Kebaikan Amalan Membaca dalam Masyarakat

Kebaikan Amalan Membaca
Kelebihan Amalan Membaca 

Budaya Membaca Buku dalam Kalangan Masyarakat Semakin Pudar - pendidikjalanan.blogspot.com

Pada era globalisasi ini, amalan membaca semakin pudar dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda. Kajian mendapati bahawa purata pembacaan buku oleh setiap rakyat Malaysia bagi setiap tahun adalah hanya dua buah buku. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat malas membaca buku. Keadaan ini berlaku kerana rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda dihidangkan dengan kemajuan teknologi yang menyebabkan mereka leka dengan kemajuan tersebut. Sebagai contoh, pada masa ini, generasi muda lebih terpengaruh dengan media sosial seperti Instagram, Facebook, Tiktok dan Youtube, malah mereka juga lebih suka bermain permainan video seperti PUBG dan Mobile Legend. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk membaca buku kerana terlalu leka dengan hal-hal yang kurang bermanfaat dari pagi hinggalah petang. Oleh itu, amalan membaca ini perlulah dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia. Hakikatnya, terdapat banyak kebaikan sekiranya amalan membaca ini diamalkan.

Kebaikan Amalan Membaca

1. Membaca Membolehkan Mengetahui Isu-isu Semasa

Antara kebaikan amalan membaca ialah kita akan mengetahui isu-isu semasa. Melalui pembacaan surat khabar dan berita-berita dalam talian, kita akan mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara dan luar negara. Sebagai contoh, kita akan mengetahui mengenai kenaikan harga barangan, kejatuhan nilai ringgit, kejatuhan harga sawit dan pelbagai isu-isu semasa lain yang berlaku dalam negara kerana kita hanya akan mengetahui isu ini apabila kita membaca berita tidak kiralah melaui surat khabar atau artikel berita online.  Dalam masa yang sama, kita juga akan mengetahui mengenai isu-isu global seperti perang Ukraine-Rusia, masalah kebuluran dan krisis makanan global. Hal ini akan menyebabkan kita kaya dengan pengetahuan, selain akan menyebabkan kita lebih peka terhadap isu-isu semasa. Tambahan pula, kita boleh mengambil pelbagai iktibar daripada berita yang dibaca. Jika kita terus melakukan pembacaan, maka kita akan tahu membezakan sama ada sesuatu berita itu benar ataupun palsu. Hal ini akan membantu mengurangkan masalah penyebaran berita palsu. Jelaslah bahawa amalan membaca ini akan membantu rakyat Malaysia keluar daripada tempurung.

2. Membaca Buku Dapat Meningkatkan Ilmu Pengetahuan

Selain itu, amalan membaca buku dan bahan ilmiah juga akan meningkatkan ilmu pengetahuan seseorang. Kebanyakan orang-orang bijak yang berilmu akan menumpahkan segala ilmu pengetahuan mereka di dalam buku. Mereka menjadikan buku sebagai wadah untuk mereka berkongsi ilmu dan pandangan kepada orang lain. Sebagai contoh,    Tun Dr. Mahathir telah menulis buku bertajuk The Malay Dilemma untuk menyatakan pandangan dan kritik beliau terhadap orang Melayu. Selain itu, kajian-kajian yang dibuat oleh para saintis dan profesor juga akan disimpan dalam bentuk tulisan iaitu, journal atau kertas akademik untuk menjadi tatapan orang ramai. Begitu juga dengan penemuan-penemuan baharu, akan disimpan dalam bentuk tulisan. Oleh itu, melalui pembacaan, kita akan mengetahui segala ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh orang lain. Ilmu pengetahuan yang kita perolehi ini pula boleh disampaikan kepada orang lain melalui lisan. Jelaslah bahawa amalan membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan seseorang.

3. Membaca Buku Meningkatkan Wawasan Seseorang

Di samping itu, amalan membaca juga dapat meningkatkan wawasan seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan membaca buku kita akan dapat mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman yang dicurahkan oleh pelbagai tokoh ke dalam buku. Berbekalkan pengetahuan tersebut, kita akan dapat membina wawasan diri kita kerana pengetahuan kita adalah luas. Sebagai contoh, jika kita mambaca buku yang berkaitan dengan perniagaan, maka wawasan perniagaan kita akan menjadi luas. Banyak tokoh-tokoh perniagaan yang mengaku bahawa wawasan pernigaan mereka terbentuk hasil daripada pembacaan yang dilakukan. Dengan banyak membacalah juga, wawasan Tun Dr. Mahathir untuk menjadikan Malaysia negara moden, iaitu Wawasan 2020 terbentuk. Tanpa pembacaan buku yang dilakukan untuk membentuk wawasan, mustahil Tun Dr. Mahathir berani untuk mengimpikan Malaysia mempunyai kereta buatan tempatan, iaitu Proton dan akhirnya impian ini menjadi kenyataan. Menara Berkembar Petronas juga mustahil akan berdiri megah seperti sekarang tanpa adanya wawasan yang dibentuk melalui pembacaan buku yang diamalkan oleh Tun Dr. Mahathir. Jelaslah bahawa amalan membaca buku akan membantu meningkatkan wawasan seseorang.

4. Membaca Dapat Mengisi Masa Lapang dengan Aktiviti Berfaedah

Amalan membaca juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Dengan membaca pelbagai bahan seperti novel, majalah dan surat khabar kita akan terhindar daripada aktiviti yang tidak berfaedah. Sebagai contoh, kita akan terhindar daripada aktiviti melepak, merokok, tidur berlebihan dan pelbagai gejala sosial yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap kali kita akan mempunyai masa lapang, ia akan diisi dengan aktiviti membaca buku. Jika amalan membaca pada masa lapang ini dilakukan secara berterusan, maka lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita. Maksudnya, apabila kita mempunyai masa lapang, secara automatik kita akan  mengambil buku dan membacanya tanpa sebarang paksaan. Jelaslah bahawa amalan membaca ini dapat menghindarkan kita daripada aktiviti yang tidak berfaedah.

5. Membaca Dapat Memperkaya Istilah dan Kosa Kata

Selain daripada dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, amalan membaca juga dapat memperkaya istilah dan kosa kata seseorang. Dengan membaca, kita akan dapat memperkaya istilah dan kosa kata kita tidak kira dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris mahupun bahasa lain di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap buku pasti mempunyai banyak kosa kata baharu yang belum pernah kita nampak. Sebagai contoh, jika kita membaca buku yang berkaitan dengan ekonomi, maka kita akan banyak memperoleh istilah dan kosa kata dalam ekonomi seperti defisit, inflasi dan fiskal. Sama juga jika kita membaca buku berkaitan dengan sains, kita akan memperoleh banyak istilah dan kosa kata dalam sains seperti ultraungu, isotonik dan sinaran gama. Buku yang dibaca juga sudah tentu bukan hanya dalam bahasa Melayu, jadi kita juga akan memperoleh istilah dan kosa kata baharu dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Oleh itu, pengetahuan kita mengenai istilah dan kosa kata akan menjadi banyak, maka kebarangkalian untuk kita bingung jika kita mendengar sesuatu kosa kata atau istilah yang jarang digunakan menjadi kecil. Jelaslah bahawa dengan membaca kita akan mengetahui pelbagai kosa kata dan istilah baharu.

Kelunturan Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat Perlu Dipandang Serius

Kesimpulannya, terdapat banyak kebaikan amalan membaca kepada masyarakat. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi menyuburkan lagi amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Pihak kerajaan perlu memperbanyakkan lagi "Kempen Membaca" kepada masyarakat supaya amalan yang mulia ini terus subur dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa juga perlu mendedahkan kepada anak-anak mereka mengenai amalan membaca sejak kecil lagi. Semoga amalan membaca ini terus diamalkan oleh masyarakat terutamanya generasi muda demi masa depan negara yang lebih baik.