Karangan Faktor berlakunya Krisis Makanan Global
Dunia Sedang Berhadapan dengan Krisis Makanan yang Serius
Sejak akhir-akhir ini, dunia dikejutkan dengan krisis makanan yang bakal melanda seluruh umat manusia di bumi. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan berjuta-juta umat manusia yang akan mengalami kebuluran, terutamanya di negara-negara yang sudah sedia kala miskin. Hal ini sudah tentu membimbangkan rakyat Malaysia kerana kerbergantungan negara yang terlalu tinggi terhadap import makanan bagi memenuhi keperluan domestik. Dalam hal ini, lebih daripada 50 peratus beras yang ada di pasaran tempatan adalah diimport daripada negara jiran seperti Thailand dan Vietnam. Sekiranya negara pembekal utama beras ini juga mengalami masalah kekurangan bekalan beras akibat hal-hal yang tidak dijangkakan seperti bencana alam, maka Malaysia akan berada dalam situasi yang kritikal. Selain itu, negara kita juga sangat bergantung kepada import daging, di mana hampir 90 peratus daging yang ada di negara kita adalah diimport dari luar. Dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa sekuriti makanan negara kita terlalu lemah, di mana ia akan goyang pada bila-bila masa sahaja. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya krisis makanan global ini.
Faktor Berlakunya Krisis Makanan Global
1. Kekurangan Tanah Pertanian
Antara faktor yang menyebabkan berlakunya krisis makanan global ialah kekurangan tanah pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan tanah digunakan untuk kawasan pembangunan seperti tapak perindustrian, perumahan dan lain-lain. Hal ini akan berlaku di kebanyakan negara di dunia ini. Keadaan ini menyebabkan para petani sukar untuk menjalankan kegiatan pertanian. Pasti semua mengetahui bahawa kebanyakan makanan asas seperti padi, gandum, jagung dan sayur-sayuran hanya tumbuh di atas tanah. Malangnya, aktiviti pembangunan yang tidak terkawal di seluruh dunia ini menyebabkan tanah untuk tujuan pertanian berkurangan. Adapun aktiviti pertanian yang dijalankan tetapi itu hanya kegiatan yang mendatangkan keuntungan yang banyak dalam bentuk wang ringgit seperti perladangan kelapa sawit. Namun begitu, aktiviti tersebut tidak mendatangkan faedah yang banyak kepada umat manusia terutamanya akses makanan yang berkualiti. Lebih menyedihkan lagi, apabila terdapat beberpa buah negara di dunia ini yang tidak dapat mengeluarkan makanan asas disebabkan oleh faktor ketidaksuburan tanah. Secara keseluruhannya, hal-hal ini telah menyumbangkan kepada masalah kekurangan bekalan makanan di dunia ini. Jelaslah bahawa faktor kekurangan tanah boleh membawa kepada krisis makanan kepada umat manusia.
2. Keganasan dan Peperangan
Selain itu, konflik, keganasan dan peperangan juga boleh menyebabkan berlakunya krisis makanan global. Hal ini dikatakan demikian kerana, konflik, keganasan dan peperangan akan menganggu proses pengeluaran makanan sesebuah negara. Keadaan ini berlaku kerana negara akan lebih fokus kepada konflik dan peperangan tersebut. Buktinya, kebanyakan negara yang sedang bergolak mengalami kekurangan bekalan makanan yang tinggi. Sebagai contoh, negara yang sedang bergolak seperti Yaman dan Libya mengalami kadar kebuluran yang tinggi. Selain itu, peperangan antara negara seperti Perang Rusia-Ukraine menyebabkan berlaku krisis bekalan makanan di seluruh dunia, di mana ia menyebabkan harga makanan asas seperti ayam, minyak masak dan gandum meningkat secara drastik. Hal ini menjadi seteruk ini kerana Rusia dan Ukraine merupakan antara pengeluar gandum dan jagung yang terbesar di dunia. Selain itu, Ukraine yang menjadi pengeluar minyak matahari dan dedak ayam juga turut menyebabkan dunia mengalami krisis kekurangan minyak masak dan daging ayam. Bukan itu sahaja, malah peperangan ini juga akan menyebabkan tanaman-tanaman akan musnah akibat letupan. Dalam hal ini sudah jelas bahawa konflik, keganasan dan peperangan akan memberikan impak yang sangat besar kepada bekalan makanan yang seterusnya akan menyebabkan krisis makanan berlaku.
3. Perubahan Iklim dan Bencana Alam
Di samping itu, perubahan iklim dan bencana alam juga akan mendorong berlakunya krisis makanan global. Perubahan iklim ini memberikan kesan yang sangat drastik kepada tanaman para petani, di mana tanaman-tanaman akan mati dan hasil pengeluaran akan berkurangan secara drastik. Sebagai contoh, musim panas melampau yang mencapai 45 darjah celcius yang sedang berlaku di Utara India kini, pasti akan akan menyebabkan kebanyakan tanaman para petani, terutamanya gandum akan musnah. Lebih memburukan keadaan lagi kerana India merupakan salah sebuah negara pengeluar gandum terbesar di dunia. Hal ini sudah pastinya akan menyebabkan bekalan gandum di pasaran global berkurangan kerana kerajaan India terpaksa menyekat eksport gandum bagi memenuhi keperluan domestik. Kesannya, negara-negara yang ruji utama rakyatnya ialah gandum pasti akan mengalami kebuluran. Selain itu, musim hujan atau tengkujuh yang berpanjangan pula akan mengakibatkan bencana alam seperti banjir yang juga turut akan memusnahkan tanaman para petani. Sebagai contoh, banjir yang besar pernah memusnahkan kawasan tanaman padi berskala besar di Kedah yang menyebabkan hasil keluaran padi dalam negara berkurangan. Kesannya, bekalan makanan dalam Malaysia berkurangan. Hal ini akan lebih teruk lagi sekiranya negara pengeksport utama beras seperti Thailand dan Vietnam juga turut mengalami banjir yang akan memusnahkan tanaman padi. Bukan itu sahaja, musim tengkujuh dan ribut ini juga akan menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut yang akan menyebabkan sumber protein rakyat Malaysia berkurangan yang seterusnya membawa kepada krisis makanan. Jelaslah bahawa perubahan iklim dan bencana alam ini akan memusnahkan tanaman para petani yang seterusnya akan membawa kepada krisis makanan global.
4. Pertambahan Penduduk Secara Drastik
Krisis makanan global juga berlaku disebabkan oleh pertambahan penduduk secara drastik. Hal ini akan menyebabkan makanan yang sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana, pertambahan penduduk lebih tinggi berbanding dengan pertumbuhan hasil keluaran pertanian. Selain itu, keadaan ini juga terjadi disebabkan oleh ketidaksediaan kerajaan dan para petani untuk meningkatkan jumlah keluasan tanaman. Untuk meningkatkan hasil keluaran pertanian, ia memerlukan masa yang agak lama kerana para petani perlu membuka tanah untuk dijadikan kawasan penanaman. Selepas itu, barulah proses penamanan boleh dilakukan. Sudah tentu dalam hal ini, kos untuk meningkatkan keluaran pertanian ini adalah amat tinggi. Kerajaan juga terpaksa menumpuhkan perbelanjaan kerajaan kepada sektor pertanian untuk memberikan bantuan kepada para petani dalam meningkatkan hasil keluaran pertanian. Sekiranya usaha ini tidak dapat dilakukan maka, pertambahan penduduk yang drastis ini akan menyebabkan berlakunya krisis makanan yang serius. Jelaslah bahawa pertambahan penduduk yang melebihi pertumbuhan hasil pertanian akan menyebabkan krisis makanan berlaku.
5. Sikap Manusia
Selain daripada pertambahan penduduk dunia secara drastik, krisis makanan juga berlaku disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri. Pada era teknologi maklumat dan komunikasi ini, manusia sangat suka membazir makanan, terutamanya di negara-negara yang tanahnya subur dan sangat sesuai untuk kegiatan pertanian. Sudah tentu, kita seringkali melihat terdapat individu yang memesan makanan dengan sangat banyak tetapi hujung-hujungnya dia hanya memakan sedikit daripada keseluruhan makanan tersebut dan yang selebihnya akan dibuang ke dalam tong sampah. Hal ini berlaku disebabkan oleh sikap manusia zaman sekarang yang suka mempamerkan kekayaan mereka dengan membeli semeja makanan supaya orang ramai menganggap mereka orang kaya. Jika kita lihat statistik makanan di Amerika Syarikat, setiap tahun makanan yang disediakan di negara tersebut adalah melebihi 160 bilion tan dan hampir 45 bilion kilogram makanan telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata hanya 4 bilion kilogram makanan sudah mencukupi untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap manusia yang suka membazir makanan ini akan menyebabkan berlakunya krisis makanan.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya krisis makanan global. Hal ini telah menyebabkan banyak kanak-kanak yang kekurangan nutrisi, bahkan ada juga yang kehilangan nyawa. Krisis ini bukan sahaja memberikan impak yang serius kepada kanak-kanak, malah juga turut memberikan impak yang sama serius kepada orang dewasa. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin. Pihak kerajaan haruslah memastikan pengeluaran makanan dalam negara seimbang dengan pertumbuhan penduduk. Selain itu, masyarakat juga perlu berjimat cermat dalam pengambilan makanan supaya tidak berlaku pembaziran makanan walaupun dalam jumlah yang kecil. Walaupun hanya sedikit makanan yang dibazirkan oleh seseorang, namun jika seribu orang yang melakukan pembaziran makanan, maka jumlah makanan yang dibazirkan itu sudah tentu banyak. Semoga masyarakat dunia dapat bersatu dalam memastikan stok makanan dunia kekal stabil.