Kebaikan dan Kesan Negatif Kemajuan Sektor Pelancongan

Kebaikan dan Kesan Negatif Kemajuan Sektor Pelancongan

Kemajuan Sektor Pelancongan di Malaysia

Negara kita merupakan salah sebuah negara yang cukup terkenal dengan kemajuan sektor pelancongannya. Oleh itu, negara kita menjadi tumpuan pelancong-pelancong dari luar negara seperti Eropah dan Asia. Menurut laporan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, pelancong asing yang datang ke negara kita pada tahun 2019 adalah sekitar 2.8 juta orang. Pelancong asing suka mengunjungi Malaysia kerana terdapat banyak tempat-tempat menarik dan unik yang hanya ada di Malaysia. Sebagai contoh, Pulau Langkawi, Gunung Kinabalu, Pulau Tioman, Kampung Budaya Sarawak dan sebagainya. Kedatangan pelancong asing ke negara kita ini bukan sahaja membawa banyak kebaikan kepada negara dan rakyat, malah turut membawa kesan negatif.

Kebaikan Kemajuan Sektor Pelancongan

1. Meningkatkan Pendapatan Negara

Antara kebaikan kemajuan sektor pelancongan kepada negara termasuklah dapat meningkatkan pendapatan negara. Pelancong asing yang datang ke Malaysia ini sudah tentu akan mengeluarkan sejumlah wang untuk membiayai kos penginapan, pengangkutan, makanan dan sebagainya. Hal ini sudah pasti akan meningkatkan pendapatan negara melalui pengenaan cukai kepada syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong asing terutamanya industri perhotelan dan pengangkutan. Dengan ini, bukan sahaja industri pelancongan dan pengangkutan yang memperoleh keuntungan daripada kemajuan sektor pelancongan ini, malah kerajaan juga turut mendapat manfaatnya. Semakin tinggi keuntungan yang diperolehi syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada pelancong asing, semakin tinggi manfaat yang diperolehi kerajaan.

2. Membuka Banyak Peluang Pekerjaan

Selain itu, kemajuan sektor pelancongan juga membuka banyak peluang pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak industri yang berkaitan dengan pelancongan memerlukan banyak pekerja terutamanya industri pelancongan dan pengangkutan. Jumlah pekerja yang mencukupi dalam sektor pelancongan ini penting untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelancong semasa mengunjungi Malaysia. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kekurangan pekerja dalam industri perhotelan, maka pengurusan hotel akan terganggu yang menyebabkan pelancong tidak selesa menginap di hotel tersebut. Hal ini memberikan imej yang buruk kepada Malaysia. Kekurangan pekerja dalam sektor pengangkutan juga memberikan gambaran buruk kepada Malaysia kerana ia menyukarkan pergerakan pelancong asing dari suatu tempat ke tempat lain. Oleh itu, jelaslah bahawa sektor pelancongan ini menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

3. Mewujudkan Kawasan Baharu yang Lebih Baik

Di samping itu, kemajuan sektor pelancongan juga mewujudkan kawasan baharu yang lebih baik. Melalui sektor pelancongan, kawasan-kawasan di pedalaman yang berpotensi menjadi tumpuan pelancong asing akan dibangunkan bagi tujuan aktiviti pelancongan. Dengan ini, kawasan-kawsan tersebut akan menerima pelbagai manfaat daripada aktiviti pembangunan ini. Kawasan-kawasan ini akan mendapat kemudahan bekalan elektrik, air, jaringan jalan raya, peluang pekerjaan dan sebagainya. Kawasan-kawasan di sekitarnya juga turut menerima manfaat yang sama. Penduduk di kawasan tersebut juga dapat menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan yang berfokus kepada pelancong asing.

Kesan Negatif Kemajuan Sektor Pelancongan

4. Terpengaruh dengan Budaya yang Bertentangan dengan Budaya Timur

Kemajuan sektor pelancongan juga turut memberikan kesan negatif kepada negara. Kemajuan sektor pelancongan menyebabkan rakyat Malaysia terpengaruh dengan budaya yang bertentangan dengan budaya timur. Rakyat di negara ini akan terdedah dengan budaya berpakaian separuh bogel di pantai dan amalan bercium-ciuman di khalayak ramai yang jelas bertentangan dengan norma di Malaysia yang dibawakan oleh pelancong asing. Selain itu, rakyat turut terpengaruh dengan budaya bermabuk-mabukan di pantai sambil melakukan adegan-adegan yang tidak sepatutnya. Hal ini sudah pastinya akan membawa pengaruh buruk kepada rakyat di negara ini terutamanya golongan remaja.

5. Meningkatkan Kadar Jenayah

Selain daripada terpengaruh dengan budaya yang tidak baik, kemajuan sektor pelancongan turut meningkatkan kadar jenayah di negara ini. Terdapat pelancong asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka ke Malaysia dengan melakukan kegiatan jenayah di negara ini. Misalnya, mereka terlibat dalam aktiviti pelacuran dan menjadi Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO). Selain itu, terdapat juga pelancong asing yang sengaja melancong ke Malaysia untuk melarikan diri daripada kegiatan jenayah yang dilakukannya di negara asal dan menjalankan kegiatan jenayahnya di Malaysia. Hal ini seringkali dilaporkan oleh media tempatan. Pelancong-pelancong asing dari China juga kerap melakukan jenayah di Malaysia terutamanya jenayah judi haram dan kegiatan "scam" yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa. Jelaslah, sektor pelancongan turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Kemajuan Sektor Pelancongan Malaysia Perlu Ditambah Baik

Kesimpulannya, kemajuan sektor pelancongan ini mempunyai banyak manfaat dan juga keburukannya. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam memajukan sektor pelancongan di negara ini. Dalam masa yang sama, kesan negatif daripada kemajuan sektor pelancongan ini juga perlu ditangani. Oleh itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh pelancongan asing. Pihak kerajaan juga perlu merangka dasar-dasar pelancongan untuk memastikan manfaat dan kesan negatif daripada sektor pelancongan ini seimbang. Dengan ini, diharapkan supaya Malaysia semakin terkenal di mata dunia melalui sektor pelancongan.