Punca Kemalangan Jalan Raya
Karangan Punca Kemalangan Jalan Raya
Punca Kemalangan Jalan Raya |
Sejak akhir-akhir ini, kes kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi di negara kita. Setiap hari ada sahaja kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan oleh media arus perdana. Lebih menyayat hati lagi, apabila kebanyakan kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan oleh media ini begitu tragis sehingga menyebabkan kebanyakan pembaca mengalirkan air mata. Sebagai contoh, kita acapkali mendengar berita mengenai kes kemalangan jalan raya di negara ini yang menyebabkan seorang bayi menjadi sebatang kera akibat kesemua keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian, bahkan ada juga bayi yang terkeluar daripada kandungan ibunya. Bukan itu sahaja, malah kini semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan ringan dengan kenderaan berat yang menyebabkan kenderaan ringan tersebut hancur dengan sungguh tragis. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun lalu sahaja, iaitu dari bulan Januari hingga September tahun 2021, sebanyak 255,532 kes nahas jalan raya direkodkan yang melibatkan 3,302 kes kematian. Hal ini menyebabkan orang ramai tertanya-tanya mengenai punca utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya ini boleh berlaku. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai punca kemalangan jalan raya di negara kita.
Punca Kemalangan Jalan Raya di Malaysia
1. Sikap Pengguna Jalan Raya
Antara punca kemalangan jalan raya di negara kita ialah sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Tentu sahaja kita seringkali melihat pemandu kenderaan yang dengan sengaja melanggar lampu isyarat kerana ingin mencabar pihak berkuasa, malah ada yang menganggap lampu isyarat tersebut hanya membuang masanya sehinggakan menyebabkan nyawa orang lain turut melayang. Selain itu, terdapat juga pemandu kenderaan yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan kerana ingin mempamerkan kebolehannya kepada orang lain dan semata-mata demi kepuasan dirinya. Hal ini seringkali mendorong individu tersebut untuk memotong kenderaan lain di garisan berkembar. Akibatnya, kenderaan yang dipandu oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab ini hilang kawalan lalu terbabas. Lebih malang lagi, sekiranya kenderaan yang hilang kawalan ini turut bertembung dengan kenderaan lain yang akan meningkatkan lagi kebarangkalian kehilangan nyawa. Bukan itu sahaja, malah lebih parah lagi ada yang menjadikan jalan raya ini sebagai medan perlumbaan. Tentu hal ini tidak asing lagi bagi kita apabila kita seringkali dihidangkan dengan aktiviti lumba haram yang diistilahkan sebagai merempit dan basikal lajak. Dalam hal ini, aktiviti lumba haram ini juga telah banyak meragut nyawa. Jelaslah bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab itu sendiri yang telah menyumbang sebahagian besar kepada kes kemalangan jalan raya di Malaysia.
2. Keadaan Fizikal Jalan Raya
Selain itu, keadaan fizikal jalan raya yang kurang baik juga menjadi punca kemalangan jalan raya di negara kita. Kebanyakan jalan raya di negara kita rosak kerana jarang diselenggara. Sebagai contoh, banyak jalan raya terutamanya di Sabah yang berlubang-lubang kerana tidak diselenggara oleh pihak berkuasa. Hal ini telah meningkatkan risiko kenderaan hilang kawalan dan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya berlaku. Tentu sekali kita masih lagi mengingat perisitiwa di mana Khairy Jamaluddin yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi mengalami kemalangan kecil semasa menunggang basikal di atas jalan raya kerana jalanya yang berlubang. Selain itu, kita juga seringkali melihat berita-berita di media sosial mengenai kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh jalan yang berlubang. Tentu sahaja dalam hal ini, kenderaan beroda dua seperti basikal dan motosikal yang lebih berisiko mengalami kemalangan. Namun begitu, kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh jalan yang berlubang ini juga boleh mengundang kematian. Dalam hal ini, keadaan jalan raya yang beralun, bengkang-bengkok atau di kawasan bukit juga meningkatkan kadar kemalangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, keadaan fizikal jalan raya yang sebegini akan menyebabkan kenderaan lebih mudah untuk hilang kawalan, apalagi jika ia dipandu dalam kelajuan yang tinggi. Keadaan fizikal jalan raya yang seperti ini juga akan meningkatkan risiko kemalangan kepada kenderaan berat yang membawa muatan kerana kesan inersia kenderaan tersebut. Sebagai contoh, jalan raya yang bengkang-bengkok akan meningkatkan risiko kenderaan berat seperti lori akan terbalik. Jelaslah bahawa keadaan fizikal jalan raya yang kurang baik memingkatkan risiko kemalangan jalan raya di Malaysia.
3. Pengaruh Alkohol dan Dadah
Di samping itu, pengaruh alkohol dan dadah juga menjadi salah satu punca kemalangan jalan raya di negara kita. Banyak pemandu terutamanya di bandar-bandar besar yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk. Hal ini menyebabkan mereka tidak mampu mengawal kenderaan dengan baik kerana tidak mampu untuk fokus memandu. Keadaan yang seperti ini seringkali menyebabkan mereka terbabas dan melanggar kenderaan lain. Ditambah lagi sekiranya, mereka memandu dalam keadaan mabuk selepas tengah malam. Tidak kurangnya juga, terdapat pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah. Keadaan ini menyebabkan pemandu tersebut memandu secara melulu dan tidak mengendakan peraturan jalan raya sehinggakan mengundang kepada kemalangan jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana, pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah ini tidak boleh berfikiran secara waras. Bak kata orang, mereka sedang berada dalam alam imaginasinya. Dalam bahasa lain, pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah ini mudah beremosi. Sebagai contoh, sekiranya terdapat kenderaan yang menghalang jalan mereka, maka mereka tidak akan berat hati untuk merempuh kenderaan tersebut. Jelaslah bahawa memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol ini amat besar risikonya untuk mengalami kemalangan.
4. Keadaan Cuaca
Kes Kemalangan jalan raya di Malaysia juga berlaku disebabkan oleh keadaan cuaca. Hal ini dikatakan demikian kerana, cuaca yang kurang baik seperti hujan lebat akan menyebabkan jalan menjadi licin. Keadaan jalan yang licin ini akan menyebabkan kenderaan lebih sukar untuk dikawal, lebih-lebih lagi sekiranya dipandu dalam keadaan yang laju. Lebih menyedihkan lagi, apabila banyak kenderaan di Malaysia yang menggunakan tayar yang sudah botak. Hal ini meningkatkan lagi risiko berlakunya kemalangan jalan raya semasa musim hujan kerana tayar yang botak sudah tidak mampu mencengkam permukaan jalan dengan sempurna. Selain itu, jerebu juga akan sangat mengganggu penglihatan pemandu, di mana semasa jerebu jarak penglihatan pemandu sangat terhad. Hal ini sering menyebabkan pemandu melanggar kenderaan lain di hadapannya kerana tidak mampu melihat dengan jelas. Oleh itu, semasa jerebu semua kenderaan bergerak dengan sangat perlahan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya. Jelaslah bahawa, keadaan cuaca yang tidak baik juga menjadi punca kemalangan jalan raya di negara kita.
5. Musim Perayaan
Selain daripada keadaan cuaca yang tidak baik, kes kemalangan jalan raya juga meningkat pada musim perayaan dan cuti umum. Kebiasaanya pada musim perayaan bilangan kenderaan di atas jalan raya akan bertambah dengan drastik. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan orang berpunsu-punsu ingin pulang ke kampung pada masa tersebut. Keadaan ini menyebabkan jalan raya menjadi sangat sesak dan pergerakan kenderaan pun terlalu perlahan. Oleh itu, banyak pemandu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam menyebabkan mereka keletihan dan kehilangan fokus untuk memandu sehinggakan mengundang kepada kemalangan jalan raya. Dalam pada itu, banyak juga pengguna jalan raya yang ingin cepat sampai ke destinasi pada musim perayaan kerana tidak sabar bertemu dengan sanak saudara. Hal ini menyebabkan mereka memandu dengan kelajuan yang maksimum di atas jalan raya yang tidak sesak. Selain itu, terdapat juga pengguna jalan raya yang mengambil keputusan untuk bergerak pada pagi-pagi buta dari tempat kediaman ke destinasi yang ingin dituju. Hal ini menyebabkan terdapat pemandu yang tidak cukup tidur semasa memandu sehinggakan boleh mengundang kepada berlakunya kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, pasti jalan raya dipenuhi dengan kenderaan sehinggakan menyebabkan jalan terlalu sesak. Pada hari yang mulia ini juga, kita pasti dikejutkan dengan pelbagai kes kemalangan yang menyayat hati, di mana terdapat kes kemalangan yang menyebabkan sekeluarga yang ingin pulang ke kampung halaman meninggal dunia dengan sungguh tragis. Jelaslah bahawa musim perayaan atau cuti umum juga menyebabkan banyak berlakunya kes kemalangan jalan raya.
Penutup Karangan Punca Kemalangan Jalan Raya
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca kemalangan jalan raya di negara kita. Kes-kes kemalangan jalan raya ini telah meragut banyak nyawa manusia yang tidak berdosa. Dalam pada itu, ia juga telah menghancurkan hati mereka yang kehilangan ahli keluarga yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya. Lebih menyedihkan lagi, apabila individu yang sepatutnya bertanggungjawab kepada berlakunya kes kemalangan jalan raya tersebut menunjukkan reaksi seperti tidak bersalah kepada keluarga mangsa kemalangan yang meninggal dunia. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah menguatkuasakan lagi undang-undang jalan raya bagi membanteras individu-individu yang mengingkari peraturan jalan raya. Dalam hal ini juga, pihak kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang signifikan dalam memberikan peruntukan untuk menyelenggara jalan-jalan raya yang telah rosak. Semoga kes kemalangan jalan raya di negara kita akan semakin berkurang dari tahun ke tahun.