SEJARAH DUNIA: Faktor Perkembangan Kegiatan Perindustrian di Jerman

Contoh soalan Perkembangan Kegiatan Perindustrian di Jerman

Penyatuan Jerman telah membawa kepada perkembangan kegiatan perindustrian di negara tersebut pada abad ke-19 hingga ke-20 Masihi. Bincangkan.

Faktor Perkembangan Kegiatan Perindustrian di Jerman

            Revolusi perindustrian di Jerman berlaku pada tahap kedua selepas Revolusi Industri di England pada tahun 1860-an hingga tahun 1914. Revolusi Industri tahap kedua yang berlaku di Jerman ini menunjukkan berlakunya perkembangan yang pesat dalam kegiatan perindustrian pada akhir abad ke-19. Penyatuan Jerman berlaku pada tahun 1871 apabila Otto Von Bismack telah bertindak untuk menyatukan Jerman melalui pelbagai kaedah khususnya melalui pendekatan realpolitik. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan penyatuan Jerman ini telah menjadi penyumbang utama kepada kemajuan kegiatan perindustrian di Jerman. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan yang aman akan menjadikan kegaiatan perindustrian boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Walau bagaimanapun terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang kepada perkembangan kemajuan kegiatan perindustrian di Jerman seperti penghapusan sistem guild, penubuhan kartel, penubuhan institusi kewangan dan kredit, kekayaan bahan mentah dan beberapa lagi faktor lain.

            Faktor utama yang mencetuskan perkembangan kegiatan perindustrian di jerman pada abad ke-19 hingga ke-20 adalah penyatuan Jerman oleh Otto Von Bismack pada tahun 1871. Penyatuan Jerman ini telah membawa iklim politik yang stabil setelah Jerman berjaya mengalahkan musuh-musuh politiknya iaitu Austria dan Perancis. Keadaan aman ini menyebabkan kerajaan Jerman dapat mewujudkan keseragaman dari segi mata wang, sistem timbang dan sukat, sistem cukai dan sistem perundangan. Kestabilan politik juga meyebabkan kerajaan dapat menyediakan kemudahan perkhidmatan pengangkutan seperti kereta api dan jalan raya serta kmudahan komunikasi seperti telegraf. Penyediaan kemudahan-kemudahan seperti ini menjadikan kegiatan industri di Jerman berjalan dengan lancar. Misalnya, penyediaan kadar perkhidmatan kereta api yang murah ini membantu para pengusaha industri memperoleh bahan mentah dengan mudah sekaligus merangsang pertumbuhan kegiatan perindustrian di Jerman. Oleh itu, jelaslah bahawa penyatuan Jerman oleh Otto Von Bismack telah meyebabkan Jerman muncul sebagai negara industri yang unggul.

            Selain itu, perkembangan kegiatan perindustrian di Jerman juga didorong oleh penghapusan sistem guild selepas penyatuan Jerman. Sistem guild ini merupakan persatuan pengusaha atau pedagang yang saling membantu sesama sendiri. Kewujudan sistem guild ini terhad di bandar-bandar tertentu di Jerman dan mereka menjalankan kegiatan monopoli dalam ekonomi serta memiliki keistimewaan tertentu. Menurut sistem ini, seseorang yang ingin terlibat dalam perdagangan perlu memerolehi dahulu kemahiran daripada guild sebelum boleh berdagang. Sebelum penyatuan Jerman pada tahun 1871 oleh Otto Von Bismack, sistem guild ini menyekat kebebasan pedagang untuk menjalankan aktiviti perdagangan kerana mereka perlu memperolehi pengalaman beberapa tahun dahulu dalam guild. Jelaslah bahawa penghapusan sistem guild selepas penyatuan Jerman ini membuka ruang yang sangat luas kepada masyarakat di Jerman terlibat dalam kegiatan perindustrian seterusnya mengembangkan lagi kegiatan perindustrian di Jerman.

            Di samping itu, penubuhan kartel juga membantu dalam pertumbuhan kegiatan perindustrian di Jerman. Kartel ini merupakan kumpulan syarikat atau pengusaha yang bersatu untuk bekerjasama dalam kegiatan perindustrian. Kartel yang pertama ditubuhkan di Jerman ialah Kartel Neckar Salt Union iaitu kartel dalam perusahaan garam. Pada awal tahun 1880, dianggarkan terdapat 2100 buah kartel di Jerman yang terlibat dalam industri arang batu dan keluli. Kartel ini penting dalam mengawal bekalan barangan, harga barangan dan menjamin keuntungan dalam industri. Oleh itu, dapat dilihat di sini bahawa penubuhan organisasi ini amat penting dalam mengawal kewangan dan pasaran barangan di Jerman termasuk pasaran barangan antarabangsa. Dengan demikian, penubuhan kartel menyebabkan sektor perindustrian di Jerman berkembang pesat sehingga ia muncul sebagai kuasa ekonomi yang hebat menyaingi England pada awal abad ke-20. 

            Perkembangan kegiatan perindustrian di Jerman juga didorong oleh penubuhan institusi kewangan dan kredit. Misalnya, Reich Bank dibuka di Jerman bagi menyediakan kemudahan pinjaman kewangan kepada pengusaha-pengusaha industri di Jerman. Ini diikuti dengan pembukaan bank-bank lain yang turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha di Jerman bagi merancakkan lagi kegiatan perindustrian di Jerman. Menjelang pertengahan abad ke-19 muncul Bank Joint Stock yang menguruskan pelaburan saham di Jerman. Penubuhan syarikat-syarikat kredit juga didapati memberikan bantuan pinjaman modal kepada pengusaha-pengusaha industri untuk memulakan kegiatan perindustrian. Antara kesatuan kredit yang ditubuhkan di Jerman ialah Persatuan Kredit Schulze Delitzsch. Menjelang tahun 1911, terdapat 2500 buah kesatuan kredit di Jerman. Tegasnya, kewujudan bank dan kesatuan kredit dapat merancakkan lagi kegiatan perindustrian di Jerman. 

            Kekayaan bahan mentah seperti arang batu dan biji besih juga menjana perkembangan sektor industri berat di Jerman. Antara wilayah yang kaya dengan arang batu dan bijih besi di Jerman ialah Saxony dan Silesia di barat Jerman. Menjelang tahun 1875, Jerman telah mengeluarkan 25 juta tan arang batu dan ia setiasa meningkat dari semasa ke semasa. Pada tahun 1913, pengeluaran arang batu di Jerman meningkat kepada 287 juta tan. Selain itu, kerajaan Jerman juga telah bertindak campur tangan secara langsung dalam sektor yang dijangkakan memberikan pulangan yang lumayan seperti industri yang melibatkan arang batu dan bijih besi. Mulai tahun 1879, kerajaan Jerman telah melaksanakan dasar perlindungan kepada kegiatan ekonomi tersebut yang sekaligus dapat meningkatkan hasil pengeluaran dalam industri tersebut. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa bekalan arang batu dan bijih besi yang mencukupi meletakkan asas bagi perkembangan sektor perindustrian di Jerman.

            Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa penyatuan Jerman telah menjadi titik tolak kepada perkembangan aktiviti perindustrian di Jerman. Penyatuan ini telah mewujudkan suasana politik yang stabil, yang pastinya akan menyumbang kepada keteguhan ekonomi di Jerman. Perkembangan ini membolehkan Jerman menyaingi Britain sebagai negara industri yang hebat di Eropah sehingga ia dapat muncul sebagai negara yang kuat menjelang Perang Dunia Kedua.


Nota:

Untuk soalan seperti ini, isi pertama iaitu "penyatuan Jerman" yang terdapat dalam soalan perlu dimasukkan dalam karangan. Bagi pendahuluan pula, elakkan daripada mencampuradukkan isi dengan pendahuluan tetapi untuk soalan seperti ini, saya menyentuh isi "Penyatuan Jerman" dalam pendahuluan karangan kerana terdapat dalam soalan. Namun begitu, saya cuma menyentuh isi secara umum sahaja.


Sumber : Weblog Cikgu Jumali