Manfaat Amalan Menabung
Manfaat Amalan Menabung |
Amalan Menabung Semakin Pudar
"Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit" merupakan peribahasa yang sering dikaitkan dengan amalan menabung. Amalan menabung merupakan satu perbuatan menyimpan wang di dalam tabung ataupun bank untuk digunakan di kemudian hari. Namun begitu, amalan menabung ini sudah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya, golongan muda. Hal ini disebabkan oleh kurangnya didikan ibu bapa terhadap anak-anak mengenai amalan menabung. Hal ini sangat menyedihkan kerana amalan menabung ini mempunyai banyak manfaatnya kepada masyarakat.
Manfaat Amalan Menabung
1. Dapat Menyambung Pengajian ke Peringkat Universiti
Antara manfaat amalan menabung termasuklah, para pelajar dapat menyambung pengajian ke peringkat universiti menggunakan wang tabungan. Hal ini dikatakan demikian kerana kos untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti amat tinggi. Bagi golongan yang tidak berkemampuan, sudah pasti tidak akan mampu untuk membiayai segala kos pengajian tanpa membuat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau mendapat tajaan biasiswa. Jika kita menabung, kita dapat menampung sebahagian daripada kos pengajian di universiti ataupun perbelanjaan lain seperti sewa rumah. Hal ini akan mengurangkan bebanan hutang pelajar apabila tamat pengajian nanti. Oleh itu, amalan menabung dapat mengurangkan masalah kewangan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
2. Dapat Menghadapi Masa-masa Kecemasan
Selain itu, amalan menabung juga membolehkan kita dapat menghadapi masa-masa kecemasan. Wang tabungan ini boleh bertindak sebagai dana kecemasan. Dana kecemasan ini sangat penting kepada seseorang terutamanya, individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan merupakan satu dana yang disimpan untuk membiayai perbelanjaan di luar jangkaan. Tiada sesiapa pun yang dapat menjangka nasib seseorang. Misalnya, kita tidak dapat dapat menjangka kejadian buruk yang akan menimpa diri dan keluarga kita seperti kemalangan, bencana alam dan sebagainya. Oleh itu, dengan wang tabungan, kita tidak perlu risau lagi untuk masa-masa kecemasan yang memerlukan wang yang banyak. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi masa-masa kecemasan yang tidak dapat dijangka.
3. Melahirkan Insan yang Berjimat cermat
Di samping itu, amalan menabung dapat melahirkan insan yang berjimat cermat. Pasti kita sedia maklum bahawa di luar sana terdapat banyak individu yang mengalami kesempitan wang. Hal ini berlaku kerana mereka tidak mengamalkan amalan menabung sebaliknya, mereka mengamalkan sikap boros dalam berbelanja. Sikap boros ini akan menyebabkan mereka mengikat perut pada akhir bulan. Hal ini tidak berlaku sekiranya mereka mengamalkan amalan menabung. Dengan menabung, kita akan lebih mengutamakan barang keperluan berbanding dengan kehendak. Hal ini dikatakan demikian kerana orang yang menabung akan sentiasa ingin konsisten dalam menabung. Oleh itu, mereka akan sentiasa berjimat-cermat terutamanya dalam berbelanja.
4. Untuk Kelangsungan Hidup pada Hari Tua
Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup seseorang pada hari tua nanti. Pada hari tua nanti, kita hanya bergantung hidup kepada wang simpanan dan duit pencen. Semakin banyak wang simpanan, semakin selesa hidup kita di hari tua. Hal ini dikatakan demikian kerana wang simpanan ini akan membantu kita bebas daripada masalah kewanagan. Seseorang yang menabung lebih awal akan mempunyai wang simpanan yang lebih banyak untuk hari tuanya. Selain itu, wang simpanan ini juga penting digunakan untuk kos perubatan. Wang simpanan yang kita ada ini akan menentukan bentuk rawatan yang akan kita dapat apabila kita sakit di usia tua nanti sama ada baik ataupun buruk. Jelaslah bahawa amalan menabung ini penting untuk kelangsungan hidup seseorang pada hari tua nanti.
5. Dapat Mengawal Inflasi
Selain daripada dapat menjamin kelangsungan hidup seseorang, amalan menabung juga dapat mengawal inflasi. Inflasi merupakan satu keadaan di mana tingkat harga umum meningkat secara berterusan. Inflasi berlaku kerana terlalu banyak wang yang mengejar barang yang sedikit. Oleh itu, dengan amalan menabung, kita dapat mengurangkan permintaan terhadap barang kerana kita ingin berjimat-cermat supaya dapat menabung dengan konsisten. Apabila permintaan terhadap barang menurun maka, tingkat harga umum juga akan menurun. Oleh itu, permintaan dan penawaran barang di pasaran menjadi seimbang. Dengan ini, inflasi tidak akan berlaku kerana wang yang ingin dibelanjakan oleh pengguna seimbang dengan barang yang ada di pasaran. Jelaslah bahawa amalan menabung dapat mengawal inflasi.
Penutup
Kesimpulannya, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada manusia. Oleh itu, amalan menabung ini mestilah diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pihak kerajaan dan pihak swasta haruslah bekerjasama untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan generasi muda. Kalau bukan kita yang amalkan amalan menabung ini, siapa lagi? Kalau bukan sekarang kita mula menabung, bila lagi? Semoga amalan menabung ini semakin sebati dengan masyarakat di Malaysia.
Sumber : Pendidik Jalanan