Undang-undang 99 Perak - Sejarah Malaysia STPM
Soalan Undang-Undang 99 Perak
1. Huraikan prinsip-prinsip umum Undang-undang 99 Perak dalam mengekalkan keharmonian sosiopolitik di Perak pada abad ke-19.
2. Undang-undang 99 Perak telah berjaya mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dalam masyarakat Melayu abad-19. Bincangkan.
Prinsip-prinsip Undang-undang 99 Perak
Undang-undang 99 Perak merupakan undang-undang tertua di Perak yang berkaitan dengan hal ehwal agama dan tradisi masyarakat tradisional. Undang-undang ini dikanunkan pada tahun 1867 dan berkuat kuasa sehingga tahun 1900. Undang-undang 99 Perak ini dipercayai berasal dari Parsi yang dibawa oleh Abdul Hussain al-Faradz dari Hadramaut pada abad ke-17 semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Undang-undang 99 Perak ini berbeza dengan undang-undang biasa kerana ia disusun dalam bentuk dialog dan tidak berasaskan fakta dan fasal. Undang-undang ini mempunyai pengaruh adat perpatih dan adat temenggung. Pembentukan Undang-undang 99 Perak dapat mengekalkan keharmonian masyarakat melalui prinsip-prinsip umumnya.
1. Undang-undang 99 Perak mengandungi urusan kekeluargaan seperti perkahwinan, pembahagian harta dan penzinaan
Antara prinsip umum yang terkandung dalam Undang-undang 99 Perak adalah berkaitan dengan urusan kekeluargaan seperti perkahwinan, pembahagian harta dan penzinaan. Dalam fasal 6 undang-undang ini, ada memperuntukkan hukuman bagi pesalah yang mengambil isteri orang lain. Mengikut undang-undang ini, pesalah yang mengambil isteri orang lain akan dibuang daripada mukimnya. Jika tidak, pesalah tersebut diminta untuk membayar denda dalam bentuk emas. Jika pesalahnya adalah perempuan, maka rambutnya akan dicukur. Namun, akan dilepaskan sekiranya dia membayar denda. Selain itu, dalam fasal 50 ada memperuntukkan hukuman bagi pesalah yang melakukan zina. Jika kedua-dua penzina mengaku salah, maka mereka akan diarahkan untuk bernikah dan membayar denda sepaha emas. Sebaliknya, jika penghulu mendapati tiada kesalahan, maka kesalahan itu bileh dibincangkan dan dimaafkan. Hal yang berkaitan perkahwinan pula diperuntukkan dalam fasal 65. Dalam undang-undang ini memperuntukkan bahawa pasangan yang sudah bernikah tidak boleh tinggal bersama lebih kurang 40 hari selepas mereka bernikah atas alasan untuk menjaga keimanan masing-masing. Di samping itu, urusan pemabahagian harta si mati diperuntukkan dalam fasal 33. Dalam fasal ini memperuntukkan bahawa anak perempuan akan mewarisi rumah, kebun, pinggan mangkuk dan peralatan dapur, manakala anak lelaki pula akan mewarisi alatan besi atau senjata, sawah padi dan lombong. Dalam urusan pembahagian hutang dan harta, anak lelaki akan menerima dua kali ganda lebih banyak berbanding dengan anak perempuan. Harta lain pula akan dibahagikan secara adil kepada anak si mati. Anak yang belum berkahwin perlu mendapat harta sebanyak 10 peratus lebih banyak berbanding dengan anak lain. Tegasnya, undang-undang terutamanya dalam urusan penzinaan, pembahagian harta dan perkahwinan ini dapat mewujudkan keharmonian bukan saja dalam keluarga dan masayarakat tetapi juga negeri.
2. Undang-undang 99 Perak menekankan hukuman bagi undang-undang jenayah
Seterusnya, Undang-undang 99 Perak juga menekankan hukuman bagi undang-undang jenayah. Undang-undang berkaitan jenayah ini diperuntukkan dalam fasal 4 dan fasal 23. Dalam fasal 4, ia berkaitan dengan orang kafir yang membunuh orang Islam. Orang kafir yang membunuh orang Islam tidak akan dijatuhi hukuman bunuh kerana pesalah tersebut tidak akan sempat untuk memeluk Islam, sebaliknya pewaris si pembunuh dikehendaki untuk membayar denda dalam bentuk emas kepada keluarga si mati. Dalam fasal 23 pula memperuntukkan pembunuhan sesama orang Islam. Orang Islam yang membunuh sesama orang Islam tidak akan dijatuhi hukuman bunuh kerana kedua-duanya akan binasah tetapi pembunuh tersebut telah menjadi kafir. Hukuman yang boleh dikenakan ialah pembunuh tersebut perlu membayar denda sebanyak 4 tahil, 2 paha emas atau 2 dirham dan disedekahkan setahil sepaha emas. Undang-undang ini berbeza dengan umdang-undang Islam yang memperuntukkan orang yang membunuh akan dijatuhi hukuman bunuh juga. Jelaslah, dengan ada prinsip undang-undang ini keharmonian masyarakat akan terjaga.
3. Undang-undang 99 Perak menjelaskan mengenai hal berkaitan agama Islam
Selain itu, Undang-undang 99 Perak juga ada menjelaskan mengenai hal berkaitan agama Islam. Dalam fasal 58, ada menyebut mengenai syarat-syarat menjadi Imam atau khatib. Syarat-syaratnya ialah sesorang itu mestilah mempunyai sifat yang mulia, pertuturan yang baik, menguasai pengetahuan mengenai hari, bulan dan tahun, sanggup bersusah payah demi kebaikan orang lain, bersikap pemurah, sanggup membaiki masjid yang rosak dan menjadi orang yang paling awal datang ke masjid pada hari Jumaat. Seterusnya, dalam fasal 79 juga, ada menyebut mengenai syarat untuk menjadi kadi dalam negeri atau mukim, iaitu seseorang itu mestilah menguasai segala hukum Allah SWT. Jelaslah bahawa pelantikan imam dan kadi yang benar-benar berkelayakan ini dapat menjamin hal ehwal agama diamalkan dan ditadbir dengan baik.
4. Undang-undang 99 Perak memberikan panduan kepada raja untuk mentadbir sesebuah negeri
Di samping itu, Undang-undang 99 Perak juga memberikan panduan kepada raja untuk mentadbir sesebuah negeri. Menurut fasal 92, raja akan dipandang tinggi sekiranya mempunyai ciri keperibadian yang mulia seperti yang digariskan dalam fasal itu. Pembesar-pembesar istana juga disarankan untuk menjaga hubungan dan menghormati raja, di samping memelihara kebajikan rakyat yang diperintah. Saranan ini digariskan dalam fasal 93 yang menyebutkan bahawa "Undang-undang orang jadi orang besar di negeri itu hendaklah adatnya pertama-tama orang besar memelihara di atas rajanya, yang kedua memelihara di atas rakyatnya, maka amanlah negeri itu. Dalam fasal 78 juga, ada menyebutkan "Maka sembah menteri", pertama-tama ambil daripada bangsanya, yang kedua saka, yang ketiga baka dan yang keempat tua umurnya. Menurut fasal ini, jikalau keempat-empat perkara ini dijalankan, maka sesebuah negeri atau mukim akan aman dan rakyat juga akan sejahtera. Jelaslah bahawa raja menjadi tiang seri yang menerajui negeri dalam pemerintahan dan pentadbiran dan dibantu oleh para pembesar untuk menjaga kebajikan rakyat dan menjadi penghubung antara rakyat jelata dengan raja.
Kesimpulan Karangan Undang-undang 99 Perak
Kesimpulannya, Undang-undang 99 Perak mengandungi 99 perkara yang berkaitan dengan undang-undang dalam pelbagai aspek. Undang-undang ini telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu tradisional mempunyai sistem kehakiman tersendiri yang berkaitan dengan kes-kes yang biasa berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional terutamanya di Perak. Prinsip-prinsip dalam undang-undang 99 Perak sememangnya telah dapat mengekalkan keharmonian sosiopolitik di Perak pada abad ke-19.