Langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Remaja - Karangan SPM/STPM
Karangan : Langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Remaja
Semangat Kejiranan dalam Kalangan Remaja Semakin Pudar
Pada era globalisasi ini, semangat kejiranan dalam diri golongan remaja sudah semakin luntur. Golongan remaja kini lebih gemar berkurung di dalam bilik untuk bermain media sosial berbanding dengan bersosial dengan jiran tetangga. Mereka sudah tidak mengenali jiran-jiran mereka, bahkan jiran di sebelah rumah yang jaraknya tidak sampai lima meter pun, mereka sudah tidak mengenalinya. Sebagai maklumat, jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, bahkan individu yang tinggal sekampung dengan kita juga, boleh dianggap sebagai jiran kita. Intinya, jiran ialah orang yang sepatutnya selalu berbual dan menghulurkan bantuan kepada kita sekiranya kita memerlukannya. Malangnya, kini semangat kejiranan ini sudah hilang dalam kalangan masyarakat kita yang menyebabkan masyarakat menjadi antisosial. Pada realitinya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi memupuk semangat kejiranan dalam diri golongan remaja.
Langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Remaja
1. Peranan Ibu Bapa
Antara langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan remaja ialah melalui peranan ibu bapa. Para ibu bapa haruslah memupuk semangat kejiranan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Dalam hal ini, ibu bapa haruslah kerap membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh pihak kampung. Hal ini akan membolehkan anak-anak mereka bergaul dan bersosial dengan penduduk-penduduk kampung. Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan cara kerap mengunjungi penduduk kampung yang mengalami masalah seperti sakit, kematian dan lain-lain. Bukan itu sahaja, malah ibu juga perlu menggalakkan anak-anak mereka membantu penduduk kampung yang mengadakan majlis keramaian. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk membantu jiran yang akan melangsungkan majlis perkahwinan. Dengan demikian, semangat kejiranan itu akan tersemai dalam diri golongan remaja sejak kecil lagi. Jika hal ini tidak dilakukan, maka anak-anak akan berasa asing untuk melakukan hal tersebut apabila dewasa kelak. Jelaslah bahawa, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kejiranan dalam diri golongan remaja.
2. Aktiviti Gotong-royong
Selain itu, semangat kejiranan dalam diri golongan remaja juga dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong. Pihak jawatankuasa kampung harusalah kerap mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan golongan remaja supaya semangat kejiranan tersemat dalam diri mereka. Antara aktiviti gotong-royong yang boleh diadakan adalah seperti memotong rumput di kawasan padang, membersihkan dewan, membina pondok dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Melalui aktivti gotong-royong ini, penduduk kampung dapat berbincang antara satu sama yang lain untuk menjayakan aktiviti gotong-royong tersebut. Semasa aktiviti gotong-royong pula, penduduk dapat berbual-bual mesra dan bergurau senda antara satu sama lain, di samping dapat bertemu dengan jiran-jiran yang jarang ditemui disebabkan oleh kesibukan masing-masing. Dalam aktiviti ini juga, golongan remaja akan dapat bergaul dan bekerjasama dengan golongan yang lebih tua daripada mereka. Dengan demikian, bukan sahaja golongan remaja, malah seluruh penduduk dapat mengenali hati budi masing-masing dan semangat kejiranan ini akan dapat ditanam dalam diri mereka. Jelaslah bahawa, aktiviti gotong-royong yang melibatkan golongan remaja ini akan mampu memupuk semangat kejiranan dalam diri mereka.
3. Aktiviti Sukaneka
Di samping itu, semangat kejiranan dalam kalangan remaja juga dapat dipupuk melalui aktiviti sukaneka. Hal ini dikatakan demikian kerana, ia mampu mewujudkan semangat kerjasama dan setia kawan antara penduduk dalam menjayakan aktiviti sukaneka tersebut. Antara aktiviti sukaneka yang boleh dilaksanakan adalah berlari dalam guni, tarik tali, isi air dalam botol dan sebagainya. Dalam aktiviti ini, semua penduduk kampung haruslah terlibat supaya silaturahim antara penduduk, terutamanya golongan remaja semakin erat. Penduduk kampung juga haruslah dibahagikan dalam kumpulan secara random supaya mereka tidak hanya bergaul antara sesama ahli keluarga sahaja. Dalam hal ini, pergaulan mereka juga akan semakin luas dan mampu bersosial dengan orang lain. Jika aktiviti sukaneka di peringkat kampung atau taman perumahan ini kerap diadakan, nescaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk, terutamanya golongan muda terbentuk. Jelaslah bahawa, aktiviti sukaneka ini mampu memupuk semangat kejiranan dalam diri golongan remaja.
4. Didikan Agama
Semangat kejiranan dalam diri golongan remaja juga dapat dipupuk melalui didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap ajaran agama mengajar umatnya untuk memuliakan jirannya, bahkan kepada seluruh umat manusia. Dalam hal ini, jiran haruslah dihormati dan dibantu sekiranya menghadapi masalah tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan warna kulit. Hal ini jelas membuktikan bahawa, melalui ajaran agama, semangat kejiranan itu mampu dibentuk. Oleh itu, ibu bapa dan institusi agama haruslah memastikan golongan remaja ini faham akan konsep kejiranan sejak kecil lagi melalui ajaran agama. Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan remaja ini lebih mudah menyerap sesuatu ilmu pada usia kanak-kanak, khususnya semangat kejiranan ini, jika dibandingkan dengan apabila mereka sudah dewasa. Jadi, semangat kejiranan yang dipupuk sejak kecil lagi ini akan terus diamalkan oleh mereka seiring dengan perkembangan usia mereka. Jelaslah bahawa, didikan agama ini juga penting dalam memupuk semangat kejiranan dalam diri golongan remaja.
5. Penyambutan Perayaan Besar
Selain daripada didikan agama, semangat kejiranan juga dapat dipupuk melalui penyambutan perayaan-perayaan besar di peringkat kampung. Pihak kampung haruslah mengadakan majlis-majlis perayaan besar seperti Hari Raya, Hari Natal dan Hari Kaamatan di peringkat kampung pada setiap tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana, penyambutan majlis-majlis perayaan ini akan menjadikan penduduk kampung bekerjasama menjayakan majlis perayaan tersebut. Penduduk kampung akan bersama-sama memasak, menghias dewan, membersihkan dewan dan sebagainya untuk memastikan majlis perayaan tersebut berjalan lancar. Dalam menjayakan majlis perayaan ini, penduduk-penduduk kampung akan dapat berbual-bual dan mengenal hati budi masing-masing. Dengan ini, hubungan antara penduduk kampung ini menjadi akrab. Tidak kira tua atau muda, semuanya akan menjadi satu untuk menjayakan majlis perayaan yang diadakan. Golongan-golongan remaja juga akan tahu bergaul dengan orang yang lebih tua kerana kebiasaannya golongan remaja dan orang tua ini sangat jauh topik perbualan mereka. Oleh itu, dengan adanya penyambutan majlis-majlis perayaan yang besar, semangat kejiranan dalam kalangan penduduk kampung akan lebih membara. Jelaslah bahawa, penyambutan majlis-majlis perayaan seperti Hari Raya, Hari Natal dan Hari Kaamatan ini mampu menyemarakkan lagi semangat kejiranan bukan sahaja dalam kalangan golongan remaja, malah seluruh lapisan masyarkat.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan remaja. Semangat kejiranan ini amat penting dalam masyarakat dan haruslah diberikan perhatian oleh semua pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan golongan remaja kini lebih ke arah antisosial yang hanya mementingkan diri masing-masing. Kesannya, mereka tidak mengenali jiran mereka dan bingung meminta bantuan sekiranya menghadapi masalah yang serius. Pada suatu ketika dahulu, pernah berlegar suatu berita dalam masyarkat mengenai seorang ibu yang gagal mendapatkan bantuan daripada jirannya yang mengakibatkan anaknya meninggal dunia kerana tercekik tulang ikan. Ibu tersebut tidak tahu mendapatkan bantuan untuk membantu anaknya kerana tidak pernah mengenali, bahkan bercakap sepatah kata pun kepada jirannya. Ibu tersebut terpaksa melihat anaknya mati tercekik di depan mata. Berkemungkinan anaknya tidak mati sekiranya mendapat bantuan segera daripada jirannya. Hal ini membuktikan betapa pentingnya semangat kejiranan ini dalam kalangan masyarakat. Semoga pada masa-masa akan datang, masyarakat, terutamanya golongan muda akan lebih mementingkan semangat kejiranan.