Kepentingan dan Langkah Menjaga Kelestarian Alam Sekitar
Kelestarian Alam Sekitar Penting dan Perlu Dijaga
Sejak akhir-akhir ini, pencemaran alam sekitar semakin serius di negara kita. Keadaan ini telah menyebabkan keindahan alam sekitar di Malaysia kian musnah. Hal ini berlaku disebabkan oleh kerakusan manusia yang terlalu mengejar pembangunan tanpa mengkaji kesan jangka panjang pembangunan terhadap alam sekitar. Oleh itu, kelestarian alam sekitar perlulah dijaga kerana alam sekitar yang baik sangatlah penting kepada seluruh makhluk hidup di bumi. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai kepentingan dan langkah menjaga kelestarian alam sekitar.
Kepentingan Menjaga Kelestarian Alam Sekitar
1. Kesihatan Manusia Terjamin
Antara kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar termasuklah, dapat memastikan kesihatan manusia terjamin. Kelestarian alam sekitar merupakan salah faktor yang mempengaruhi kesihatan manusia. Alam sekitar yang tercemar akan menimbulkan pelbagai jenis penyakit. Sebagai contoh, persekitaran yang kotor akan mengundang nyamuk Aedes dan nyamuk Tiruk untuk membiak di kawasan tersebut. Nyamuk Aedes akan menyebarkan penyakit Demam Denggi, manakala nyamuk Tiruk akan menyebarkan penyakit Malaria. Kedua-dua penyakit ini akan memaudaratkan kesihatan manusia, bahkan boleh menyebabkan kematian. Jelaslah bahawa, kelestarian alam sekitar ini penting dalam memastikan kesihatan manusia terjamin.
2. Mengelakkan Kepupusan Flora dan Fauna
Selain itu, kelestarian alam sekitar perlu dijaga untuk mengelakkan berlakunya kepupusan flora dan fauna. Alam sekitar seperti hutan merupakan habitat flora dan fauna. Di dalam hutan, terdapat berjuta-juta spesies flora dan fauna yang saling berinteraksi antara satu sama yang lain. Sebagai contoh, terdapat spesies gajah, harimau, monyet, KO will semut, bunga Refflesia dan cengal di dalam hutan. Sekiranya kawasan hutan diteroka tanpa kawalan, maka sudah tentu banyak spesies flora dan fauna yang akan musnah. Jika hal ini berterusan, maka beberapa tahun akan datang, sudah pasti banyak spesies flora dan fauna yang akan pupus. Selain itu, aktiviti pembakaran hutan dan he pembalakan har heam juga turut menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna. Tuntasnya, kelestarian alam sekitar haruslah dipelihara untuk mengelakkan berlakunya kepupusan flora dan fauna.
Langkah Menjaga Kelestarian Alam Sekitar
3. Amalan Kitar Semula
Antara langkah untuk menjaga kelestarian alam sekitar adalah dengan mengamalkan amalan kitar semula. Kitar semula merupakan suatu proses menukar bahan buangan menjadi bahan atau objek baharu. Sebagai contoh, kita boleh mengubah botol-botol terbuang menjadi bahan baharu seperti pasu, tabung dan tempat alat tzulis. Selain itu, bahan-bahan organik terbuang seperti nasi basi dan sayur-sayuran busuk juga boleh dijadikan baja organik melaui proses pengomposan. Bahan-bahan yang tidak boleh diguna semula seperti kertas pula, boleh dihantar ke pusat kitar.
4. Penyertaan dalam Aktiviti Sukarelawan
Penyertaan individu dalam aktiviti sukarelawan membersihkan kawasan persekitaran juga merupakan langkah terbaik untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Melalui penyertaan individu dalam aktiviti sukarelawan ini, kawasan-kawasan yang kotor dapat dibersihkan. Sebagai contoh, pantai-pantai dan sungai-sungai yang dipenuhi sampah-sarap dapat dibersihkan. Semakin banyak penyertaan individu dalam aktiviti sukarelawan untuk membersihkan persekitaran, maka semakin bertambah bersih alam sekitar kita. Selain itu, tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes yang membawa penyakit berbahaya juga dapat dimusnahkan. Tuntasnya, penyertaan individu dalam aktiviti sukarelawan ini sangat penting demi menjaga kelestarian alam sekitar.
5. Penanaman Semula Pokok
Di samping itu, penanaman semula pokok juga merupakan langkah efektif melestarikan alam sekitar kita. Melalui penanaman semula pokok, kita dapat memulihkan semula alam sekitar kita yang musnah akibat penerokaan hutan tanpa kawalan. Sekiranya setiap rakyat Malaysia menanam sepohon pokok setiap hari, nescaya alam sekitar kita yang musnah akan pulih dalam masa yang lebih singkat. Penanaman semula pokok ini amat penting kerana pokok-pokok ini bukan sahaja memberikan suasana yang nyaman dan sejuk kepada hidupan di bumi, malah turut dapat menstabilkan ekosistem. Selain itu, pokok-pokok ini juga penting dalam membekalkan oksigen kepada manusia. Jelaslah bahawa, penanaman semula pokok dapat melestarikan alam sekitar.
Penutup Karangan Kelestarian Alam Sekitar
Kesimpulannya, kelestarian alam sekitar amat penting kepada seluruh hidupan di bumi. Oleh itu, pelbagai langkah untuk menjaga kelestarian alam sekitar perlu dilakukan. Semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Langkah awal paling mudah yang boleh kita lakukan untuk menjaga kelestarian alam sekitar ini adalah dengan tidak membuang sampah sarap di merata-rata tempat. Semoga kesedaran masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar yang lestari ini semakin meningkat demi kesejahteraan umat manusia.