Karangan Kesan Penyakit Berjangkit dan Langkah Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit
Karangan Kesan Penyakit Berjangkit dan Langkah Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit
Karangan Kesan Penyakit Berjangkit dan Langkah Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit - Penularan penyakit berjangkit merupakan salah satu isu yang sentiasa mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, penyakit berjangkit ini sangat mudah tersebar daripada satu individu ke individu yang lain. Penyakit berjangkit ini boleh tersebar dengan mudah melalui udara, air dan sentuhan hanya dalam beberapa saat.
Jangkitan penyakit berjangkit ini biasanya berlaku apabila virus masuk ke dalam tubuh badan manusia dan kemudian menyerang sistem imunnya. Pada ketika ini, seluruh dunia sedang digemparkan dengan penularan penyakit berjangkit yang dikenali sebagai Covid-19. Sebelum itu, penyakit berjangkit seperti Ebola, Influenza A (H1N1) dan Selesema burung (H1N5) juga pernah menggemparkan dunia kerana penularannya yang sangat cepat dan telah mengakibatkan banyak kematian manusia.
Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat 30 Disember 2022, sebanyak lebih 6.65 juta kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan sejak pertama kali virus itu dikenali pasti di Wuhan China pada Disember 2019. Daripada statistik WHO ini, kita dapat lihat betapa besarnya impak penularan penyakit berjangkit ini kepada kehidupan manusia. Namun malangnya penyakit berjangkit ini sangat sukar untuk dimusnahkan dari muka bumi ini.
Sehingga kini, masih terdapat banyak kematian yang disebabkan oleh wabak penyakit berjangkit ini. Oleh itu, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk meminimumkan penularan wabak penyakit berjangkit ini. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai kesan dan langkah yang boleh diambil untuk mencegah penularan penyakit berjangkit.
Karangan Kesan Penyakit Berjangkit
1. Penyakit Berjangkit Menjejaskan Kesihatan Manusia
Antara kesan penyakit berjangkit adalah menjejaskan kesihatan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana, virus penyakit berjangkit ini akan menyerang antibodi atau sistem pertahanan tubuh badan manusia. Hal ini akan menyebabkan tubuh badan manusia menjadi lemah dan jatuh sakit. Lemahnya antibodi akibat serangan virus ini pula akan menyebabkan tubuh badan manusia mudah diserang oleh penyakit lain.
Selain itu, virus atau bakteria yang menyebabkan penyakit berjangkit ini mudah bermutasi yang menyebabkan virus atau bakteria ini menjadi semakin kuat berbanding dengan antibodi manusia. Keadaan ini akan menyebabkan sistem daya tahan tubuh semula jadi manusia semakin lemah untuk melawan mutasi-mutasi baharu virus ini dalam jangka masa yang panjang.
Di samping itu, menurut kajian, penyakit berjangkit ini sangat mungkin akan menyebabkan penyakit kronik kepada mangsa. Hal ini menjadi lebih parah lagi kepada mereka yang sememangnya sudah menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok, kanser, tekanan darah tinggi dan diabetes.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO), individu yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai sejarah penyakit kronik sangat berisiko berada dalam keadaan kritikal, bahkan kematian sekiranya dijangkiti penyakit berjangkit Covid-19. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lebih 90 peratus mangsa Covid-19 yang menghidap penyakit kronik meninggal dunia. Jelaslah bahawa penyakit berjangkit ini akan menjejaskan kesihatan manusia.
2. Penyakit Berjangkit Menjejaskan Ekonomi Negara
Selain itu, penularan penyakit berjangkit juga akan menjejaskan ekonomi negara. Ekonomi negara terjejas kerana banyak sektor yang menjadi sumber utama ekonomi negara terjejas, terutamanya sektor pelancongan. Sektor pelancongan negara terjejas kerana penularan penyakit berjangkit menyebabkan para pelancong asing takut untuk melancong ke Malaysia.
Tambahan pula, kerajaan Malaysia mengehadkan pelancong asing yang boleh melancong ke Malaysia. Sebagai contoh, kerajaan tidak membenarkan pelancong asing dari negara yang mempunyai kes jangkitan penyakit berjangkit tinggi masuk ke dalam Malaysia. Hal ini akan menjejaskan banyak sektor yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti perhotelan dan penerbangan.
Bukan itu sahaja,bahkan wabak penyakit berjangkit juga akan menyebabkan sektor penternakan terjejas. Semasa wabak Selesema burung, banyak ayam ternakan yang terpaksa dimusnahkan kerana berisiko akan menyebarkan jangkitan kepada manusia.
Begitu juga, semasa wabak selesema babi, banyak babi ternakan yang terpaksa dimusnahkan. Di Malaysia, beratus-beratus lembu ternakan juga pernah dimusnahkan kerana berisiko menyebarkan penyakit berjangkit kepada manusia. Hal ini telah menyebabkan banyak kerugian kepada penternak dan peniaga haiwan ternakan.
Baru-baru ini, penularan penyakit berjangkit Covid-19 juga telah menyebabkan hampir keseluruhan ekonomi negara lumpuh. Hal ini berikutan keputusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menutup hampir keseluruhan aktiviti ekonomi negara untuk mengekang penularan Covid-19. Jelaslah bahawa, penularan penyakit berjangkit ini akan menyebabkan ekonomi negara terjejas.
3. Penyakit Berjangkit Meningkatkan Kos Pengurusan atau Perbelanjaan Kerajaan
Di samping itu, penyakit berjangkit juga akan meningkatkan kos pengurusan atau perbelanjaan kerajaan. Perbelanjaan kerajaan meningkat kerana kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membina infrastruktur kesihatan dan tenaga kerja pakar dalam perubatan.
Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19 kerajaan mengeluarkan berbilion Ringgit Malaysia untuk membangunkan infrastruktur kesihatan untuk menampung pesakit Covid-19, termasuk penyelidikan yang dilakukan. Kerajaan juga mengeluarkan perbelanjaan berbilion Ringgit Malaysia untuk Program Vaksinasi Kebangsaan Covid-19.
Selain itu, kos tidak langsung seperti penurunan produktiviti dan Keluaran Negara Kasar (KNK) juga ditanggung oleh kerajaan akibat wabak penyakit berjangkit ini. Kesannya, perancangan dan pembangunan negara terjejas. Jelaslah bahawa, penyakit ini akan menyebabkan kos pengurusan atau perbelanjaan kerajaan meningkat.
4. Penyakit Berjangkit Mengakibatkan Kematian
Kehilangan nyawa merupakan kesan yang sangat ketara akibat penyakit berjangkit ini. Kehilangan nyawa ini berlaku kerana virus penyakit berjangkit ini akan terus-menerus menyerang sistem daya tahun tubuh atau antibodi sehingga tubuh badan menjadi lemah dan kemudiaanya meninggal dunia sekiranya antibodi tidak lagi mampu bertahan daripada serangan virus ini.
Malangnya lagi, virus penyakit berjangkit ini akan sentiasa bermutasi menjadi kuat berbanding dengan sistem imun manusia. Berdasarkan sejarah, penyakit berjangkit ini telah membunuh jutaan manusia di dunia ini. Sebagai contoh, WHO menyatakan bahawa lebih 6.65 juta kematian akibat Covid-19 setakat 30 Disember 2022 dan hampir 300 ribu kematian akibat H1N1 pada tahun 2009.
Menurut statistik WHO, kebanyakan mereka yang meninggal dunia akibat jangkitan penyakit berjangkit ini ialah mereka yang menghidap penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem daya tahan tubuh badan atau antibodi individu yang menghidap penyakit kronik ini sudah sedia kala lemah.
Oleh itu, apabila mereka diserang oleh penyakit berjangkit ini, antibodi tubuh mereka tidak mampu bertahan daripada serangan virus tersebut. Kesannya, mereka akan terus berada dalam keadaan kronik selepas jangkitan, dan akan meninggal dunia. Jelaslah bahawa, penyakit berjangkit akan menyebabkan kematian.
5. Penyakit Berjangkit Menjejaskan Kehidupan Manusia
Selain daripada mengakibatkan kematian, penyakit berjangkit juga akan menjejaskan kehidupan manusia. Penularan penyakit berjangkit menyebabkan manusia tidak boleh beraktiviti seperti biasa. Mereka tidak dapat bersosial dengan rakan-rakan seperti biasa kerana risau akan tertular dengan penyakit berjangkit lalu menyebarkannya semula kepada ahli keluarga.
Mereka juga akan terkekang untuk memakan haiwan ternakan yang brisiko menyebarkan penyakit berjangkit tersebut. Sebagai contoh, semasa wabak selesema burung, manusia risau untuk memakan ayam yang menjadi makanan rutin mereka.
Selain itu, semasa pandemik Covid-19 juga, manusia terpaksa terkurung di dalam rumah untuk mengekang penularan penyakit berjangkit tersebut. Mereka tidak boleh bersosial, mencari nafkah, bahkan keluar daripada rumah. Mereka juga terpaksa memakai pelitup muka yang bukan menjadi kebiasaan mereka.
Semua aktiviti fizikal tidak boleh dilakukan, semuanya hanya boleh dilakukan di rumah dan dunia maya. Sebagai contoh, mesyuarat dilakukan melalui platform "Zoom", "Google Meet" dan seumpamanya. Hal ini sangat jauh dengan kebiasaan masyarakat. Kesannya, ada yang tidur ketika mesyuarat. Tuntasnya, penyakit berjangkit ini sememangnya menjejaskan kehidupan masyarakat.
Karangan Langkah Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit
1. Menutup Pintu Sempadan Negara
2. Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Selain itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga antara langkah untuk mencegah penularan penyakit berjangkit daripada berterusan. Penyelidikan yang mendalam terhadap penyakit berjangkit ini hendaklah dilakukan untuk mengetahui dan memahami bagaimana virus ini bertindak balas terhadap manusia dan persekitaran.
Dengan penyelidikan yang mendalam ini, pembangunan ubat-ubatan dan vaksin bagi mencegah penularan virus ini dapat dilakukan. Selain itu, melalui R&D ini juga kita akan dapat menambah baik, bahkan mencipta kaedah mendiagnosis penyakit berjangkit baharu.
Dengan itu, kita akan mampu menghasilkan strategi untuk memusnahkan populasi vektor pembawa penyakit. Kesannya, penularan penyakit berjangkit ini dapat dikawal lebih awal sebelum menjadi lebih parah.
Sebagai contoh, R&D yang dilakukan terhadap penyakit berjangkit sebelum ini memudahkan vaksin Covid-19 dihasilkan. Hal ini telah menyebabkan wabak Covid-19 ini mampu dikawal dengan lebih awal walaupun ia berganda-ganda lebih kuat berbanding dengan virus penyakit berjangkit sebelmnya.
R&D yang dilakukan juga telah menyebabkan varian-varian baharu virus Korona ini mampu dikawal penyebarannya. Tuntasnya, Penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini sangat membantu dalam mencegah penularan penyakit berjangkit.
3. Penjagaan Kesihatan Diri
Di samping itu, penyakit berjangkit juga dapat dicegah melalui penjagaan kesihatan diri. Penjagaan kesihatan diri yang berterusan ini merupakan aspek yang perlu dititikberatkan dalam menghalang diri daripada dijangkiti pelbagai penyakit.
Sebagai contoh, persekitaan yang kotor sangat berisiko akan menyababkan berlakunya penyebaran penyakit berbahaya seperti kencing tikus. Penjagaan kesihatan diri ini termasuklah kerap mencuci tangan.
Hal ini dikatakan demikian kerana, tangan kita kerap bersentuhan dengan benda-benda yang kotor dan ia sangat berisiko menjadi agen yang menyebabkan kita dijangkiti penyakit berjangkit. Sebagai contoh, virus Covid-19 ini sangat mudah tersebar melalui benda-benda yang kerap disentuh.
Dengan kerap mencucui tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, risiko kita untuk dijangkiti penyakit berjangit menjadi rendah. Selain itu, penjagaan kesihatan melalui senaman dan pemakanan yang seimbang juga sangat penting dalam mengelakkan penularan penyakit berjangkit.
Senaman yang berterusan dan penjagaan makanan yang baik ini akan menyebabkan daya tahan tubuh badan kita meningkat. Dengan ini, kita tidak akan mudah dijangkiti penyakit berjangkit.
Walaupun kita dijangkiti penyakit berjangkit, risiko kita untuk menyebarkan penyakit berjangkit tersebut kepada orang lain adalah rendah. Tuntasnya, penjagaan kesihatan ini merupakan aspek yang penting dalam mencegah penularan penyakit berjangkit.
4. Mewujudkan Kerjasama Antarabangsa Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit
Selain daripada penjagaan kesihatan diri, penularan penyakit berjangkit juga dapat dikekang melalui kerjasama antarabngsa. Kerjasama antarabangsa ini boleh diadakan melalui persidangan di peringat serantau dan antarabangsa.
Sebagai contoh, di peringkat serantau, ASEAN persidangan antara ketua-ketua negara boleh dilakukan untuk bersama-sama membendung penularan penyakit berjangkit. Kerjasama antarabangsa juga membolehkan perkongsian dan pertukaran maklumat antara pakar perubatan mengenai kajian, penemuan baharu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pencegahan penyakit berjangkit.
Selain itu, kerjasama antarabangsa mengenai penyakit berjangkit juga membolehkan berlaku perkongsian teknologi perubatan. Hal ini akan membantu negara-negara membangun dan miskin dalam mencegah penularan penyakit berjangkit. Di samping itu, kerjasama antarabangsa juga membolehkan ubat-ubatan dan vakisn dihantar ke negara-negara yang tidak mampu untuk menghasilkannya.
Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, kerjasama antarabangsa membolehkan banyak negara yang tidak mampu menghasilkan vaksin memperoleh vaksin daripada negara yang mampu menghasilkannya. Jelaslah bahawa, kerjasama antarabangsa membantu dalam pencegahan penyakit berjangkit.
5. Meningkatkan Kesedaran kepada Masyarakat
Penyakit berjangkit juga dapat dibendung dengan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat. Kesedaran masyarakat mengenai penyakit berjangkit boleh ditingkatkan melalui pengadaan kempen. Kempen kesedaran ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada masyarkat mengenai bahaya penyakit berjangkit baharu dan langkah mencegah penularannya.
Kempen Kesedaran Penyakit Berjangkit ini boleh diadakan melalui media sosial, tayangan iklan di media massa, ceramah, pameran dan sebagainya yang memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai simptom-simptom awal dan langkah-langkah awal untuk mencegah penularannya.
Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia giat mengadakan kempen-kempen kesedaran mengenai Covid-19 di media-media sosial kerajaan. Hal ini termasuk kempen sentiasa memakai pelitup muka, kerap mencucui tangan, jangan keluar rumah dan kempen kesedaraan kepada rakyat untuk mengambil vaksin Covid-19.
Hal ini telah membuahkan hasil sehingga negara kita dinobatkan sebagai antara negara terbaik dalam pengurusan wabak Covid-19 di dunia. Jelaslah bahawa, kempen kesedaran mengenai penyakit berjangkit ini sangat penting dalam mencegah penularannya menjadi lebih parah.
Penutup Karangan Kesan Penyakit Berjangkit dan Langkah Mencegah Penularan Penyakit Berjangkit
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan dan langkah mencegah penularan penyakit berjangkit daripada terus menular di seluruh dunia. Semua pihak haruslah bekerjasama dalam mencegah penularan penyakit berjangkit ini kerana tanpa kerjasama semua orang mustahil kita mampu bebas daripada penyakit berjangkit. Kita tidak boleh leka dalam hal ini kerana penyakit berjangkit ini sentiasa ada dalam persekitaran kita.
Virus-virus penyakit berjangkit ini akan sentiasa bermutasi dan membentuk virus yang lebih kuat. Oleh itu, kita perlulah sentiasa meningkatkan keupayaan sistem kesihatan dan perubatan supaya kita mampu mengecah penularan penyakit berjangkit ini dengan lebih cepat. Semoga di masa hadapan kadar kematian yang disebabkan penyakit berjangkit ini akan berkurang dengan adanya bantuan teknologi canggih dalam sistem perubatan.
Sumber : Pendidik Jalanan