LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Langkah Memupuk Semangat Patriotik dalam Kalangan Masyarakat

Semangat Patriotik dalam Kalangan Masyarakat Semakin Luntur

Kini, semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita kian luntur. Oleh sebab itu, tidak hairanlah, jika terdapat ramai anggota masyarakat terutamanya golongan muda yang tidak menghormati lagu kebangsaan dan menconteng gambar-gambar tokoh negara. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat kini tidak mempunyai kesedaran yang tinggi akan tanggungjawab perasaan cinta yang mendalam terhadap negara. Kesannya, hanya segelintir anggota masyarakat yang sanggup meletakkan kepentingan negara melebihi kepentinggan diri. 

Sebagai contoh, pada masa wabak Covid-19 semua ahli-ahli politik negara meletakkan kepentingan diri dan politik lebih tinggi daripada kesejahteraan negara tercinta. Sehubungan dengan itu, pelbagai langkah perlu dilaksanakan untuk menyuburkan kembali semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Langkah Memupuk Semangat Patriotik  dalam Kalangan Masyarakat

1. Mengadakan Kempen Cintai Negaraku

Salah satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk menyuburkan semangat patriotik ialah pihak kerajaan hendaklah mengadakan Kempen Cintai Negaraku. Bagi menjayakan kempen ini, aktiviti ceramah, wawancara dan forum mengenai nilai patriotisme perlu ada dalam kempen ini. 

Aktiviti-aktiviti ini juga boleh disiarkan di televisyen dan media sosial memandangkan semua rakyat Malaysia kini lebih tertumpu kepada mesia sosial. Peraduan seperti mengara cerpen dan puisi berkaitan nilai-nilai patriotisme juga boleh diadakan. 

Hal ini perlu dilakukan supaya masyarakat sedar akan kepentingan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Kesannya, mereka akan mengamalkan semangat patriotisme ini dalam kehidupan mereka.

2. Mendidik Anak-anak sejak Kecil

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai semangat patriotisme. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke Melaka untuk melihat bangunan-bangunan bersejarah tinggalan penjajah seperti Kota A Farmosa. 

Pada masa ini, ibu bapa boleh mengambil peluang menceritakan betapa sengsaranya penduduk pada ketika itu mempertahankan Tanah Melayu daripada para penjajah. Hal ini secara tidak langsung akan membangkitkan semangat patriotik dalam diri anak-anak. 

Di samping itu, ibu bapa juga perlu menegur anak-anak ataupun mendenda sekiranya mereka tidak menghormati Lagu Negaraku. Anak-anak ini perlu dididik sejak kecil lagi kerana pada ketika ini mereka mudah menyerap ilmu berbanding apabila mereka dewasa kelak. 

Kesannya, kebiasaan-kebiasaan mereka untuk sentiasa mengamalkan semangat patriotik ini akan menyebabkan mereka sanggup berkorban nyawa mempertahankan negara.

3. Memantapkan Lagi Sambutan Bulan Kemerdekaan

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi Sambutan Bulan Kemerdekaan pada setiap tahun. 

Hal ini dikatakan demikian kerana sambutan yang diadakan setiap tahun oleh pihak sekolah tidak menarik minat murid-murid dan tidak dapat mewujudkan semangat patriotik dalam diri murid-murid. 

Oleh itu, pihak sekolah perlu mengambil inisiatif untuk memantapkan lagi Sambutan Bulan Kemerdekaan. Misalnya, pihak sekolah boleh menjemput veteran-veteran tentera untuk menceritakan pengalaman mereka kepada murid-murid semasa bertugas. 

Pihak sekolah juga boleh meminta pihak polis dan tentera untuk mengadakan pameran kereta perisai dan senjata api semasa Sambutan Bulan Kemerdekaan. Jika hal ini dilakukan sudah pasti, semangat patriotik dalam diri murid-murid akan membara.

4. Penyiaran Program Bercorakkan Kenegeraan

Semangat patriotik dalam kalangan masyarakat juga boleh ditingkatkan melalui kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta untuk menyiarkan program-program bercorakan kenegaraan di televisyen dan media sosial. 

Sebagai contoh, misalnya pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan penerbit filem untuk menerbitkan filem-filem berkaitan perjuangan perajurit-perajurit tanah air mempertahankan negara. 

Filem-filem seperti ini perlu diperbanyakkan lagi kerana kita dapat melihat bahawa sambutan rakyat Malaysia terhadap filem ini amat menggalakkan. Sebagai contoh, filem Leftenan Adnan dan Bukit Kepong mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat. 

Oleh itu, pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk menerbitkan filem-filem bercorak kenegaraan ini.

5. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

            Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga perlu dihidupkan semula bagi menghidupkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. 

Hal dikatakan demikian kerana program ini mampu membina jati diri anak-anak muda di Malaysia. Apabila jati diri anak-anak muda ini tinggi, maka kesanggupan mereka untuk mempertahankan negara juga akan tinggi. 

Sebagai contoh, semasa program ini masih dilaksanakan, kita dapat melihat ramai anak muda yang ingin menawarkan diri untuk berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas saja selesai menyertai PLKN. 

Namun begitu, kini keminatan anak-anak muda dalam menyertai ATM dan PDRM ini sudah kian luntur. Jelaslah bahawa Program Latihan Khidmat Negara ini berkesan dalam mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat khususnya anak-anak muda.

Langkah Efektif Perlu diambil bagi Memupuk Semangat Patriotik

Kesimpulannya, pelbagai langkah boleh diambil bagi menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini. 

Sewajarnya semua pihak perlu berganding bahu dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Secara umumnya, semangat patriotik ini luntur kerana kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan semangat patriotik kepada diri, masyarakat dan negara. 

Pengaruh budaya barat juga merupakan salah satu penyumbang terbesar lunturnya semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Sekiranya hal ini berterusan, maka keamanan dan kesejahteraan negara akan terjejas pada masa akan datang. 

Oleh itu, semua pihak perlulah mengambil serius dalam nenangani masalah kelunturan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat ini.