Kesan Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan

Kesan Pengambilan Makanan Segera secara Berlebihan

Pengambilan Makanan Segera secara Berlebihan dalam Kalangan Masyarakat Memberikan Kesan Negatif

Kini, masyarakat di negara kita terutamanya generasi muda sangat sinonim dengan pengambilan makanan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana, generasi muda seperti remaja di negara kita sangat gemar akan makanan segera, bahkan kanak-kanak juga turut mengemarinya. Sebagai contoh, tidak dapat dinafikan lagi bahawa mi segera menjadi makanan utama pelajar-pelajar di asrama tidak kira di universiti mahupun di sekolah menegah. Hal ini dikatakan demikian kerana, mi segera mudah disediakan dan boleh dimakan tanpa dimasak. Selain itu, kita juga dapat melihat bahawa kedai-kedai makanan segera seperti KFC dan McDonald sentiasa dipenuhi oleh pelanggan. Hal ini menunjukkan bahawa makanan segera ini sangat digemari oleh masyarakat di negara kita. Namun begitu, pengambilan makanan segera secara berlebihan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada seseorang.

Kesan Pengambilan Makanan Segera secara Berlebihan

1. Masalah Obesiti

Antara kesan negatif pengambilan makanan segera secara berlebihan kepada seseorang adalah akan menyebabkan masalah obesiti. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan makanan segera mengandungi kalori yang tinggi. Sebagai contoh, makanan segera seperti snek dan pizza mengandungi kalori yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan seseorang menjadi menjadi gemuk sekiranya tidak diikuti dengan senaman yang sepatutnya. Selain itu, makanan segera seperti burger juga mengandungi lemak tepu yang tinggi. Mengikut kajian, sebiji burger mengandungi lemak tepu melebihi 20 gram. Hal ini sudah pastinya akan menyebabkan berlaku gumpalan lemak di bawah kulit jika mengkonsumsi burger secara berlebihan yang seterusnya akan menyebabkan berlaku masalah kegemukan. Oleh itu, pengemar makanan segera akan cenderung menghidap masalah obesiti, jika malas melakukan senaman.

2. Penyakit Kronik

Selain itu, pengambilan makanan segera secara berlebihan oleh seseorang juga boleh menyebabkan penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengambilan makanan segera seperti snek dan burger yang berkalori tinggi boleh menyebabkan kegagalan jantung. Pengambilan minuman berkarbonat seperti Coca Cola yang berlebihan juga boleh menyebabkan kegagalan insulin. Hal ini berlaku kerana kandungan gula dalam minuman berkarbonat sangat tinggi. Apabila berlaku kegagalan insulin, maka kadar gula dalam badan tidak dikawal. Hal ini akan menyebabkan pengkonsumsi menghidap diabetes. Selain itu, makanan segera juga kebanyakannya mengandungi bahan pengawet dan perisa yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Jelaslah bahawa makanan segera boleh menyebabkan pengkonsumsi tegarnya berisiko menghidap penyakit kronik.

3. Membantutkan Pertumbuhan Kanak-kanak

Di samping itu, pengambilan makanan segera yang berlebihan juga boleh membantutkan pertumbuhan kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan segera tidak mengandungi nutrien dan zat yang diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak yang ideal. Makanan segera ini tidak mengandungi zat seperti yang terkandung dalam piramid makanan yang baik untuk pertumbuhan kanak-kanak. Dalam hal ini, kanak-kanak lebih memilih makanan segera seperti burger, snek dan pizza yang lebih sedap berbanding dengan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran. Hal ini menyebabkan pertumbuhan kanak-kanak terbantut bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga mental. Selain itu, pengambilan makanan segera yang berlebihan oleh kanak-kanak ini juga akan menyebabkan mereka mengalami obesiti di usia masih sangat muda. Jelaslah bahawa pengambilan makanan segera secara berlebihan oleh kanak-kanak ini akan menyebabkan pertumbuhan mereka terbantut.

4. Ketagihan Makanan Segera

Pengambilan makanan segera secara berlebihan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami ketagihan makanan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan segera ini lebih sedap berbanding dengan makanan berkhasiat. Sebagai contoh, snek dan burger lebih sedap berbanding dengan sayur-sayuran yang rasanya agak pahit. Warna dan rupa makanan segera yang menarik itu sendiri juga menyebabkan seseorang itu ketagihan akan makanan segera. Selain itu, bahan perisa dalam makanan segera seperti mi segera juga akan menyebabkan seseorang akan mengambil mi segera berkali-kali tanpa rasa bosan dan puas. Hal ini bermaksud bahan perisa dalam makanan segera juga boleh menyebabkan seseorang ketagihan. Jelaslah bahawa pengambilan makanan segera secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang ketagihan makanan segera.

5. Kesan Negatif Kepada Otak

Selain boleh menyebabkan ketagihan, pengambilan makanan segera yang berlebihan juga boleh memberikan kesan negatif kepada otak. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan segera ini mengandungi nutrien yang sedikit menyebabkan otak tidak mendapat nutrien yang diperlukan. Menurut kajian yang dilakukan Australian National University (ANU) dan Deakin University, rata-rata individu yang mengambil makanan segera akan mengalami hipokampus mengecil, di mana hipokampus ini berfungsi sebagai tempat penyimpanan memori. Hal ini bermakna keupayaan seseorang untuk mengingat berkurang dan lebih berisiko menghadapi masalah nyanyuk. Selain itu, pengambilan makanan segera juga menyebabkan hormon BDNF dalam otak seseorang berkurang. Hormon ini berfungsi untuk memelihara sel-sel otak daripada rosak. Hal ini sudah pastinya akan menyebabkan banyak sel-sel dalam otak mati. Jelaslah bahawa pengambilan makanan segera yang berlebihan akan memberikan kesan yang negatif kepada otak.

Penutup

Kesimpulannya, pengambilan makanan segera secara berlebihan akan memberikan banyak kesan yang negatif kepada seseorang. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam menengani masalah ini. Jika tidak, sudah pastinya kesihatan rakyat di negara ini semakin terjejas. Pihak kerajaan perlulah menggandakan kempen kesedaran mengenai bahaya makanan segera kepada rakyat Malaysia. Dengan cara ini, rakyat Malaysia akan lebih menjaga diet makanan mereka. Semua rakyat Malaysia sudah pastinya tidak mahu di masa hadapan, negara ini dipenuhi dengan manusia yang bantut. Semoga masalah pengambilan makanan segera secara berlebihan ini dapat diatasi dengan segera demi kesihatan rakyat yang lebih baik di masa akan datang.