masalah pemanasan global ini sudah berada di tahap yang sangat kritikal seiring wujudnya pelbagai kilang-kilang perindustrian yang tidak terkawal. 

Para saintis dunia juga menyatakan bahawa kewujudan kilang-kilang perindustrian yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini merupakan penyumbang utama kepada masalah pemanasan global kerana kilang-kilang perindustrian ini banyak membebaskan gas rumah hijau yang menipiskan lapisan ozon. 

Selain itu, bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida dan karbon monoksida ini masyarakat perlulah mengamalkan budaya berjalan kaki ataupun berbasikal. Masyarakat sewajarnya lebih kerap lagi untuk berjalan kaki dan berbasikal ke mana-mana tempat kerana budaya ini bukan sahaja dapat membantu dalam mengembalikan suhu bumi ke tahap normal tetapi juga dapat mengekalkan kesihatan masyarakat di tahap yang maksimum. 

Masyarakat seharusnya menghindarkan diri daripada terus menggunkan kenderaan untuk bergerak ke tempat-tempat yang jaraknya dekat ataupun bersiar-siar di sekeliling kampung kerana budaya ini sudah menjadi rutin dalam diri setiap indiviu, maklumlah zaman sekarang manusia sedang bersaing untuk mempamerkan kekayaan masing-masing sehingga lupa kesannya kepada alam sekitar dan bumi. 

Mereka sama sekali tidak menyedari bahawa mereka sendiri sedang membahayakan diri mereka sendiri. Jelaslah di sini, sudah terang lagi bersuluh, bahawa budaya berkongsi kenderaan dengan rakan, menggunakan kenderaan awam, berbasikal dan berjalan kaki dapat menangani masalah pemanasan global yang sedang hangat diperkatakan oleh para saintis dunia pada masa ini.

3. Mengurangkan Pembakaran Sampah Sarap dan Mengamalkan Kitar Semula

Di samping itu, langkah berkesan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah pemanasan global ialah masyarakat perlu mengurangkan pembakaran sampah sarap dan mengamalkan amalan kitar semula. 

Masyarakat boleh mengurangkan pembakaran sampah sarap dengan cara mengumpulkan dan mengasingkan sampah sarap ini mengikut kategori sebelum dibuang ke dalam tong kitar semula ataupun ke tapak pelupusan sampah. 

Sampah sarap ini perlu diasingkan mengikut kategori seperti plastik, kaca dan logam supaya proses kitar semula dapat dijalankan dengan mudah dan lancar di pusat kitar semula. 
Masyarakat perlu sedar bahawa pembakaran sampah sarap seperti plastik dan kertas lama akan membebaskan gas rumah hijau seperti karbon dioksida yang akan menyebabkan kesan rumah hijau. 

Kesan rumah hijau ialah fenomena pemanasan bumi berlebihan yang disebabkan oleh peningkatan jumlah gas rumah hijau. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, metana, klorofluorokarbon(CFC) dan nitrus oksida. 

Sinar matahari yang menembusi dinding kaca rumah hijau akan bertukar menjadi haba yang terperangkap di dalam rumah hijau yang akan menyebabkan suhu di bumi meningkat. 

Pembebasan gas karbon dioksida yang semakin meningkat akibat pembakaran sampah sarap yang tidak terkawal ini akan memerangkap lebih banyak haba yang akan menyebabkan fenomena pemanasan global. 

Lebih membimbangkan lagi, apabila para saintis dunia meramalkan suhu bumi akan meningkat sebanyak 1.5°C hingga 4.5°C menjelang tahun 2030. Menurut kajian mereka, salah satu penyumbang utama kepada peningkatan gas karbon dioksia di bumi ialah pembakaran terbuka yang dilakukan oleh manusia, iaitu insan yang mempunyai akal untuk berfikir secara rasional. 

Seterusnya, pembakaran sampah sarap ini dapat dikurangkan dengan mengamalkan amalan kitar semula bahan buangan. Masyarakat zaman sekarang sepatutnya lebih kreatif untuk mencipta atau lebih umum lagi mengitar semula bahan buangan menjadi bahan baharu yang lebih menarik daripada sebelumnya. 

Hal ini wajar kerana teknologi zaman sekarang sudah canggih bagai dunia di hujung jari dan sudah sepatutnya akal dan kebijaksaan manusia juga semakin tinggi bukan sebaliknya. 

Tambahan pula, Tuhan sudah menganugerahi setiap manusia di dunia ini dengan akal dan kebijaksanaan sejak lahir. Sebagai contoh, masyarakat boleh menggunakan akal dan kebijaksanaan yang dianugerahi oleh Tuhan ini dengan cara mengubah suai botol-botol terbuang menjadi tempat alat tulis dan barang perhiasan. 

Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembakaran terbuka tetapi juga dapat menjimatkan kos daripada membazir duit untuk membeli barang perhiasan dan tempat alat tulis. 

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh, amalan kitar semula dan pengurangan pembakaran sampah sarap dapat menangani masalah pemanasan global.

4. Peranan Pihak Kerajaan

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah pemanasan global ini. 

Sebagai contoh, pihak kerajaan perlu mengadakan pelbagai kempen atau program yang berkaitan dengan masalah pemanasan global untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pemanasan global. 

Penganjuran program berkaitan pemanasan global ini amat penting kerana kebanyakan masyarakat belum lagi sedar dan mengetahui tentang bahaya pemanasan global ini terutamanya, masyarakat di luar bandar. 

Oleh itu, pendekatan mengenai masalah pemanasan global ini perlu ditekankan lagi kepada masyarakat di luar bandar memandangkan mereka masih lagi melakukan pembakaran terbuka dan penebangan pokok. Pihak kerajaan seperti Jabatan Alam sekitar (JAS) perlu memperkasakan lagi kempen mengenai pemanasan global seperti “Kempen Bahaya Pemanasan Global” kepada masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman. 

Dalam kempen tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) haruslah meyakinkan penduduk tentang bahaya pemanasan global ini supaya mereka tidak melakukan pembakaran terbuka dan penebangan pokok tanpa kawalan. Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberikan gambaran kepada masyarakat tentang keadaan bumi pada masa akan datang seperti pertambahan kawasan gurun, peningkatan paras air laut yang mendadak dan pencairan ais di kutub utara dan selatan. 

Hal ini akan menimbulkan kebimbangan masyarakat di luar bandar yang menyebabkan mereka lebih peka terhadap isu-isu berkaitan dengan alam sekitar. 

Jabatan Alam sekitar (JAS) juga perlu mengadakan program kesedaran di sekolah-sekolah kerana pepatah melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah sewajarnya pendidikan mengenai alam sekitar ini perlu diberikan sejak kecil lagi kerana mengajar kanak-kanak lebih mudah daripada mengajar orang dewasa. 

Oleh itu, program mengenai pemanasan global ini perlu ditekankan sejak di bangku sekolah lagi oleh pihak kerajaan supaya budaya mencintai alam sekitar ini menjadi amalan masyarakat sepanjang zaman. 

Dengan cara ini juga, masyarakat akan berganding bahu untuk menjaga dan melindungi bumi kita supaya sentiasa berada dalam keadaan hijau. 

Jelaslah di sini bahawa kempen atau program kesedaran mengenai pemanasan global dapat membendung masalah pemanasan global.

5. Penggunaan Tenaga Alternatif atau Tenaga Hijau

Selain itu, langkah efektif untuk menangani pemanasan global adalah dengan menggunakan tenaga alternatif atau tenaga hijau. Sebagai contoh, penggunaan tenaga solar, tenaga angin, dan tenaga hidroelektrik haruslah diperluaskan lagi kerana sumber tenaga ini tidak akan mencemarkan alam sekitar. Berbeza dengan penggunaan tenaga fosil seperti arang batu dan petroleum yang banyak membebaskan gas karbon dioksida, penggunaan tenaga hijau tidak menghasilkan gas rumah hijau yang boleh meningkatkan suhu bumi. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menggalakkan masyarakat menggunakan panel solar di rumah masing-masing dan memberi insentif kepada industri yang menggunakan tenaga hijau. Dengan ini, masalah pemanasan global dapat dikurangkan secara efektif dan bumi dapat dikekalkan dalam keadaan lestari.

6. Penanaman Semula Pokok secara Besar-besaran

Selain itu, langkah yang boleh dilakukan ialah penanaman semula pokok secara besar-besaran di kawasan-kawasan yang telah gondol akibat pembalakan atau pembakaran hutan. Aktiviti menanam semula pokok harus dilakukan oleh semua pihak, termasuklah pihak kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti setempat. Hal ini dikatakan demikian kerana, pokok memainkan peranan yang penting dalam menyerap karbon dioksida dari atmosfera bumi melalui proses fotosintesis, sekaligus mengurangkan kepekatan gas ini yang menjadi punca kepada pemanasan global. Dengan usaha ini, nescaya kawasan hutan dapat dikembalikan kepada keadaan asal, malah suhu bumi dapat dikurangkan ke tahap yang lebih selamat untuk didiami oleh semua hidupan.

7. Penguatkuasaan Undang-undang Alam Sekitar yang Tegas

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang lebih tegas juga harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan terhadap individu atau syarikat yang didapati bersalah melakukan pencemaran udara, air, atau tanah yang menyumbang kepada pemanasan global. Sebagai contoh, denda tinggi atau hukuman penjara perlu dikenakan kepada pihak kilang yang membuang sisa toksik secara haram. Langkah ini bukan sahaja berkesan dalam menangani pemanasan global, tetapi juga dapat mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar demi generasi masa hadapan.

8. Pendidikan Alam Sekitar secara Berterusan dalam Masyarakat

Pendidikan alam sekitar secara berterusan juga merupakan langkah penting dalam menangani pemanasan global. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan haruslah memastikan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar diwajibkan di semua peringkat sekolah supaya generasi muda memahami secara mendalam tentang bahaya pemanasan global. Di samping itu, seminar, bengkel, dan kursus kesedaran mengenai alam sekitar juga perlu diadakan secara berkala kepada orang awam untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat. Hal ini penting kerana melalui pendidikan yang berterusan, sikap prihatin masyarakat terhadap alam sekitar dapat dipupuk sejak awal lagi.

9. Mengurangkan Penggunaan Plastik dan Bahan Tidak Mudah Lupus

Selanjutnya, masyarakat juga perlu mengurangkan penggunaan plastik dan bahan-bahan tidak mudah lupus. Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan plastik secara berlebihan akan menyebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk, selain membebaskan gas berbahaya apabila dibakar. Oleh sebab itu, masyarakat digalakkan menggunakan beg kitar semula, bekas makanan mesra alam, dan botol air yang boleh digunakan berulang kali. Kerajaan juga boleh memperkenalkan cukai atau caj tambahan terhadap penggunaan plastik bagi mendidik masyarakat supaya beralih kepada produk yang mesra alam. Langkah ini secara tidak langsung membantu dalam usaha menangani pemanasan global.

10. Penggunaan Teknologi Hijau dalam Industri

Pihak industri juga perlulah memainkan peranan mereka dalam menggunakan teknologi hijau. Teknologi hijau merangkumi penggunaan mesin atau peralatan industri yang cekap tenaga dan mesra alam. Kilang-kilang perlu diberi galakan atau insentif seperti potongan cukai sekiranya mereka mengurangkan pelepasan karbon secara drastik dengan menggunakan teknologi mesra alam ini. Penggunaan teknologi hijau bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga dan kos operasi, malah membantu mengurangkan pencemaran udara dan sekaligus mengatasi masalah pemanasan global dengan lebih efisien. Jelaslah bahawa, penggunaan teknologi hijau dalam industri mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang seterusnya membantu dalam menangani masalah pemanasan global.

Kesimpulan Langkah Menangani Masalah Pemanasan Global

Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menangani masalah pemanasan global ini sampai ke akar umbi. 

Sesungguhnya, masalah pemanasan global ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat memandangkan masalah ini merupakan masalah global yang masih belum dapat diselesaikan oleh dunia. 

Pemanasan global ini merupakan salah satu masalah yang akan mengancam bahkan menghancurkan dunia pada masa akan datang jika tidak ditangani dengan segera. 

Dipercayai suhu bumi akan meningkat sehingga mencapai suhu maksimum yang boleh menyebabkan kematian kepada seluruh hidupan di bumi. 

Oleh itu, usaha yang hendak dilaksanakan perlulah bersungguh-sungguh bak kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang supaya masalah pemanasan global ini dapat ditangani dengan cepat dan mudah. 

Masalah pemanasan global ini bukan perkara yang boleh dibuat main kerana dunia sekarang sedang berdepan dengan masalah yang sangat sukar untuk diselesaikan sehinggakan teknologi pun tidak mampu mengatasinya. 

Negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan China juga tidak dapat menangani masalah pemanasan global ini. 

Oleh itu, semua manusia di muka bumi ini perlulah bersatu padu bak kata orang bersatu kita teguh, bercerai kita roboh untuk menangani masalah pemanasan global ini.