Kebaikan e-wallet/ e-dompet kepada Masyarakat
Karangan Kebaikan E-wallet atau e-dompet kepada Masyarakat
Di era digital yang semakin pesat ini, teknologi kewangan telah membawa banyak kemudahan dan manfaat kepada kehidupan manusia. Di Malaysia, antara teknologi kewangan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat ialah penggunaan dompet digital atau lebih dikenali sebagai e-wallet atau e-dompet.
E-dompet merupakan dompet digital yang menggantikan fungsi dompet fizikal kita. Dompet maya ini membolehkan kita melakukan pembayaran atas talian (Pembayaran online) melalui aplikasi mudah alih.
Dengan satu aplikasi mudah alih, pelbagai transaksi digital melalui telefon pintar boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan mudah dan pantas.
Dengan bahasa mudahnya, kita hanya perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi mudah alih dompet digital tersebut untuk melakukan transaksi atas talian. Di Malaysia, e-dompet yang popular digunakan dalam kalangan masyarakat ialah Touch 'n Go, BigPay, ShopeePay dan GrabPay.
Walau bagaimanapun, penggunaan e-wallet ini sangat bergantung kepada rangkaian internet. Tanpanya, kita tidak dapat menggunakan e-dompet ini untuk melakukan transaksi digital seperti pembayaran online.
Pada hakikatnya, teknologi kewangan seperti e-dompet ini mambawa banyak kebaikan kepada masyarakat.
Kebaikan e-dompet atau e-wallet
1. E-Dompet Menawarkan Perkhidmatan Mudah dan Pantas
Antara kebaikan e-dompet kepada masyarakat adalah menawarkan perkhidmatan yang mudah dan pantas. Dengan menggunakan teknologi kewangan seperti e-dompet, transaksi kewangan dapat dilakukan hanya dalam beberapa saat.
Kita tidak perlu lagi menunggu dua atau tiga hari untuk melihat transaksi kewangan berjaya. Selain itu, kita juga tidak perlu lagi membuang masa beratur panjang di kaunter untuk membayar tiket, bil atau barangan lain.
Kita cukup membuka aplikasi mudah alih e-dompet, kemudian mengimbas kod QR yang disediakan untuk melakukan transaksi online.
Hal ini sangat hampir dengan gaya kehidupan masyarakat kini yang suka akan hal-hal yang mudah dan pantas.
Tuntasnya, penggunaan e-wallet dalam melakukan transaksi digital seperti pembayaran atas talian dapat memudahkan dan mempercepat transaksi kewangan.
2. Tidak Perlu Membawa Duit Tunai kerana Transaksi Digital
Selain itu, dengan penggunaan e-wallet, kita tidak perlu lagi susah-susah membawa wang tunai. Kita hanya perlu menghubungkan akaun bank kita dengan aplikasi e-dompet, kemudian kita boleh melakukan transaksi kewangan secara atas talian di mana-mana sahaja.
Hal ini akan memudahkan kita bergerak ke mana-mana sahaja tanpa perlu risau dirompak kerana kita hanya membawa dompet maya kita.
Sebagai contoh, sekiranya kita membawa wang tunai dalam jumlah yang besar, sudah tentu ia tidak muat dalam dompet kita, tetapi dengan adanya e-wallet kita akan mampu membawanya ke mana-mana kerana ia bersifat digital.
Para pencuri juga tidak mampu merompak duit kita tersebut, bahkan mereka tidak mampu pun melihat wang kita tersebut.
Secara ringkasnya, e-wallet ini akan memudahkan kita kerana kita tidak perlu lagi memegang duit untuk ke mana-mana.
3. Transaksi yang Lebih Selamat (Sistem Keselamatan e-dompet)
Di samping itu, e-wallet juga menawarkan keselamatan yang lebih baik jika dibandingkan dengan kad kredit atau kita memegang duit.
Hal ini dikatakan demikian kerana, e-dompet dilindungi oleh sistem keselamatan transaksi kewangan yang canggih dan memerlukan pengesahan tambahan seperti penggunaan cap jari dan kata laluan.
Selain itu, pihak penyedia e-wallet juga sentiasa mengemas kini dan meningkatkan sistem keselamatan e-dompet mereka untuk memastikan data pelanggan mereka kekal selamat dan transaksi kewangan yang dilakukan oleh pelanggan sentiasa pada tingkat keselamatan yang tinggi.
Pihak penyedia e-wallet juga mengambil tindakan keselamatan dengan memantau aktiviti transaksi kewangan yang dilakukan oleh pelanggan mereka. Sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan, pihak penyedia e-dompet akan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menghantar mesej atau e-mel amaran kepada pelanggan berkenaan.
Bukan itu sahaja, bahkan sebelum melakukan teransaksi kewangan pengesahan pengguna adalah diperlukan seperti pengesahan cap jari atau kata laluan.
Perlu ditekankan juga bahawa penyedia e-dompet melakukan penyulitan data pengguna mereka untuk mengelakkan data pengguna digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jelaslah di sini bahawa, e-wallet ini sangat menekankan aspek keselamatan transaksi kewangan dan penyulitan data pengguna sehingga ia lebih selamat digunakan.
4. Setiap Transaksi kewangan Direkodkan
Selain daripada menawarkan keselamatan e-dompet yang lebih baik, penggunaan e-wallet juga membolehkan setiap transaksi kewangan direkodkan.
Hal ini dikatakan demikian kerana, e-wallet mempunyai ciri khas, di mana setiap transaksi digital yang kita lakukan akan direkodkan oleh sistem dan ditampilkan dalam aplikasi e-dompet di bahagian sejarah.
Sebagai contoh, jika kita membeli barangan di pasar raya, maka rekod transaksi kewangan di pasar raya tersebut direkodkan dalam sistem e-dompet dan kita boleh melihat rekod tersebut dengan tepat tanpa perlu risau akan kehilangannya seperti resit pembelian biasa.
Dengan ini, kita akan mudah mengetahui jumlah perbelanjaan kita setiap bulan tanpa perlu mencatat atau mengumpulkan resit pembelian.
Oleh itu, kita akan mampu mengurus kewangan kita dengan lebih efisien melalui rekod transaksi kewangan yang tercatat dalam aplikasi e-wallet.
Tuntasnya, penggunaan e-wallet ini akan sangat membantu kita dalam masalah perekodan perbelanjaan setiap bulan.
5. Penawaran Promosi dan Ganjaran oleh e-wallet
E-wallet juga menawarkan pelbagai promosi dan ganjaran. E-dompet menawarkan promosi dan ganjaran seperti "cashback", baucer, mata terkumpul, koin dan sebagainya kepada pelanggannya.
Pengguna yang menggunakan e-wallet untuk melakukan pembayaran akan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditukar dengan barangan percuma atau diskaun. Hal ini sudah tentu akan menjimatkan wang pengguna e-wallet.
Bak kata orang, semakin banyak barangan yang dibayar menggunakan e-wallet, maka semakin banyak pula penjimatan yang dapat dilakukan kerana kita akan mendapat pulangan semula daripada pembelian tersebut.
Jelaslah bahawa, promosi dan ganjaran yang diberikan oleh syarikat e-dompet ini sedikit-sebanyak akan menguntungkan masyarakat.
Penutup Karangan Kebaikan e-wallet atau e-dompet
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kebaikan penggunaan teknologi kewangan seperti e-dompet kepada masyarakat.
Namun begitu, masih ramai rakyat Malaysia yang masih belum menggunakan e-wallet semasa berbelanja.
Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka masih belum celik teknologi yang menyebabkan mereka sukar untuk beradaptasi dengan perkembangan teknologi kewangan yang terlalu pantas terutamanya, mereka yang sudah lanjut usia.
Oleh itu, pihak kerajaan haruslah memberikan pengetahun secara meluas mengenai teknologi kepada mereka-mereka yang belum celik teknologi ini. Hal ini sangat penting untuk terutamanya dalam teknologi kewangan memudahkan pendigitalisasi dalam pelbagai sektor.
Semoga semakin ramai rakyat Malaysia yang mahu menggunakan e-wallet untuk memastikan kehidupan yang lebih efisien.
Terima kasih sudah berkunjung di pendidikjalanan.blogspot.com