Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Mutu Sukan Negara Semakin Merosot
Kini, istilah sukan sudah sinonim dengan seluruh lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira tua ataupun muda. Setiap kali perkataan sukan disebut pasti pemain-pemain sukan terkenal seperti Cristiano Ronaldo, Datuk Lee Chong Wei dan banyak lagi tokoh sukan lain yang terngiang-ngiang di kepala kita. Selain itu, kita juga sering kali teringat dengan sukan bola sepak yang sangat fenomena dengan masyarakat dunia. Dalam hal ini, sukan telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia, bahkan masyarakat dunia di bawah satu bumbung, iaitu pertandingan sukan seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Mutakhir ini juga, kita melihat bahawa sukan ini mampu menjadi industri yang akan menjana ekonomi di peringkat tempatan dan global. Sebagai contoh, penganjuran Piala Dunia Bola Sepak 2018 di Rusia telah menjana keuntungan sebanyak AS $ 5 bilion hasil daripada hak penyiaran dan lain-lain. Melalui sukan juga, kita dapat meningkatkan imej negara di mata dunia seterusnya mempromosikan keunikan negara di peringkat antarabangsa. Namun malangnya kini, mutu sukan di negara kita kelihatan kian merosot kerana jarangnya kemunculan bakat-bakat baharu yang berpotensi dalam arena sukan negara. Sejajar dengan itu, mutu sukan negara haruslah ditingkatkan selaras keperluan semasa sukan untuk mengembalikan kegemilangan negara dalam bidang sukan di peringakat antarabangsa.
Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
1. Menyediakan Infrastruktur Sukan yang Lengkap
Antara langkah yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu sukan negara adalah dengan memastikan infrastruktur sukan yang lengkap disediakan di seluruh negara. Secara asasnya, infrastruktur sukan ini merujuk kepada kemudahan asas sukan seperti gelanggang permainan, padang, kolam renang, balapan, stadium sukan, gym dan sebagainya. Infrastruktur sukan ini amat penting bagi membolehkan bakat-bakat tersembunyi rakyat Malaysia dalam bidang sukan dapat dicungkil. Dalam pada itu, dengan adanya infrastruktur sukan yang lengkap ini, bakat-bakat yang ada pada atlet-atlet negara juga dapat diasah dengan baik, malah kebajikan atlet juga lebih terjaga dengan adanya tempat penginapan dan pusat rawatan khas untuk para atlet. Malangnya, sehingga kini, infrastruktur sukan di negara kita boleh dikatakan sangat tidak lengkap, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Lebih menyedihkan lagi, apabila sekolah-sekolah di negara ini yang sepatutnya lengkap dengan peralatan sukan, namun sayangnya masih banyak lagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sukan. Jadi, bagaimana atlet-atlet yang berbakat ini mampu ditemui jika masih banyak sekolah yang daif dengan kemudahan sukan? Sudah tentu dalam hal ini, hanya individu-individu yang mempunyai akses kepada kemudahan sukan sahaja yang mampu menceburkan diri dalam bidang sukan. Kenyataanya, banyak sahaja individu-individu yang lebih berbakat, namun tidak mempunyai akses kepada kemudahan sukan yang menyebabkan bakat mereka seperti dipinggirkan. Oleh itu, infrastruktur sukan yang lengkap di seluruh negara ini amat penting dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan yang seterusnya mampu meningkatkan mutu sukan negara.
2. Melantik Jurulatih Berwibawa dan Berpengalaman
Selain itu, mutu sukan negara juga dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman. Secara dasarnya, jurulatih merujuk kepada individu yang berpengalaman dan pakar dalam bidang sukan yang diceburinya. Dalam hal ini, negara kita mestilah mengambil jurulatih sama ada dalam atau luar negara yang mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Lebih baik lagi, sekiranya jurulatih yang diambil ini mempunyai pengalaman sebagai seorang atlet. Kriteria ini penting bagi memastikan keupayaan jurulatih tersebut lebih terjamin. Sebagai contoh, dalam hal ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh memberikan latihan kejurulatihan dan melantik Datuk Lee Chong Wei menjadi jurulatih kepada atlet badminton negara. Selain itu, negara juga boleh mengimport jurulatih profesional yang pernah menjadi tunjang utama kepada kelab-kelab bola sepak terkenal di dunia. Hal ini adalah penting bagi memastikan atlet-atlet negara didedahkan kepada latihan-latihan yang diamalkan oleh sang juara dunia. Sehubungan dengan itu, gaji para jurulatih juga haruslah lumayan supaya mereka ingin bekerja di negara kita. Jika gaji yang ditawarkan rendah, maka mereka akan berhijrah ke negara lain yang lebih menghargai kemahiran dan pengalaman yang mereka ada. Oleh itu, peranan jurulatih yang berpengalaman dan berwibawa ini penting dalam meningkatkan mutu sukan negara.
3. Pendedahan Atlet kepada Pertandingan Antarabangsa
Di samping itu, mutu sukan negara juga boleh ditingkatkan dengan mendedahkan atlet-atlet kepada pertandingan yang bertaraf antarabangsa. Walaupun kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara seperti menubuhkan sekolah sukan untuk melahirkan atlet-atlet profesional, namun kelihatannya pencapaian atlet-atlet negara kita ini masih belum memberangsangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pendedahan atlet kepada pertandingan antarabangsa masih kurang. Pendedahan ini amat penting bagi memastikan atlet negara kita tidak mengalami kejutan budaya dan corak permainan yang berbeza yang ditonjolkan oleh atlet-atlet dari negara lain. Kurangnya juga pendedahan atlet negara kepada pertandingan antarabangsa ini menyebabkan mereka tidak mempunyai mental yang kuat dalam menghadapi situasi perlawanan yang memerlukan daya ketahanan mental yang kuat. Sebagai contoh, pemain-pemain bola sepak yang jarang terdedah kepada pertandingan antarabangsa akan mudah jatuh semangat dan putus asa sekiranya ketinggalan jaringan gol walaupun hanya satu jaringan. Bukan itu sahaja, bahkan atlet-atlet sukan lain seperti memanah, terjun, menembak, badminton dan lain-lain juga akan mudah jatuh semangat sekiranya melakukan kesilapan pertama kali yang menyebabkan prestasi mereka bukan seperti semasa latihan. Oleh itu, amat penting bagi negara kita mendedahkan atlet kepada pertandingan antarabangsa bagi memastikan mental mereka sentiasa bersedia semasa berhadapan dengan penonton dan pihak lawan. Bagi merealisasikan hasrat ini, negara kita boleh mengadakan kerjasama dengan negara lain bagi menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara lain. Hal ini sudah tentu akan mendedahkan atlet negara kita kepada budaya dan corak permainan negara-negara lain, terutamanya negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan China. Jelaslah bahawa penglibatan atlet-atlet negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa akan membantu meningkatkan mutu sukan negara.
4. Pengurangan Kerenah Birokrasi
Pengurangan kerenah birokrasi dalam sukan juga merupakan salah satu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Pasti bukan rahsia lagi bahawa birokrasi yang berlaku dalam sukan negara saat ini begitu serius. Umum mengetahui bahawa, kebanyakan persatuan sukan di negara ini seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dinaungi oleh jawatankuasa induk yang dikuasai oleh elit politik. Mereka-mereka yang dipilih secara sebulat suara ini amat mengecewakan rakyat Malaysia kerana menjadikan persatuan tersebut sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Kegairahan mereka dalam memenuhi agenda peribadi menyebabkan pembangunan sukan dan atlet negara bukan menjadi keutamaan mereka. Kedangkalan ilmu mereka mengenai sukan dan perubahan semasa dalam sukan juga menyebabkan pembangunan sukan dan atlet di negara kita terbantut. Dalam hal ini, sangat wajar sekiranya jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan itu dirombak semula dan digantikan dengan bekas-bekas atlet dan jurulatih yang mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam sukan yang mereka ceburi. Hal ini adalah wajar kerana mereka lebih faham mengenai sukan dan mempunyai iltizam untuk melihat sukan negara ke arah yang lebih cemerlang. Jelaslah bahawa kerenah birokrasi dalam sukan ini wajar untuk dibanteras dengan menghapuskan penglibatan tangan-tangan elit politik dalam pengurusan sukan negara.
5. Mencungkil Bakat-bakat Muda
Selain daripada mengurangkan kerenah birokrasi dalam sukan negara, bakat-bakat muda juga perlu dicungkil dari peringkat sekolah lagi. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia haruslah memainkan peranan yang amat penting dalam memcungkil bakat-bakat terpendam para pelajar sekolah. Kita sedia maklum bahawa para pelajar sekolah di seluruh negara mempunyai banyak bakat terpendam dalam bidang sukan, namun bakat itu tidak dapat ditonjolkan oleh mereka kerana kurangnya pendedahan terhadap sukan, malah ada pelajar berbakat yang menganggap sukan tidak penting. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita mendapati bahawa terdapat ramai pelajar yang berbakat dan berpotensi untuk mewaklili negara di peringkat antarabangsa, namun malangnya bakat mereka ini tenggelam begitu sahaja sebaik mereka menamatkan zaman persekolahan. Oleh itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) haruslah mengambil langkah yang signifikan untuk menggilap bakat-bakat muda sehingga mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jelaslah bahawa bakat-bakat sukan ini perlu digilap sejak zaman persekolahan lagi agar kita tidak ketandusan pelapis berbakat dalam bidang sukan.
Mutu Sukan Negara Perlu diperbaiki Segera
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan mutu sukan negara. Kemerosotan mutu sukan negara yang semakin jelas kelihatan sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya berlaku pada usia kemerdekaan negara yang telah menjangkau enam dekad. Hal ini dikatakan demikian kerana, mutu sukan negara ini adalah melibatkan maruah negara di peringkat antarabangsa. Kejayaan atlet-atlet negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Azizulhasni Awang ini sepatutnya menjadi pembuka jalan kepada kelahiran atlet-atlet baharu yang bertaraf antarabangsa. Oleh itu, menjadi satu kewajiban kepada mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan sukan negara untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memastikan mutu sukan negara sentiasa meningkat. Pelbagai formula dan strategi perlu dirangka berlandaskan keperluan semasa sukan untuk memastikan sukan negara kita tidak ketinggalan jauh ke belakang. Semoga usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam bidang sukan akan dapat membantu meningkatkan mutu sukan negara ke arah yang lebih cemerlang.