Langkah Membendung Budaya Merokok dalam Kalangan Remaja
Budaya Merokok
Budaya Merokok dalam Kalangan Remaja
Sejak akhir-akhir ini, budaya merokok dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan remaja sangat membimbangkan. Lebih mengejutkan lagi, apabila terdapat juga sebilangan kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun turut terlibat dalam aktiviti merokok. Hal ini berlaku kerana ibu bapa mereka juga turut merokok, malah terdapat ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka yang masih dibawah umur merokok. Perkembangan ini mengejutkan ramai pihak, terutamanya golongan ibu bapa yang tidak mahu melihat anak mereka terlibat dalam budaya yang tidak sihat tersebut. Melihat kepada data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga, jumlah pesakit kronik yang berpunca daripada tabiat merokok juga meningkat saban tahun. Bukan itu sahaja, malah kini sudah semakin ramai pelajar yang berani membawa rokok ke sekolah dan melakukan kesalahan merokok. Jumlah ini juga meningkat dari tahun ke tahun. Hal ini membuktikan bahawa budaya merokok dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan remaja sudah semakin parah. Oleh itu, pelbagai langkah haruslah dilakukan bagi membendung budaya merokok dalam kalangan remaja.
Langkah Membendung Budaya Merokok dalam Kalangan Remaja
1. Didikan Agama
Antara langkah untuk membendung budaya merokok dalam kalangan remaja adalah melalui didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap agama mengajar manusia untuk menyayangi dan menghargai bukan sahaja diri sendiri, malah juga orang lain. Melalui nilai agama ini, remaja akan menyedari bahawa rokok itu akan membahayakan diri mereka, bahkan juga turut membahayakan diri orang lain terutamanya bayi di dalam kandungan. Melalui pegangan agama yang kukuh ini, mereka akan dapat membezakan baik buruknya tindakan yang mereka lakukan terhadap diri mereka. Mereka juga akan sedar bahawa asap rokok itu akan menyebabkan bayi di dalam kandungan berisiko menghidapi penyakit jantung berlubang. Dengan ini, mereka akan menghindarkan diri mereka daripada merokok kerana mereka tahu ia salah dan tidak sepatutnya dilakukan. Jelaslah bahawa, didikan agama mampu menghindarkan remaja daripada budaya merokok.
2. Peranan Ibu Bapa
Selain itu, budaya merokok dalam kalangan remaja juga boleh dibendung melalui peranan ibu bapa. Ibu bapa perlu memberi kesedaran kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai bahayanya tabiat merokok kepada diri dan orang lain. Mereka boleh memberitahu kepada anak-anak mereka mengenai penyakit-penyakit yang bakal dihadapi seperti sakit jantung dan kanser paru-paru, sekiranya mengamalkan budaya merokok. Selain itu, ibu bapa juga boleh memberi gambaran kepada anak-anak mereka mengenai penderitaan yang dihadapi oleh para perokok tegar yang menghidapi pelbagai penyakit kronik. Hal ini perlu dilakukan supaya anak-anak takut untuk merokok. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga haruslah menjadi suri teladan yang baik dengan menghindari budaya merokok. Hal ini penting kerana, jika ibu bapa mereka sendiri juga merokok, maka sudah pasti mereka juga terikut-ikut, bahkan mereka tidak akan mempercayai tabiat merokok memudaratan kesihatan. Jika hal ini dilakukan secara konsisten, maka golongan remaja yang terlibat dalam budaya merokok akan berkurangan dari semasa ke semasa. Jelaslah bahawa, peranan ibu bapa sangat penting dalam membendung budaya merokok dalam kalangan remaja.
3. Peranan Sekolah
Di samping itu, budaya merokok dalam kalangan remaja juga boleh dibendung melalui peranan sekolah. Dalam hal ini, pihak sekolah haruslah tegas dalam memastikan pelajar-pelajar tidak merokok di kawasan sekolah. Pelajar yang didapati merokok di kawasan sekolah haruslah dikenakan tindakan disiplin yang tegas. Hal ini bertujuan untuk memberi kesederan kepada golongan remaja. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan kempen mengenai bahaya rokok untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada para pelajar mengenai rokok. Dalam hal ini, pihak sekolah boleh menjemput pegawai kesihatan untuk memberikan ceramah berkaitan bahaya rokok. Di samping itu, para guru juga haruslah menyelitkan kesan negatif budaya merokok ini dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sebagai contoh, para guru Bahasa Melayu boleh mengarahkan para pelajar untuk menulis karangan mengenai bahaya rokok. Hal ini akan membantu para pelajar memahami lebih mendalam mengenai bahaya rokok. Dengan ini, para pelajar akan lebih menjauhi budaya merokok. Hal yang paling penting ialah para guru haruslah menjadi suri teladan kepada para pelajar dengan tidak merokok. Hal ini penting kerana, jika terdapat guru yang merokok, maka bagaimana para pelajar mempercayai budaya merokok boleh memudaratkan kesihatan? Hal ini membuktikan bahawa guru sebagai insan pendidik perlu menjauhi tabiat merokok. Jelaslah bahawa peranan sekolah dalam memastikan budaya merokok dalam kalangan remaja dapat dibendung amat penting.
4. Program dan kempen
Budaya merokok dalam kalangan remaja juga boleh dibendung melalui program dan kempen mengenai bahaya rokok. Pihak kerajaan haruslah memperbanyakkan lagi kempen dan program mengenai bahaya merokok kepada masyarakat di seluruh Malaysia. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen "Hentikan Budaya Merokok" melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hal ini penting untuk menyedarkan masyarakat, terutamanya golongan remaja mengenai kesan negatif merokok. Selain itu, para pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh membantu mengurangkan jumlah perokok dalam kalangan remaja dengan mengadakan program mengenai bahaya merokok di kawasan-kawasan pedalaman yang kurang mendapat pendedahan mengenai pendidikan bahaya merokok. Jika hal ini dapat dilakukan secara berterusan, nescaya pada masa hadapan negara kita bebas daripada perokok. Jelaslah bahawa, program dan kempen mengenai bahaya rokok ini amat penting dalam memastikan remaja menghindari rokok.
5. Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan merokok ini juga perlu dilaksanakan bagi membendung budaya merokok dalam kalangan remaja. Dalam hal ini, pihak penguatkuasa haruslah lebih kerap lagi membuat pemantauan di permis-permis perniagaan yang menjual rokok. Individu yang didapati menjual rokok kepada golongan remaja haruslah dikenakan kompaun dan tidak sepatutnya diberi muka oleh pihak penguatkuasa. Hal ini bertujuan untuk memberi pengajaran kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab terhadap kesihatan remaja. Selain itu, kadar kompaun yang dikenankan juga haruslah dinaikkan oleh pihak kerajaan memandangkan kadar kompaun yang sedia ada, nampaknya tidak menimbulkan rasa takut dan gentar dalam kalangan peniaga. Untuk lebih serius membendung budaya merokok dalam kalangan remaja ini, hukuman yang lebih berat kepada pesalah haruslah diterapkan. Sebagai contoh, peniaga yang didapati menjual rokok kepada golongan remaja haruslah dikenakan kompaun dan hukuman penjara. Hal ini sudah pasti akan memberi kesederan secara tidak langsung kepada para pesalah. Dengan ini, budaya merokok dalam kalangan remaja dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa, penguatkuasaan undang-undang terhadap larangan merokok terhadap golongan remaja ini amat penting dalam membendung budaya merokok dalam kalangan remaja kini.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi membendung budaya merokok dalam kalangan remaja. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi membendung budaya tidak sihat ini. Hal ini perlu dilakukan kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tabiat merokok ini akan membunuh lebih lapan juta manusia setiap tahun dan 1.2 juta orang perokok pasif. Melihat kepada angka ini, ia adalah begitu serius. Bukan itu sahaja, malah terdapat lebih ramai lagi yang menghidapi penyakit kronik yang disebabkan oleh tabiat merokok seperti sakit jantung dan kanser paru-paru. Dengan ini, pihak kerajaan haruslah mempunyai dasar yang jelas untuk membendung budaya merokok ini bagi memastikan kesihatan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara. Semoga negara kita mampu bebas daripada budaya merokok demi kesihatan bersama.