Kesan Peperangan kepada Rakyat dan Negara
Isu Antarabangsa (Kesan Peperangam) - Pengajian AM STPM
Kesan Peperangan |
Soalan :
Peperangan yang terus berlaku di beberapa buah negara bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Keadaan ini sebenarnya mendatangkan masalah kepada negara dan rakyat. Bincangkan.
Format jawapan : 2+3/3+2
Kesan Peperangan Kepada Rakyat dan Negara
Sejak akhir-akhir ini, kita dikejutkan dengan peperangan yang berlaku antara Rusia dengan Ukraine. Sebenarnya peperangan antara negara ini bukan asing lagi bagi kita kerana setiap tahun ada sahaja peperangan antara negara yang berlaku. Pada faktanya, peperangan ini mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada rakyat dan negara.
a) Kesan Peperangan kepada Negara
1. Ekonomi Negara Terjejas
Antara kesan peperangan kepada negara adalah menjejaskan ekonomi negara. Dalam hal ini, ekonomi negara yang terlibat dalam peperangan akan mengalami kemerosotan ekonomi yang amat teruk. Hal ini dikatakan demikian kerana, negara tersebut tidak dapat menjalankan kegiatan pengeluaran barangan. Bukan itu sahaja, malah kilang-kilang pengeluaran juga turut musnah akibat serangan bom dan peluru berpandu. Para pelabur asing juga akan segera menarik modal pelaburan mereka kerana mereka tahu kerugian bakal menimpa mereka. Jika mereka tidak segera menarik modal pelaburan mereka, maka kerugian yang besar bakal dihadapi oleh mereka.
2. Ketidakstabilan Politik
Selain itu, peperangan juga akan mengakibatkan ketidakstabilan politik. Puak-puak yang tidak berpuas hati kepada pihak kerajaan akan cuba memberontak untuk membalas dendam. Musuh-musuh dalam selimut juga akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan pergolakan dari dalam. Dalam situasi ini, banyak rakyat yang cuba melarikan diri ke negara yang berhampiran untuk menyelamatkan nyawa. Kadar jenayah juga akan meningkat secara drastik kerana pihak berkuasa menumpukan sepenuh perhatikan kepada musuh perang. Kesannya, ketidakstabilan politik akan berlaku.
3. Bekalan Makanan dan Air Bersih Berkurang
Di samping itu, bekalan makanan dan air bersih juga akan berkurang disebabkan oleh peperangan. Apabila berlaku peperangan, kegiatan pertanian tidak dapat dijalankan oleh para petani kerana nyawa mereka sentiasa terancam. Dalam masa yang sama, banyak tanaman yang sedia ada musnah dalam letupan dan serangan musuh. Pengimportan bekalan makanan pula tidak dapat dilakukan kerana pihak musuh pasti akan segera memusnahkan kapal yang membawa bekalan makanan tersebut. Bekalan makanan sedia ada pula pasti akan ditumpukan kepada para tentera kerana mereka memerlukan banyak tenaga untuk berperang. Bekalan air pula juga turut berkurang kerana sumber air tercemar akibat perang. Kesannya, bekalan air bersih untuk minuman berkurang. Oleh itu, negara akan mengalami masalah kebuluran yang tinggi.
4. Kemusnahan Kemudahan Awam
Peperangan juga akan mengakibatkan kemusnahan kemudahan awam. Banyak bangunan runtuh dan kemudahan awam musnah akibat pengeboman dan serangan peluru berpandu. Kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan jalan raya mengalami kerosakan yang amat teruk dan tidak boleh digunakan lagi. Pihak musuh sengaja berbuat demikian untuk menyukarkan pergerakan tentera pihak lawan dan melambatkan proses rawatan akibat kemusnahan hospital. Dalam hal ini, sudah tentu peruntukan yang sangat besar diperlukan untuk membaik pulih kemudahan awam yang telah musnah. Kesannya, keadaan negara kucar-kacir dan tidak terurus.
5. Kualiti Alam Sekitar Terjejas
Kualiti alam sekitar juga akan terjejas dengan teruk akibat peperangan. Serangan dan pengeboman yang kerap dilakukan akan menyebabkan alam sekitar musnah dengan teruk. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengeboman akan menyebabkan kebakaran berlaku di mana-mana. Pokok-pokok, sungai dan hutan akan musnah dengan teruk dalam kebakaran akibat pengeboman. Kesannya, habitat flora dan fauna akan musnah. Pembebasan karbon dioksida juga meningkat menyebabkan udara menjadi tercemar. Kesannya, kualiti alam sekitar akan terjejas dengan teruk.
b) Kesan Peperangan kepada Rakyat
1. Keselamatan Terancam
Peperangan akan menyebabkan keselamatan rakyat terancam. Hal ini dikatakan demikian kerana, bom berjatuhan di mana-mana. Kesannya, rakyat terpaksa mencari tempat perlindungan baharu yang lebih selamat, bahkan terpaksa menjadi pelarian di negara lain. Rakyat juga tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa kerana sentiasa risau akan keselamatan diri. Selain itu, rakyat juga berisiko menjadi mangsa perang seperti dijadikan tebusan, dibunuh, bahkan lebih kejam lagi dirogol beramai-ramai.
2. Kehilangan Nyawa
Selain itu, peperangan juga akan menyebabkan kehilangan nyawa. Peperangan menyebabkan berlaku pembunuhan beramai-ramai. Para tentera terpaksa membunuh musuh, bahkan orang awam demi memenangi perang tersebut. Kesannya, banyak nyawa yang terkoban. Rakyat yang tidak berdosa juga dibunuh, bahkan kaum wanita dirogol beramai-ramai sehingga mati. Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat dan kanak-kanak yang menjadi sebatang kera kerana ahli keluarganya mati dalam peperangan.
3. Kemusnahan Harta Benda
Di samping itu, peperangan juga menyebabkan kemusnahan harta benda rakyat. Serangan dan pengeboman menyebabkan banyak harta benda rakyat musnah. Harta benda rakyat seperti rumah, perabot, peralatan elektronik dan kenderaan musnah akibat peperangan. Ladang-ladang dan tanaman rakyat juga musnah akibat pengeboman yang dilakukan oleh pihak musuh. Hal ini menyebabkan rakyat kehilangan tempat tinggal dan terpaksa membinanya semula apabila peperangan selesai nanti. Dalam hal ini, rakyat terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membina semula kehidupan mereka sama seperti sebelum peperangan berlaku.
4. Kesihatan Terjejas
Peperangan juga akan menjejaskan kesihatan rakyat. Hal ini dikatakan demikian kerana, kemusnahan tanaman dan sumber air bersih menyebabkan rakyat menghidapi dehidrasi dan mudah diserang penyakit. Rakyat yang mengalami kecederaan ringan dan berat juga meningkat akibat serangan dan pengeboman. Dalam pada itu, rawatan tidak dapat diberikan dengan baik akibat kekurangan pakar perubatan dan ubat, malah hospital dan klinik juga musnah akibat dibom oleh pihak musuh. Tahap kesihatan yang rendah ini memudahkan lagi wabak penyakit merebak dan sukar dikawal.
5. Trauma
Peperangan juga akan mengakibatkan rakyat mengalami trauma yang teruk. Bunyi letupan bom yang berterusan akan menyebabkan rakyat tertekan dan menjejaskan kesihatan mental mereka. Kanak-kanak dan wanita yang menyaksikan kecederaan dan pembunuhan secara langsung juga akan menyebabkan mereka mengalami trauma yang amat teruk. Selain itu, wanita yang dirogol beramai-ramai oleh pihak musuh juga akan berhadapan dengan trauma yang amat dahsyat. Mereka akan sentiasa takut dan menangis dengan dahsyat apabila melihat kaum lelaki. Rakyat yang kehilangan ahli keluarga akibat peperangan juga akan mengalami trauma teruk. Lebih menyedihkan lagi, apabila terdapat mangsa perang yang berubah kepercayaan daripada percaya kepada tidak akan kewujudan Tuhan akibat terlalu trauma dengan keganasan perang.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan peperangan kepada rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah berusaha menyelesaikan sesuatu konflik secara meja bulat untuk mengelakkan peperangan berlaku.