Huraikan Struktur Golongan Pemerintah di Tanah Melayu Sebelum Campur Tangan Kuasa Barat pada Tahun 1874

Struktur Golongan Pemerintah di Tanah Melayu tahun 1874

Soalan :
Huraikan struktur golongan pemerintah di Tanah Melayu sebelum campur tangan kuasa Barat pada tahun 1874.

Golongan Pemerintah di Tanah Melayu Sebelum Campur Tangan Kuasa Barat 1874

Masyarakat Melayu tradisional merupakan sebuah masyarakat feudal dan mempunyai hierarki yang dibahagikan kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri kepada raja atau sultan, kerabat diraja, pembesar, ulama, pendeta dan penghulu. Bilangan golongan pemerintah ini sedikit dalam masyarakat tetapi mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Masyarakat akan memberikan penghormatan dan ketaatan kepada golongan ini berdasarkan taraf dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Golongan pemerintah ini merupakan tunjang utama kepada kelangsungan kerajaan kesultanan Melayu di Tanah Melayu.

Struktur Golongan Pemerintah di Tanah Melayu 1874

1. Raja/ Sultan

Dalam golongan pemerintah, raja atau sultan merupakan pemerintah tertinggi dalam pentadbiran negeri. Baginda dibantu oleh kerabat dan para pembesar dalam pemerintahan. Baginda mempunyai kuasa dan kewibawaaan dalam pentadbiran dan pemerintahannya di seluruh negeri. Baginda juga merupakan lambang perpaduan negeri. Selain itu, raja atau sultan juga berkuasa mutlak terhadap rakyat jelata dan rakyat wajib menghormatinya. Sesiapa yang ingkar akan dianggap menderhaka dan akan dikenakan hukuman yang sangat berat dan dipercayai akan menerima balasan buruk. Konsep daulat digunakan bagi menjadikan seseorang raja lebih mulia dan dianggap mempunyai kuasa dan kewibawaan yang mutlak. Jawatan raja atau sultan ini diwarisi oleh anak lelaki raja daripada permaisurinya yang sah.

2. Anak Raja dan Kerabat Diraja

Seterusnya, kedudukan selepas raja atau sultan ialah anak raja dan kerabat diraja, iaitu mereka yang berketurunan raja yang bergelar "Raja" dan "Tengku". Anak raja ini tidak semestinya putera dan puteri raja yang memerintah tetapi mereka juga boleh terdiri daripada mereka yang berketurunan raja. Golongan anak raja ini sedikit tetapi mereka mempunyai kuasa tertentu apabila diberi sesuatu tugas rasmi negeri. Terdapat juga putera raja yang dilantik menjadi pembesar daerah. Anak raja ini menikmati keistimewaan seperti raja tetapi tidak boleh mengatasi keistimewaan raja sebagai ketua pemerintah.

3. Golongan Bangsawan dan Pembesar

Selanjutnya, golongan bangsawan dan pembesar yang terdiri daripada kerabat diraja dan para pembesar yang amat berpengaruh dalam pemerintahan dan pentadbiran. Kebiasaannya, pembesar menjadi pentadbir, iaitu membantu raja dalam urusan pentadbiran. Mereka juga menjadi penasihat dan pembesar di daerah-daerah tertentu. Pembesar ini dilantik oleh raja melalui pemberian surat tauliah. Pemilihan pembesar ditentukan oleh zuriat keturunannya. Kebiasannya, mereka terdiri daripada anak lelaki dan sanak saudara sebelah bapa kepada pembesar terdahulu. Para pembesar diberi hak mentadbir sesuatu daerah dengan kekuatannya sendiri tanpa sokongan daripada sultan. Mereka bertindak seperti seorang raja di dalam daerahnya sendiri.

4. Golongan Ulama dan Pendeta

Kedudukan seterusnya ialah golongan ulama dan pendeta, iaitu golongan yang dianggap cerdik pandai pada ketika itu. Mereka ini menjadi rujukan untuk perkara-perkara tertentu. Golongan ulama pakar dalam bidang agama. Mereka ini mempunyai kedudukan yang istimewa dan sangat berpengaruh dalam masyarakat. Golongan ini terdiri daripada mereka yang berketurunan Arab-Melayu. Mereka menggunakan gelaran seperti maulana, makhdum dan kadi. Mereka sangan berperanan dalam menyebarkan agama Islam. Mereka juga dilantik menjadi guru, ketua agama, kadi, penasihat sultan dan kerajaan terutamanya dalam hukum syarak dan mengeluarkan fatwa agama. Mereka juga menjadi imam, khitab dan jurunikah. Seterusnya, golongan pendeta pula ialah golongan yang pakar dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja. Oleh itu, golongan ini sering menjadi rujukan raja dan istana, penulis dan perawi raja.

5. Penghulu

Di samping itu, golongan yang berada pada kedudukan paling bawah dalam golongan pemerintah ialah penghulu. Penghulu ialah ketua pentadbir di peringkat kampung yang dilantik dalam kalangan rakyat biasa. Penghulu menjadi pengantara antara rakyat biasa dengan pembesar. Penghulu mempunyai pengaruh dan berkuasa penuh terhadap anak-anak buahnya. Antara peranan penghulu adalah menyelesaikan pertikaian dalam kalangan anak buah, memelihara keamanan kampung, memtadbir kampung dan menjadi lambang perpaduan kampung.

Penutup

Kesimpulannya, struktur golongan pemerintah di Tanah Melayu sebelum campur tangan Barat jelas dan berasakan sistem tradisional. Ia terdiri daripada raja atau sultan, kerabat diraja, pembesar, ulama, pendeta dan penghulu. Setiap mereka ini memainkan peranan yang penting dalam sistem pemerintahan tempatan sama ada di peringkat pusat, wilayah, daerah atau mukim. Keadaan ini berubah apabila berlakunya campur tangan British di negeri Perlis, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.