Cara Mengatasi Buli Siber

Cara mengatasi buli siber

Buli Siber di Era Digital

Pada era perkembangan media sosial ini, buli siber semakin menjadi-jadi. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita seringkali melihat buli-buli siber ini berlaku di internet melalui komen-komen di media sosial. Sebagai contoh, setiap gambar yang dimuat naik oleh seseorang di media sosial pasti akan menerima kecaman walaupun gambar tersebut hanya berkisarkan tentang kenangan percutian. Bukan itu sahaja, terdapat juga video-video di media sosial yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah seseorang. Hal ini sangat membimbangkan jika dibiarkan terlalu lama kerana ia boleh membawa kepada masalah mental, malah boleh mengundang kematian. Jika dibandingkan dengan buli fizikal, buli siber ini lebih berbahaya kerana pelaku buli di alam maya ini sangat sukar untuk dikenal pasti. Pada hakikatnya, buli siber ini perlu diatasi secepat mungkin sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat.

Cara Mengatasi Buli Siber

1. Pemantauan Ibu Bapa

Antara langkah untuk mengatasi buli siber adalah melalui pemantauan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu mengawasi penggunaan media sosial oleh anak-anak mereka. Anak-anak berani melakukan buli siber ini kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka tidak memantau mereka. Oleh itu, mereka berasa bebas untuk melakukan buli siber kepada individu yang tidak disukai. Sebagai contoh, sekiranya mereka tidak menyukai rakan sekelas mereka, maka mereka akan berasa bebas untuk mempermalukan rakan mereka tersebut di media sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka berasa sangat yakin bahawa perbuatan jahat mereka tersebut tidak akan diketahui oleh orang lain termasuk ibu bapa yang rapat dengan mereka. Oleh itu, dengan adanya pemantauan oleh ibu bapa ini, anak-anak tidak mempunyai masa untuk melakukan buli siber kerana penggunaan media sosial dikawal oleh ibu bapa termasuk aktiviti anak-anak di dalam media sosial. Jelaslah bahawa pemantauan oleh ibu bapa terhadap anak-anak ini dapat mengelakkan berlakunya buli siber.

2. Kempen

Selain itu, buli siber juga boleh diatasi melalui kempen mengenai buli siber yang diadakan oleh pihak kerajaan. Bagi menjayakan kempen ini, pihak kerajaan perlulah mengadakan ceramah, wawancara dan forum mengenai kesan, tanda-tanda dan cara menghindarkan diri daripada buli siber. Selain itu, video-video pendek mengenai buli siber dan cara mengatasi juga perlu disiarkan di media sosial dan media arus perdana. Hal ini dikatakan demikian supaya masyarakat sedar akan bahayanya buli siber. Ibu bapa juga akan lebih peka terhadap anak mereka terutamanya jika terdapat tanda-tanda yang memungkinkan anak mereka mengalami buli siber. Kempen ini sangat penting untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa seriusnya masalah buli siber ini memandangkan kebanyakan individu menganggap perkara ini remeh-temeh. Dengan adanya kempen ini, masyarakat akan lebih faham untuk melindungi diri mereka sendiri daripada terdedah kepada buli siber. Jelaslah bahawa kempen mengenai buli siber mampu menyedarkan masyarakat untuk bekerjasama mengurangkan buli siber.

3. Mengurangkan Penggunaan Media Sosial

Di samping itu, buli siber juga boleh diatasi dengan cara mengurangkan penggunaan media sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan media sosial yang tidak terkawallah yang mengundang kepada buli siber. Semakin kerap seseorang itu  bermain media sosial, maka semakin besar kemungkinan dia akan menjadi mangsa buli siber. Pembuli siber akan sukar membuli individu yang jarang bermain media sosial kerana data peribadinya tidak banyak di media sosial sedangkan orang yang kerap bermain media sosial sudah tentu banyak data peribadinya di media sosial. Sebagai contoh, individu yang kerap bermain media sosial ini lebih cenderung memuat turun gambarnya dan segala aktivitinya di media sosial. Hal ini memberi peluang kepada pembuli siber untuk membulinya. Oleh itu, dengan mengurangkan aktiviti di media sosial, risiko untuk seseorang itu menjadi mangsa buli siber akan semakin kecil. Jelaslah bahawa pengurangan penggunaan media sosial akan membantu mengurangkan buli siber.

4. Melaporkan Kepada Pihak Berkuasa

Buli siber juga dapat diatasi dengan melaporkan aktiviti tersebut kepada pihak berkuasa. Sekiranya kita merasa kita menjadi mangsa buli siber segeralah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Sebagai contoh, jika kita diugut di media sosial, kita perlu segera mengumpukan bukti dan melaporkannya kepada pihak polis. Jika kita diugut melalui komen di Facebook, kita perlu mengambil tangkapan layar komen ugutan tersebut dan membawanya bersama semasa membuat laporan polis. Kita jangan sesekali memandang remeh hal-hal sebegini atau memandai-mandai untuk membuat tindakan sendiri. Laporan polis ini penting dibuat untuk keselamatan diri kita dan mengurangkan tekanan akibat daripada ugutan tersebut. Selain itu, hal ini juga akan menyebabkan pembuli tersebut takut untuk terus membuli kita kerana takut dapat dikesan oleh pihak polis. Jelaslah bahawa aktiviti buli siber ini dapat dikurangkan, jika ia dilaporkan kepada pihak berkuasa.

5. Penguatkuasaan Undang-undang

Selain daripada melaporkan buli siber kepada pihak berkuasa, buli siber juga dapat diatasi melalui penguatkuasaan undang-undang. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu sentiasa memantau aktiviti pengguna internet di Malaysia. Mereka juga perlu lebih kerap lagi memantau kegiatan rakyat Malaysia di media sosial seperti Facebook, Youtube, Tiktok dan sebagainya kerana platform ini merupakan tempat yang kerap berlakunya buli siber. Sekiranya mereka mendapati terdapat unsur-unsur buli siber mereka perlu segera mengambil tindakan terhadap pembuli tersebut. Mereka perlu menyiasat dengan menggunakan segala kepakaran yang mereka ada untuk mencari bukti kukuh dan segera membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Pembuli siber ini pula perlu dijatuhkan hukuman yang berat seperti penjara lima tahun dan denda RM1 juta. Dengan cara ini masyarakat akan takut untuk melakukan buli siber. Oleh itu, masalah buli siber ini akan berkurangan. Jelaslah bahawa melalui penguatkuasaan undang-undang, masalah buli siber akan dapat diatasi dengan jayanya.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah buli siber dalam kalangan masyarakat. Masalah ini perlu dibendung dengan segera kerana ia akan mendatangakan pelbagai kesan yang negatif kepada masyarakat. Masalah ini bukan saja boleh menyebabkan tekanan mental, malah boleh mengakibatkan mangsanya membunuh diri. Hal ini sudah pastinya berdampak secara langsung kepada golongan remaja yang menjadi tulang belakang kepada negara. Kita tidak mahu negara kita ini dipenuhi dengan pembuli-pembuli yang tidak bermoral dan orang-orang yang sakit mental kesan daripada masalah buli siber ini. Semoga masalah buli siber di negara kita ini dapat diatasi dengan segera demi masa depan negara yang lebih cerah.